Malaysia berada di landasan tepat ubah industri semikonduktor

Malaysia berada di landasan tepat ubah industri semikonduktor

KERJASAMA dengan ARM yang merupakan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) dapat memberi lonjakan permulaan kepada Malaysia dan memendekkan masa sehingga dua tahun. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STRATEGI Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia dalam membangunkan industri semikonduktor, yang diumumkan Perdana Menteri merupakan satu langkah yang strategik dan kritikal dalam melonjak kepentingan sektor penting ini bagi pulangan berangkai kepada negara.

Impak positif kepada masa depan negara bukan sahaja tertumpu dalam domain ekonomi, pelaburan, pulangan pembangunan teknologi dan peluang pekerjaan semata-mata, namun kekal kritikal dalam sektor keselamatan, pertahanan serta geopolitik.

Dengan sasaran utama NSS yang akan menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah penyelidikan dan pembangunan (R7D) global untuk semikonduktor, langkah serius dan proaktif semua pihak dalam merentasi sektor kerajaan, industri dan swasta menjadi faktor pelonjak kritikal.

Persaingan yang kian sengit di peringkat serantau dan global dalam mendominasi domain semikonduktor ini menjadikan perlumbaan ke arah membentuk landasan yang tepat dalam bidang ini menjadi tuntutan strategik dan nyata bagi kelangsungan kelebihan negara.

Peruntukan pada peringkat awal yang memerlukan suntikan fiskal sebanyak RM25 billion mungkin dilihat ramai sebagai peruntukan yang tinggi, namun pulangan berangkai kepada negara jauh lebih tinggi dalam jangkaan akan datang.

Kita tidak boleh ketinggalan dalam bidang ini yang hakikatnya kelebihannya memihak kepada kita, dengan pembangunan industri ini yang telah lama bertapak di negara kita sejak lebih dari empat dekat lalu.

Pemerkasaan bidang semikonduktor menjadi tuntutan kritikal, seiring dengan agenda kerajaan untuk turut menjulang industri berkaitan, terutamanya domain kepintaran buatan, industri berteknologi tinggi baharu, ekonomi digital, sumber tenaga baharu, industri robotik dan teknologi kuantum, industri automotif kereta elektrik dan banyak lagi.

Permintaan cip berkuasa tinggi dalam bidang semikonduktor ini menjadi pemangkin serta faktor pelonjak dalam sinergi transformasi ekonomi negara, selari dengan pembangunan sektor kritikal lain yang akan menyuntik bargaining chips and leverage yang mendalam kepada kepentingan geopolitik dan ekonomi negara dalam menghadapi persaingan ekonomi dan kuasa global baharu yang kian sengit dan meruncing.

Semikonduktor ialah komponen kritikal yang terdapat dalam banyak fungsian, daripada telefon pintar kepada kereta dan menjadi pentas persaingan geopolitik global.

Malaysia bersedia untuk mengukuhkan peranan dan kedudukannya sebagai hab serantau baharu bagi sektor ini, yang mana peranan Malaysia semakin meningkat dalam mengubah dinamik perlumbaan semikonduktor.

Persaingan teknologi, ekonomi, perdagangan dan geopolitik antara Washington dan Beijing memberi manfaat kepada rantau ini dan khususnya Malaysia dalam mendapatkan semula penguasaan dan kedudukan yang pernah dipegang dalam bidang semikonduktor.

Kebimbangan terhadap daya tahan jangka panjang dominasi Taiwan dalam sektor semikonduktor dengan ketidaktentuan geopolitik dan keselamatan yang semakin meningkat juga mendorong peningkatan tumpuan terhadap Malaysia, yang kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, dan membekalkan 23 peratus daripada semua cip Amerika.

Malaysia pernah dilabelkan sebagai Silicon Valley of the East, yang menerajui bidang semikonduktor pada 1970-an tetapi dipintas Korea Selatan dan Taiwan pada 1990-an dengan kebangkitan Samsung dan Taiwan Semiconductors Manufacturing Co. (TSMC).

Semasa kemuncaknya, Malaysia menjadi pentas tarikan kepada firma gergasi dunia seperti Intel, mewujudkan zon perdagangan bebas di pulau Pulau Pinang, menawarkan kelebihan cukai, dan membina infrastruktur yang diperlukan dalam memacu pembangunan industri ini.

Kelebihan melalui dasar sokongan kerajaan dan juga modal insan berkeupayaan serta fasih dalam Bahasa Inggeris menjadi faktor tarikan lain.

Malaysia mengawal 13 peratus pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian bagi semikonduktor. Industri semikonduktor menyumbang kepada anggaran 25 peratus daripada KDNK Malaysia.

Malaysia dilihat sebagai penghubung penting dalam rantaian bekalan industri semikonduktor.

Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan kepelbagaian rantaian bekalan, yang mana firma berusaha untuk mempelbagaikan sandaran mereka apabila AS mengenakan sekatan ke atas industri cip China, mengharamkan akses China kepada cip mewah dan komponen kritikal termasuk reka bentuk cip kecerdasan buatan (AI).

Malaysia mempunyai semua potensi dan faktor sokongan yang diperlukan dan semua pihak perlu bergerak pantas dan seiring.

Microsoft juga baru-baru ini menjanjikan pelaburan AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam AI dan pengkomputeran awan untuk membantu membangunkan infrastruktur AI negara, di samping pelaburan Google sebanyak RM9.4 billion.

Semua ini menggambarkan daya tarikan jangka panjang yang semakin meningkat bagi sektor kritikal negara.

Usaha baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pelaburan teknologi digital dan kenderaan elektrik (EV) boleh menjadi tarikan tambahan bagi firma cip untuk memperkukuh kehadiran mereka di sini, dengan permintaan yang berkaitan dan saling menguntungkan kedua-dua industri.

Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang teras kritikal terutamanya dalam AI dan pembelajaran mesin (ML).

LANDASAN TEPAT
Jurang sistemik masih wujud dalam bekalan dan pembangunan modal insan dan ketersediaan tenaga kerja mahir.

Dalam mengatasi kepompong perangkap berpendapatan sederhana pemacu ke arah struktur ekonomi baharu yang berasaskan teknologi berimpak tinggi dan sektor digital dan aliran masuk pelaburan berkualiti dengan kesan limpahan ke atas peningkatan pendapatan serta penyediaan pemindahan teknologi dan kepakaran kekal penting.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sistemik, Malaysia masih dianggap sebagai salah satu daripada tiga hab pengeluaran di Asia untuk semikonduktor, bersama dengan Korea Selatan dan Taiwan.

Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk memanfaatkan peluang sebenar untuk memperkukuh kedudukan negara dalam bidang kritikal geopolitik, termasuk sumber mineral strategik terutamanya nadir bumi.

Semua pihak perlu terus jitu dan kukuh dalam rencana strategik jangka panjang negara untuk membangunkan dan mempertahankan kepentingan aset negara dalam sektor strategik ini, demi hasrat untuk memacu kegemilangan dan pulangan ekonomi dan keselamatan negara pada masa depan.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN