SALAH satu perkara signifikan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangunkan Malaysia Madani mutakhir ini ialah memusatkan dan mengkoordinasi modul latihan kenegaraan serta kepimpinan di bawah satu agensi.
Sebelum ini modul latihan kenegaraan serta kepimpinan dijalankan oleh Institut Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kumpulan sasar yang terhad iaitu hanya melibatkan golongan belia.
Sejak 1 Januari lalu, i-LEAD dijenamakan semula sebagai Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang diletakkan secara terus di bawah Pejabat Perdana Menteri sekali gus menjadi petanda pentingnya latihan kenegaraan serta kepimpinan.
Dalam Mesyuarat Khas AKM yang dipengerusikan sendiri oleh Anwar pada 27 Februari lalu, diputuskan bahawa AKM adalah agensi pusat yang akan mengkoordinasikan hal ehwal berkaitan latihan kenegaraan di Malaysia secara lebih holistik dan komprehensif.
Antara prakarsa AKM ialah bagi memperkasakan ilmu kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia di mana AKM akan meneraju kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keberkesanan Program Latihan Kenegaraan Malaysia Madani.
Kedudukan AKM di bawah Pejabat Perdana Menteri membolehkannya meningkatkan koordinasi merentas pelbagai kementerian dan agensi serta membina modul yang yang sentiasa memenuhi keperluan semasa dan lebih terarah kepada kumpulan sasar yang lebih menyeluruh.
Berbanding latihan i-LEAD yang mensasarkan golongan belia, Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang dibangunkan oleh AKM melibatkan penjawat awam, pemimpin komuniti, belia dan institusi pengajian tinggi serta warga domain digital.
Bagi meningkatkan kompetensi pegawai AKM, ia telah melaksanakan Bengkel Peningkatan Profesionalisme: Modul Latihan Malaysia Madani-Penjawat Awam pada 31 Mac hingga 1 April lalu membabitkan seramai 82 orang pegawai AKM dari seluruh negara.
Di dalam bengkel ini, Ketua Pengarah AKM, Mohd. Haswandi Ahmad, menggariskan beberapa amanat dan harapan kepada pegawai AKM agar sentiasa memahami dan mendalami perkara yang berkaitan dengan sejarah pembinaan negara bangsa.
Pada 2 April pula, AKM diminta untuk membentangkan modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang dibina olehnya bersempena Permukiman Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Modul ini mempunyai tiga kaedah, iaitu kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam dengan pengisian seperti Sesi Penetapan Minda, Ceramah, Pasca Normal, Bina Kota Bina Insan, Interaktif Kenegaraan, Identiti (Jata Negara), Kestabilan dan Pengukuhan.
Tiga elemen utama yang telah diadun untuk menghasilkan modul ini ialah Sejarah Kenegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dengan matlamat membina warganegara berkeperibadian unggul yang mempunyai bibit kecintaan kepada negara.
Pelancarannya dibuat oleh Anwar pada 5 Jun lalu dalam mana beliau menyatakan modul ini mengambil kira tuntutan zaman dengan mencabar dan mengasak supaya kita berfikir berdasarkan nilai, dengan mengambil kira pelbagai kerenah dan cabaran baharu.
“Dalam modul ini, kita hargai sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, dari semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai jasa tetapi menghargai sumbangan jasa lama itu tidak mengikat kita dalam keadaan yang beku,” ujar beliau.
Dalam konteks ini, Anwar memetik kata-kata pemikir dan filsuf Perancis, Roger Garaudy, berbunyi “Not to bury the ashes of the dead, but to rekindle the flame of the struggle”, yang menggesa rakyat menyemarakkan api perjuangan pemimpin dan pejuang terdahulu.
Kata-kata ini pendek tetapi membawa makna yang besar. Warganegara Malaysia perlu menghidupkan kembali semangat perjuangan, dedikasi dan keberanian pemimpin dan pejuang terdahulu untuk membina negara bagi menghadapi cabaran dalam konteks masa kini.
PERPADUAN
Pendidikan mengenai sejarah negara perlu diperkasakan untuk menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan warganegara. Apabila mereka memahami perjuangan masa lalu, mereka akan lebih terdorong untuk mengambil peranan aktif dalam pembangunan negara.
Menghidupkan semangat pemimpin dan pejuang terdahulu bermakna mendorong setiap warganegara Malaysia untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan negara, sama ada melalui pendidikan, kerjaya atau sumbangan kepada masyarakat melalui pelbagai cara.
Kita perlu memanfaatkan warisan sejarah untuk kemajuan masa depan. Nilai-nilai seperti perpaduan, integriti, dan keadilan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu perlu sentiasa disemai dan dipupuk untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negara.
Seperti yang ditegaskan Anwar, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi. Semangat dan nilai perjuangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu boleh dijadikan asas untuk meningkatkan daya saing negara.
Lebih penting ialah konsep perpaduan dalam kepelbagaian antara masyarakat berbilang kaum yang diperjuangkan generasi terdahulu perlu terus diperkukuhkan untuk memastikan kestabilan yang menjadi asas kepada pembangunan negara.
Tegasnya, Malaysia Madani adalah satu kerangka pembangunan yang jelas. Anwar sedar tanpa kewujudan kasih sayang, semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara, maka hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat di mata dunia sukar untuk dicapai.
Justeru itu, kewujudan AKM yang diletakkan secara terus di bawah Pejabat Perdana Menteri adalah bagi melaksanakan latihan kenegaraan yang lebih holistik dan komprehensif melalui pelancaran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani adalah satu lagi batu tanda penting negara.
Melalui pelancaran modul ini, AKM adalah gelanggang tepat untuk menanam kasih sayang, semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara bagi membolehkan usaha untuk membela nasib rakyat serta meletakkan dasar tatakelola, pemerintahan dan kenegaraan yang baik tercapai.-UTUSAN
PENULIS ialah calon ijazah Doktor Falsafah yang sedang menunggu pemeriksaan tesis bertajuk Parti KeADILan Rakyat: Pengrealisasian Agenda Reformasi, 1998-2024 di Ghazali Shafie Graduate School Of Goverment (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










