PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin, 60 dan calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56.
Kedua-dua calon adalah anak jati Sungai Bakap, jadi tidak timbul isu di sini. Apa yang menjadi isu utama ialah Joohari mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan manakala Abidin difahamkan hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berbeza sekali pendekatan Pas kali ini. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas menguar-uarkan tulisan seorang ahli akademik yang menyatakan parti itu mempunyai paling ramai calon yang memiliki PhD bagi menggambarkan kekuatannya. Di Inderapura, calon Pas, Dr. Wan Masri Wan Mohamad, diuar-uarkan memiliki dua PhD.
Dalam PRK ini buat pertama kali Pas tidak meletakkan kelayakan akademik dalam poster calonnya. Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, malah menyatakan, “pemimpin tak wajib ada PhD, janji buat kerja”. “Saya tak ada PhD, tak ada ijazah sarjana,” tetapi ‘berjaya dalam tugas’, katanya.
Benarkah kelayakan akademik tidak penting dalam dunia politik? Benar ada pemimpin politik yang berjaya walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik tinggi disebabkan oleh pengalaman, karisma, kepimpinan, kemampuan untuk berkomunikasi dengan berkesan dan keupayaan untuk memahami dan menangani isu-isu masyarakat.
Namun begitu, walaupun tidak wajib, kelayakan akademik yang tinggi boleh menjadi satu kelebihan kepada seseorang calon, terutama dalam hal memahami isu-isu kompleks, dasar awam dan dalam membuat keputusan yang berinformasi. Pendidikan formal juga dapat meningkatkan kredibiliti dan keyakinan pengundi terhadap calon tersebut.
Kelayakan akademik boleh menjadi aset kepada seseorang wakil rakyat dalam menangani isu-isu yang memerlukan pengetahuan khusus dan kemahiran analitikal yang tinggi. Bayangkan bagaimana wakil rakyat yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai undang-undang yang kompleks mahu bermesyuarat atau berbahas dalam DUN.
Tidak dinafikan sebagai pegawai khas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama hampir setahun, Abidin tentu mempunyai pengalaman, kemahiran praktikal dan kemampuan untuk berhubung dengan pengundi. Tetapi untuk menyuarakan dan menyelesaikan masalah pengundi, seseorang wakil rakyat perlu mempunyai kefahaman mengenai sesuatu isu.
Betul, pemimpin tak wajib ada PhD atau ada ijazah sarjana. Bagaimanapun, untuk memimpin dengan berkesan pemimpin perlu mempunyai kelayakan akademik minima seperti ijazah sarjana muda atau paling tidak diploma untuk membolehkan beliau melaksanakan tugas dengan baik, termasuk bila berurusan dengan pegawai kerajaan dan swasta.
Bagaimanapun, kelayakan akademik bukanlah faktor utama yang akan membolehkan Kerajaan Perpaduan mengekalkan momentum kemenangan pada PRK Kuala Kubu Baharu dalam PRK Sungai Bakap. Ada faktor penting lain yang akan membolehkan PKR mencipta sejarah sebagai parti pertama mampu merampas kerusi milik PN pasca PRU15.
Faktor penting ini ialah kemampuan calon memperjuangkan nasib penduduk Sungai Bakap. Terdapat banyak isu tempatan yang memerlukan perhatian bakal ADUN dan hanya mereka yang mempunyai akses kepada dana dan bantuan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat sahaja yang mampu memperjuangkan nasib penduduk Sungai Bakap.
Kita sudah melihat bagaimana ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PN tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan kedudukan sebagai wakil rakyat pembangkang hinggakan sebahagian daripada mereka terpaksa menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan bagi mendapatkan dana dan bantuan untuk pengundi.
Tanpa kuasa, punca kepada dana dan bantuan, memang terlalu sukar untuk seseorang wakil rakyat, khususnya yang tiada dana sendiri, bergerak. Oleh itu, dari sudut pilihan rasional, mengundi calon PN tidak akan memberi pulangan positif kepada penduduk Sungai Bakap kerana PN tidak ada kuasa, baik dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun Kerajaan Pusat.
Hujah bahawa calon PN perlu dimenangkan untuk menguatkan peranan semak dan imbang juga tidak boleh dipakai kerana tidak akan bertambah pun kekuatan PN dengan penambahan satu kerusi. Sebaliknya, peranan semak dan imbang dalam DUN Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mampu dimainkan dengan lebih berkesan oleh calon PH.
Dari sudut calon, PH jauh mengatasi PN. Dengan latar belakang sebagai bekas aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekas Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Cawangan Utara serta bekas guru sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal, Joohari lebih mampu mewakili pengundi Melayu Islam.
Berkelulusan rendah mungkin akan menyebabkan calon PN dilihat sebagai lebih dekat dengan rakyat marhaen, tetapi calon PH sebagai seorang yang berpendidikan tinggi mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan berasaskan pengetahuan dan kepakaran. Ini ditambah dengan keperibadian calon PH yang membumi dan tidak bersifat elitis.
UMNO juga lebih solid sokongannya kepada PH setelah melihat komitmen PH membantu UMNO dalam beberapa PRK sebelum ini. Seperti dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, jika jentera BN memastikan lebih 5,000 pengundi Melayu Islamnya keluar mengundi, ia sudah memadai untuk meyakinkan kemenangan calon PH.
Gerak kerja jentera PRK Kerajaan Perpaduan juga lebih selaras, seragam dan berfokus kali ini dengan Rafizi Ramli dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera PRK. Lantikan Zambry sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, dengan kepakarannya, pasti memberi nilai tambah kepada calon PH.
SENTIMEN
PN sudah pasti akan cuba sedapat mungkin memainkan sentimen kebencian kepada Kerajaan Perpaduan dengan mengeksploitasikan beberapa isu nasional seperti penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), isu penyasaran subsidi diesel dan isu kenaikan harga sesetengah barangan.
Walaupun begitu, dalam PRK DUN, isu-isu nasional tidak mendapat perhatian utama pengundi berbanding isu-isu tempatan dan negeri.
Dalam konteks inilah kelebihan ilmu yang dimiliki oleh calon PH, ditambah oleh kekuatan jentera PH-BN, akan membantunya dalam menyampaikan mesej dan penjelasan mengenai isu-isu relevan yang ditimbulkan nanti.-UTUSAN
DR. Nik Mawardi Mohamed ialah penganalisis sosiopolitik tempatan.










