KEPUTUSAN Sijil Pelajaran (SPM) 2023 telah mencatatkan prestasi lebih baik di mana 11,713 daripada 373,525 calon yang menduduki telah memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran. Segala apa keputusan yang diperoleh harus diterima dengan hati terbuka. Andai kata keputusan diterima menepati atau melebihi apa yang disasar, maka bergembiralah dan ucapkan kesyukuran. Syabas diucapkan.
Kalungan penghargaan harus diberikan bagi pihak guru dan juga ibu bapa penjaga yang telah turut bersama berkorban dalam membantu persiapan calon-calon dari segi aspek pembelajaran, pengajaran, kewangan dan juga sokongan moral tidak berbelah bahagi, sepanjang dua tahun pembelajaran dan juga ketika musim peperiksaan.
Andai keputusan tersasar, bersabar dan bertabahlah. Jangan bersedih dan meratap berlebihan. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Harus diingatkan SPM bukanlah titik pengakhiran kepada kemenangan atau kegagalan. Ia hanya sebagai salah satu titik permulaan kepada fasa seterusnya dalam kehidupan seseorang insan. Perjalanan hidup seterusnya sudah pasti lebih penting dalam pembentukan modal insan yang komprehensif.
Seperti lazimnya, destinasi seterusnya bagi lepasan SPM ini adalah menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sama ada memilih cabang tingkatan enam, matrikulasi, diploma mahupun pensijilan professional dan kemahiran jangka pendek. Namun, bagi mereka yang tidak bernasib baik, tidak berminat atau tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian, pilihan untuk terus melompat ke dunia pekerjaan boleh diberi pertimbangan sewajarnya.
Andai cabang bekerja menjadi pilihan, pilihlah kerjaya secara waspada. Dunia kerjaya bukanlah semudah disangkakan. Jangan ambil jalan mudah memilih kerja tanpa kajian teliti. Sebagai contoh, kegilaan tren semasa iaitu bekerja sebagai hos jualan siaran langsung di platform atas talian, menceburi bidang mencipta kandungan (content creator) mahupun berjinak-jinak untuk menjadi pempengaruh, ataupun mengambil jalan mudah menjadi pekerja sektor gig.
Walaupun kelihatan seperti santai, bebas dan tidak terikat, kerjaya ini perlu pendekatan menyeluruh dan komitmen serius sekiranya ingin berjaya sepenuhnya. Jangan pilih sekadar tangkap muat, pilihlah kerjaya yang mampu menjamin masa hadapan.
Bagi mereka yang ingin menyambung langkah ke menara gading, pilihlah bidang pengajian atas kehendak dan minat sendiri, dan bukannya atas paksaan. Berdasarkan pengamatan beberapa tahun sebagai ahli akademik, ada ibu bapa telah mencorak perancangan pengajian tertiari tanpa mengambil kira minat dan kemampuan anak mereka.
Ada ibu bapa memaksa anak mereka untuk menyambung bidang pengajian kurang diminati dan tetap berkeras dengan pilihan mereka. Akibatnya, si anak gagal mengadaptasi dengan keperluan bidang tersebut, tertekan secara mental malah ada yang kecundang, gagal dan disingkirkan di tengah jalan tempoh pengajian.
Ada juga berjaya menamatkan pengajian walaupun dalam hati, melakukannya demi menjaga hati dan kehendak ibu bapa mereka. Namun, apabila tamat pengajian, mereka mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pengajian bidang sama di peringkat ijazah.
Ada juga memilih untuk bekerja di luar bidang pengajian atau kembali ke bidang yang mereka asalnya minati. Sudah pasti ini serba sedikit merugikan bukan sahaja dari perspektif tenaga kerja industri bidang pengajian tersebut dan juga kepada tempoh masa yang telah dihabiskan oleh anak tersebut.
Sudah pasti ibu bapa lebih matang dalam mencorak keputusan agar anak tidak membuat pilihan yang salah. Namun, ibu bapa disarankan agar lebih fleksibel dan tidak terlalu menekan anak mereka untuk memilih bidang pengajian dikehendaki.
Tidak salah untuk mengidamkan anak melanjutkan pengajian khususnya dalam kursus popular, kursus bidang kritikal dan juga kursus bidang yang mampu menjanjikan kerjaya lumayan kelak, namun berikan juga ruang kelonggaran untuk anak menyuarakan bidang diminati. Berbincanglah bersama, kerana acuan dicorak bukan sahaja untuk masa terdekat tetapi juga demi kebaikan masa hadapan kelak.
Andai kata masih buntu, kunjungilah ekspo dan karnival pendidikan dianjurkan dalam masa terdekat ini. Institut pendidikan tinggi (IPT), sama ada awam dan swasta, semestinya akan mengadakan aktiviti promosi akademik secara besar-besaran, secara fizikal dan atas talian, mensasarkan lepasan SPM ini bagi memberi maklumat dan pendedahan lebih tepat tentang kursus-kursus ditawarkan di institusi mereka.
Gunakan peluang ini untuk mendapat maklumat lebih jelas dan mendalam tentang pelbagai bidang pengajian ditawarkan termasuk bidang pengajian baharu seperti pengurusan halal, pengurusan rantaian bekalan, teknologi hijau, kecerdasan buatan dan keselamatan siber.
Kempen promosi akademik ini bukan sahaja medan mengetahui kepelbagaian bidang pengajian ditawarkan. Pelbagai aktiviti penting juga disediakan termasuk menyediakan bengkel cara mengisi borang permohonan kemasukan universiti, taklimat oleh pakar bidang dan alumni, kemudahan pembiayaan pengajian dan biasiswa, serta ceramah motivasi. Selain dianjurkan oleh IPT tempatan, ada juga IPT luar negara melantik agen untuk mempromosikan pilihan kepada lepasan SPM ini cabang untuk melanjutkan pengajian di negara mereka.
Mana pun langkah masa hadapan ingin dipilih, sama ada melanjutkan pengajian atau bekerja, buatlah perbandingan secara matang dan mendalam. Jangan terlampau mengikut perasaan dan secara terburu-buru. Dapatkanlah pandangan dan nasihat daripada keluarga serta pihak yang sepatutnya.
Sekali lagi syabas diucapkan kepada mereka yang telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang dan jangan putus asa kepada mereka yang tidak bernasib baik. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa, pendidik dan pihak berkenaan atas segala jasa sumbangan dan pengorbanan dalam perjuangan mereka dalam peperiksaan SPM ini. – UTUSAN
DR. Mohd Hafiz Zulfakar ialah pensyarah dari Jabatan Pengajian Teknologi dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam.










