NAMA BlackRock menjadi sebutan ramai sejak kebelakangan ini.
Walaupun ada yang mendakwa ia telah bertapak di negara bertahun-tahun lamanya, tetapi tidak seriuh seperti hari ini, baik di antara ahli Parlimen sekalipun.
Dahulu mungkin hanya beberapa kerat sahaja yang tahu. Tiada sebab hendak menyibuk kerana banyak lagi urusan mendesak.
BlackRock bak satu jenama kopi terkenal antarabangsa wujud seperti yang lain tanpa menggusarkan. Malah jenama kopi itu menjadi pujaan anak-anak muda, bertandang siang malam, membelanjakan wang ringgit untuk menikmati serba serbi dengan harga tinggi. Sering tidak munasabah kepada yang agak peka.
Tetapi ini bukan pokok soalan. Wang ringgit boleh dicari. Imej dan prestij kopi berjenama negara termaju sukar ditandingi. Biar papa, asalkan bergaya cogannya supaya kelihatan licik sehingga kafe kopi itu menagih untung berjuta-juta.
Tersenyum lebar para pemegang saham dan pelaburan. Wang mengalir ke dalam akaun bank bagaikan tali air tidak putus-putus. Walaupun ada yang tahu tentang kaitan jenama kopi itu serta syarikat-syarikat lain dengan BlackRock, tetapi tiada salahnya.
Tiga bank tempatan terpalit adalah antara tertinggi. Mengikut laporan, Public Bank, Maybank dan CIMB. Keempat TNB. Ini dikira lumrah dalam dunia perniagaan. Nilai moral dan etika boleh dijual beli juga dipacu oleh pihak berwibawa.
Dari satu segi seluruh dunia bersubahat untuk melariskan kopi berkenaan, sekali gus BlackRock, sedar atau tidak. Tiada siapa yang boleh menuding jari. Semuanya sama sahaja, baik dangkal atau cerdik, baik pro itu atau anti ini. Semua samanya hitam, baik kuali atau belanga.
Hati dan jasad. Tidak ada yang hero. Tidak kurang yang tali barut. Tiada mengungkit-ungkit atas apa sebab sekalipun. Lantas, keadaan terus selesa. Aman sentosa. Jenama kopi terkenal itu terus menjadi kaya raya. Semuanya mesra.
TITIK PEMISAH
Malangnya ini tidak kekal selama-lamanya. Keadaan mula berubah pada 7 Oktober tahun lalu.
Sengketa Israel-Hamas mula bergema. Puluhan ribu nyawa tidak berdosa teraniaya. Ratusan ribu lagi parah terseksa terutama kanak-kanak dan wanita. Pembunuhan beramai-ramai bermaharajalela dalam ‘peperangan’ yang berat sebelah.
Antara kumpulan yang bersenjatakan batu, melawan yang lengkap dengan senjata tercanggih melibatkan BlackRock. Dahsyat sekali, sehingga ramai yang naik berani bertindak balas cara tersendiri.
Di Malaysia, jenama kopi itu tidak lagi seenak dahulu, bagaikan racun berbisa. Kini ia bertukar menjadi sasaran pemulauan secara spontan atas sebabnya agak nyata, yakni berkait pembunuhan tidak henti-henti di Gaza.
Sama ada cara langsung atau tidak. Jenama kopi itu berlumuran darah suci.
Tiba-tiba lawatan dan langganan ke kafe itu merosot hari demi hari. Pengusaha cuba memulihkan keadaan dengan sedaya upaya menggunakan wang ringgit yang dipungut selama ini, serta tenaga-tenaga kerja yang ada, namun tidak berjaya. Keuntungan terus merudum. Satu perkara yang tidak diduga bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.
Nama jenama kopi itu bertukar menjadi ‘Starsucks’ – menghirup berbagai derita, duka nestapa. Asyik menghitung laba. Walaupun ketika itu nama BlackRock tidak kedengaran, iras-irasnya pun tiada.
Jenama kopi itu mengundang padahnya tersendiri. Cukup angkuh mentang-mentang kaya raya menunggang sambutan rakyat teramai. Yang jelas rakyat tidak sebodoh yang difikirkan. Mereka bermaruah, berhati perut, berperikemanusiaan.
Apalagi dalam kekejaman yang paling memuncak sejak perang dunia. Mereka bertindak atas nilai kemanusiaan dan keadilan yang sering dilaungkan.
Gabungan rakyat lebih berkuasa dari pemegangan tampuk kuasa dunia. Tolak BlackRock tercetus sebagai pesada dunia.
Paling menarik dalam hal ini watak lebih dikenali sebagai Tian Chua (nama sebenar Chua Tian Chang). Beliau bukan sahaja aktivis sosiopolitik yang bernas dan berani, tetapi beristiqamah cukup kental dalam isu keadilan dan kemanusiaan.
Pernah memegang jawatan tinggi dalam parti yang membentuk kerajaan semasa, tanpa bertalam dua muka dalam soal penindasan Palestin.
Sebagai seorang bukan Islam, beliau memberi isyarat jelas akan pegangan sejati atas nilai-nilai sejagat tanpa kompromi.

JENAMA KOPI LAWAN BLACKROCK
Tambahan pula berketurunan Cina, mengukuhkan pendirian prinsipnya atas kebenaran dan keikhlasan.
Bukan perkauman atau keagamaan. Atau politik murahan, tiada kepalsuan dan kepura-puraan. Cakapnya dan tindakannya serentak, seirama dan sederap dengan nada rakyat jelata yang cintakan keamanan serta kesejahteraan. Bukan rakus dan tamak.
Maka penyertaannya dalam menolak terus penglibatan BlackRock merupakan paksi kukuh mengapa hati sanubari terus tertambat.
Apatah lagi kaitan kopi berkenaan dengan BlackRock kian terbukti kukuh. Maksudnya, apa yang jenama kopi itu hadapi sewajarnya juga bagi BlackRock – kalau tidak lebih lagi.
Penglibatan BlackRock dalam industri senjata dan membekalkan khidmat serta bahan kepada kekebalan tentera Israel sejak begitu lama cukup meremehkan kafe kopi itu.
Jika sebelum 7 Oktober 2023, dunia boleh pejamkan mata serta pekakkan telinga, kini tidak lagi berdaya tanpa berdusta.
Contoh terbaik apabila Eurosatory, pameran terbesar tentang peralatan serta senjata di Paris minggu lalu, tidak membenarkan penyertaan lebih 70 penjual dan pekerja Israel atas ‘arahan’ mahkamah serta persetujuan kerajaan Perancis.
Ia ada kaitan dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Walau keputusan ini kemudian dikaji semula selepas rayuan pihak berkenaan, sekurang-kurangnya pihak berwajib Perancis mengambil prinsip tegas dalam membuat keputusan.
Ia bukan semata-mata soal perdagangan bagi menghalal penglibatan pihak durjana untuk meragut nyawa tidak berdosa. Inilah bezanya paling ketara dengan Malaysia. Walhal Perancis sememang penyokong tegar Israel, tetapi berani membatasi sokongan mereka atas lunas-lunas kemanusiaan dan keadilan yang kental.
Hakikatnya, nyawa manusia bukan barang dagangan untuk kepentingan diri. Sudah masuk bulan kelapan rakyat Palestin dizalimi dan perah! Bermuhasabahlah!-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










