TVET : Jangan gah dengan kertas kerja konsep tetapi tiada hasil

TVET: Jangan gah dengan kertas kerja konsep tetapi tiada hasil

SEGALA usaha yang dibangunkan untuk memantapkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) haruslah praktikal, relevan dan berimpak selain ia tidak gah sekadar kertas kerja konsep sahaja dan outputnya tersasar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dikatakan menjadi pemacu utama atau game changer (perubahan) dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan berkemahiran tinggi. 

Kerajaan sangat komited secara berterusan untuk meningkatkan keupayaan belia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi dipenuhi oleh warga kerja tempatan. 

Komitmen ini jelas sehinggakan tarikh 2 Jun diisytiharkan sebagai Hari TVET Negara dan sambutannya dianjurkan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat dan seterusnya menjadi platform pemangkin kepada agenda TVET negara.

Antara objektif hari TVET negara ialah menghubungkan antara pelajar, belia, pencari kerja dengan industri sama ada dalam mencari peluang pekerjaan mahupun mendapatkan penempatan bagi menjalani latihan industri. Inisiatif ini sangat baik dengan hala tuju yang fokus dan dalam masa yang sama melibatkan industri untuk sama-sama terlibat dalam komitmen yang direncanakan kerajaan.

Dasar TVET negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Dasar TVET 2030), yang menggariskan teras strategik beserta inisiatif utama sudah pasti menjadi panduan atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menghasilkan program-program TVET untuk pembangunan tenaga mahir di Malaysia.

Namun begitu, usaha-usaha murni kerajaan seharusnya digerakkan dengan dasar dan matlamat yang betul supaya ia tidak hanya gah sebagai kertas kerja konsep dan tiada hasil. 

Umpamanya, antara teras strategik yang digariskan iaitu Kualiti dan Laluan Pendidikan Bertaraf Dunia. Antara perkataan yang menarik untuk didebatkan daripada teras strategik tersebut ialah ‘kualiti dan laluan’. Saya setuju, kerajaan komited dengan pendidikan TVET sehinggakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) ditubuhkan untuk menyediakan ‘laluan’ tersebut.

Namun, bagaimana pula dengan kualiti? Untuk menghasilkan kualiti pendidikan bertaraf dunia, adakah sumber pelajar yang diperoleh untuk mengikuti pengajian benar-benar berkualiti?

Kolej Vokasional (KV) umpamanya ditugaskan untuk menghasilkan pelajar-pelajar kemahiran vokasional bagi mengikuti program-program teknologi di MTUN. Adakah pelajar-pelajar yang dihasilkan memenuhi piawai kualiti yang ditetapkan? Adakah KV mempunyai fasiliti yang mencukupi ke arah itu? Adakah tenaga pengajar kompeten dan mempunyai pakar yang diikitraf’? Adakah industri-industri contohnya syarikat Jepun atau Jerman mengiktiraf graduan KV?

Dalam penilaian sistem KV bagi tujuan mencapai Sijil Kemahiran Malaysia Aras 3 umpamanya, unit kompetensi dibangunkan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk setiap kursus yang dibangunkan atau ditawarkan. Oleh itu, setiap unit kompetensi mesti dipastikan patuh supaya nilai kemahiran yang dikehendaki tercapai. 

Contohnya dalam kimpalan arka, bila diperiksa ‘proses mencungkil’  didapati  tiada dan pentadbir kolej hanya memaklumkan bahawa mereka melakukan memorandum persefahaman (MoU)  sahaja. Sudah pastilah ia tidak patuh kepada syarat unit kompetensi seperti dalam standard NOSS. Ini adalah contoh-contoh ketelusan dan komitmen pentadbir kolej yang perlu dipertingkat supaya boleh melahirkan pelajar yang betul mencapai Aras 3 Sijil Kemahiran Malaysia.

Bagaimana pula program yang ditawarkan oleh MTUN? Adakah selari dengan kehendak industri? Cuba ambil contoh program Teknologi Kimpalan, berapa ramai pensyarahnya yang mempunyai sijil kepakaran? Ada program yang ditawarkan umpamanya Ijazah Teknologi Kimpalan, bila diselidiki tenaga pengajar mempunyai  Ijazah Kedoktoran (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan sementara Teknologi Kimpalan adalah kursus kemahiran khusus dan bagaimanakah ia diajar oleh pensyarah-pensyarah yang tidak sesuai latar belakangnya?

Untuk kursus kemahiran teknologi, kita tidak perlukan pensyarah berkelulusan PhD, kita perlukan pensyarah yang kompeten dan berkemahiran vokasional. Akan berlaku pembaziran sumber manusia bila pensyarah-pensyarah yang berkelulusan PhD Kejuruteraan ditugaskan untuk mengajar kursus kemahiran (TVET). Adakah memadai kursus Ijazah Teknologi tidak mengamalkan sistem peperiksaan akhir jika pensyarahnya sendiri bukan berlatarbelakangkan kemahiran yang memerlukan kompetensi aras tinggi?

 

SYOK SENDIRI

Inisiatif Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL)  yang ditawarkan dalam TVET adalah usaha yang sangat baik. Namun begitu ia seharusnya mendapat kerjasama syarikat-syarikat peneraju dalam penghasilan teknologi (syarikat Jepun dan Jerman contohnya). 

Contohnya dalam teknologi pembuatan acuan (Mold Fabrication), teknologi yang diajar di dalam kelas mungkin pengetahuan asas seperti reka bentuk acuan, pemasangan ‘ejector’ dan pemasangan acuan. Namun jika ditambah pengalaman industri, pelajar akan mendapat pengetahuan tentang pengetahuan penggunaan resin poliplastik seperti polyoxymethylene, polycarbonate dan polyamide. 

Pelajar juga akan memperoleh pengalaman seperti keperluan air-venting (pengaliran udara).

dalam penghasilan acuan dan masalah utama dalam industri suntikan acuan (injection molding), seperti masalah warpage, short-mould, retak dan sebagainya. Oleh sebab itu, WBL haruslah diterapkan dengan serius supaya tenaga kerja yang dihasilkan menepati cita rasa industri dan bukannya program ‘syok sendiri oleh MTUN.

Sebenarnya TVET bukan perkara baharu, ia inisiatif baik oleh kerajaan selaras dengan keperluan semasa negara. Satu ketika dulu, Institut Kemahiran Mara (IKM), German Malaysian Institute (GMI), Institut Latihan Perindustrian (ILP), University College TATI dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC)  melahirkan graduan-graduan TVET memenuhi pasaran pekerjaan di Malaysia. 

Untuk memperkasakan TVET, pandangan pengajar bidang itu daripada IKM, ILP dan ACTEC haruslah diambil kira, untuk tujuan penambahbaikan. Untuk kemajuan bersama, tenaga pengajar MTUN boleh juga merujuk kepada pengalaman-pengalaman tenaga pengajar terdahulu selaras dengan iltizam untuk memperkasakan TVET negara.

Pentadbir-pentadbir MTUN universiti harus cakna dengan keperluan semasa industri dan bukannya berlumba-lumba membuat kenyataan ‘over-claim’  (berlebih-lebihan) untuk tujuan mempromosi universiti masing-masing, namun hakikatnya kualiti yang ditawarkan tidak setaraf dengan keinginan industri. 

Kursus-kursus yang ditawarkan seharusnya yang terkini dengan perkembangan teknologi semasa contohnya teknologi binaan, teknologi automatif, teknologi kimpalan, teknologi pembuatan acuan dan sebagainya. 

Lantaran itu, segala usaha yang dibangunkan haruslah praktikal, relevan dan berimpak selain ia tidak gah sekadar kertas kerja konsep sahaja dan outputnya tersasar.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Ir. Dr, Khairuddin Md. Isa ialah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cendekiawan Negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN