Mana dia menteri pendidikan mithali?

Mana dia menteri pendidikan mithali?

MUSA MOHAMAD merupakan satu-satunya menteri pendidikan yang dilantik tanpa kepartian dalam jemaah menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah pepatah yang jelas akan maknanya. Yang nyata adalah kesan peninggalan yang membawa kepada suatu bibit positif kepada teramai.

Bukan sebaliknya. Dalam hal ini, tidak syak lagi bekas Menteri Pendidikan Allahyarham Tan Sri Musa Mohamad (1943-2024) adalah antara mereka yang tergolong dalam maksud perumpamaan tersebut.

Perbandingan dengan pak belang sememangnya tepat bukan sahaja kerana ‘gah’ usaha beliau, tetapi antara kelompok pemimpin yang sudah mula pupus keberadaannya. Sebagai contoh Musa merupakan satu-satunya menteri pendidikan yang dilantik tanpa kepartian dalam jemaah menteri.

Walau ini biasa bagi portfolio lain, tetapi tidak pernah untuk jawatan menteri pendidikan yang amat penting lagi strategik bagi negara.

Peruntukan belanjawan terbesar, sudah tentu bilangan pekerja begitu ramai sebagai pengundi. Jika tersilap langkah, padah yang sering di lihat kebelakangan ini amat dahsyat. Suatu sektor yang amat peka dan rapat kepada percaturan rakyat jelata, besar kecil, tua muda!

Ringkasnya, menteri pendidikan merupakan pak belang dunia ilmu dan masa hadapan negara. Bukan tikus mondok, bukan juga merak kayangan.

Hanya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berani berbuat demikian dan tidak gentar mengambil risikonya. Apa tidak, kerana Musa merupakan Naib Canselor (NC) Ketiga Universiti Sains Malaysia (USM) telah diuji dalam jawatan itu selama 13 tahun (1982-1995).

Masa terpanjang selepas allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, bekas NC Universiti Malaya selama 20 tahun, rekod yang masih belum dipecahkan sehingga kini; seperti halnya Musa di USM – universiti kedua tertua di Malaysia.

Malah lantikan Musa sebagai NC menyelusuri titik peluh rakan seperjuangannya, Allahyarham Tan Sri Hamdan Tahir sebagai NC kedua, sebelum itu Allahyarham Tan Sri Hamzah Sendut NC pengasas USM. Semuanya gah juga. Misalnya, Hamzah turut bertanggungjawab membawa masuk Musa ke USM untuk mengetuai Pusat Pengajian Farmasi terulung di Malaysia.

Ditubuhkan pada awal 1970, Musa mengemudinya selaku ahli farmasi bertauliah dan profesional dengan begitu cemerlang sehinggakan dilantik kemudiannya sebagai Timbalan NC Hal-Ehwal Akademik. Semasa dalam jawatan tersebut mencetuskan pula beberapa Pusat Pengajian baharu yang belum wujud di Malaysia sebagai disiplin pengkhususan seperti Sains Matematik, Sains Komputer, Sains Gunaan, Pengurusan, Kejuruteraan Aeroangkasa (bersama institusi di Russia), antara lain.

Kampus Cawangan Kejuruteraan diterokai di Tronoh, Perak dan kemudian dipindahkan berdekatan zon perdagangan bebas utara, khasnya Pulau Pinang. Menjadikan perkongsian penyelidikan begitu rapi dan memberangsangkan. Membolehkan USM menjadi universiti penyelidikan terunggul pada awal 2000.

Tidak ketinggalan tertubuhnya Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan pertama di Malaysia. Diikuti Pusat Doping, serta Pusat Racun Negara yang pertama juga. Sekali gus bersama Pusat Pengajian Sains Farmasi tunggal, gabungan kesemua ini meletakkan USM di persada dunia dengan bangga. Tidak perlu penarafan atau ranking itu dan ini seperti yang disibuk-sibukkan kini.

Selain itu, apabila menjadi NC pada 1982, Musa turut memperbaharui budaya kerja dan pengurusan USM dengan memperkenalkan dua rombakan menyeluruh melalui Program Critical Success Factor (CSF) dan Total Quality Management (TQM) menurut kaca mata dunia. Semua peringkat di USM terlibat dalam apa kini dipanggil sebagai pendekatan menyeluruh sekali gus.

Latihan dari pihak swasta diperkongsikan agar USM turut maju sejajar zaman. Dan serentak dengan Wawasan 2020 yang diwar-war negara. Saya yang menganggotai pasukan program tersebut mendapati keberanian Musa sebagai NC melangkah keluar bendul amat luar biasa.

Terus menghembus jiwa merdeka memperjuangkan kebebasan kepada segenap lapisan universiti untuk dicontohi. Birokrasi dirungkai sejauh mampu berakhir kemudian dengan gagasan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) pada 2008 sehinggalah kini.

USM semasa dibawah tampuk terajuinya, rancak diperingkat global dalam menyemak perkembangan dunia untuk menyelesaikan sembilan cabaran Wawasan 2020. Ini semua meletakkan kedudukannya amat terhormat dikalangan universiti serantau, dan dunia.

HANYA BEKERJA TANPA POLITIK
Petah dengan isu-isu semasa tanpa merasa ‘bersalah’ atau berdolak-dalik. Sebagai seorang ahli akademik yang serius, tidak banyak berceloteh untuk memancing undi, namun tetap jujur menyampaikan amanah setepat mungkin. Berani bersemuka untuk mencari penyelesaian terbaik, tanpa berselindung di belakang telunjuk. Meremeh yang tidak setuju, dan bersaksi ke lutut.

Oleh itu apabila diangkat menjadi seorang menteri, keseluruhan sektor dikayakan lagi dengan pengalaman baru melebihi sedekad, berbanding yang cetek, usang. Ditambah pula dengan kemahiran profesional serta rantaian sosial yang menjala. Ini dirasakan sendiri oleh saya apabila mendapatkan nasihat semasa lantikan NC USM Kelima pada Disember 2000.

Agak memeranjatkan adalah kata-kata nasihat yang ringkas lagi padat, ‘kembara dunia, khabarkan tentang USM. Perbaiki kedudukannya.’ Noktah. Selesai. Terpulanglah bagaimana mencirikannya mengikut kontek USM serta cabaran masa hadapan pendidikan.

Pihak Kementerian tidak lagi ‘mengacau’. Tidak perlu slogan, salam itu dan ini. Ampu ke sana ke mari. Kalau cuba pun tidak berhasil kerana lebih percaya bukti, bukan iri hati.

Disinilah terletak perbezaan terbesar, ketara akan cara dan gerak kerja yang mendidik dari lubuk pengalaman mendalam penuh berisi. Didikan terletak dalam sanubari merentasi undi dan kesempatan diri. Tidak takut, malah berani berasaskan keyakinan Ilahi. Meneladani seorang menteri pendidikan mithali yang tiada lagi.

Siakap, senohong, gelama, ikan buntal. Jangan hanya pandai mengomong, buktikan juga apa yang diamal.

Tikus mondok, harimau belang,
Merak kayangan tidak terperi,
Biar hidup jadi penerang,
Teladani amanah, menteri mithali.

Semoga Allah SWT mencucuri Rahmat ke atas roh suci yang telah kembali. Amin.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Kelima sejak 2000 hingga 2011 dan kini merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN