PADA saat ini, jemaah haji seluruh dunia sedang menunggu waktu kemuncak rukun Islam kelima iaitu wukuf di Arafah yang dijadualkan esok. Semoga Allah kurniakan kesihatan dan diberi kemudahan untuk semua mereka terutama jemaah haji Malaysia menunaikan ibadat tersebut.
Berwukuf bermaksud seseorang jemaah itu wajib berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan bermula daripada gelincir matahari hari 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
Persiapan operasi Masyair sudah siap sepenuhnya bagi menyambut 31,600 jemaah haji Malaysia ke bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula hari ini.
Bagi kita di Malaysia, jangan pula melepaskan peluang melakukan ibadat-ibadat sunat yang mempunyai ganjaran pahala yang besar dalam 10 hari terawal Zulhijah.
Di Malaysia, kita menyambut hari Arafah lusa iaitu Ahad, berbeza dengan Arab Saudi yang menyambutnya esok. Memandangkan kita sambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin, 17 Jun, maka digalakkan puasa sunat Tarwiyyah (hari kelapan Zulhijah) pada Sabtu dan puasa sunat Arafah pada Ahad.
Kelebihan puasa hari Arafah yang disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji dijelaskan oleh Rasulullah. Ia berdasarkan hadis baginda yang bermaksud: Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim)
Amalan yang boleh dilakukan pada hari Arafah adalah berdoa kepada Allah. Ia adalah waktu berdoa paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan. Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih.
Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu). (Riwayat al-Tirmidzi)
Wukuf hari Arafah dan doa mustajab ini khusus untuk jemaah haji yang berada di sana. Amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib. Walaupun wukuf dan doa mustajab dikhususkan untuk jemaah haji yang berada di Arafah, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, boleh mengambil peluang dan kelebihan padanya.
Untuk itu, jangan lepaskan peluang berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing tanpa mengehadkan tempoh berdoa kepada masa tertentu. Bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Sebabnya tiada dalil khusus yang mengehadkannya.
MENYEMBELIH KORBAN
Amalan seterusnya adalan melaksanakan ibadah korban. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)
Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (tanda kesyukuran). (al-Kauthar: 2)
Tujuan berkorban binatang ternakan adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Waktu menyembelih binatang korban bermula selepas solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah waktu asar hari tasyrik iaitu 13 Zulhijah. Waktu afdal adalah waktu duha pada 10 Zulhijah.
ADAT
Dalam melaksanakan ibadat korban, setiap individu kena tahu beza antara adat dan ibadat. Inilah pentingnya pendidikan agama yang perlu dipasak kemas bermula daripada usia awal. Masyarakat perlu diberi penekanan dan kefahaman yang jelas bahawasanya ibadah korban ini merupakan satu syiar Islam yang agung.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu. Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (al-Hajj: 36)
Tentang daging korban, jika haiwan tersebut adalah korban sunat, maka sunat juga untuk makan sebahagian daripada daging haiwan korban itu. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain.
Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang berbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. (Riwayat Muslim)
Pembahagian daging korban sunat pula adalah seperti berikut, antaranya:
Disunatkan orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
Paling afdal, seseorang yang melakukan korban sedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan makan sedikit sahaja sebagai sekadar mengambil berkat.
Ada pun jika ia adalah korban wajib seperti korban nazar atau dam haji yang wajib maka tuan korban haram makan daging korban tersebut walaupun sedikit. Wajib baginya sedekah semua daging korban tersebut itu kepada fakir miskin.
Seperkara lagi yang perlu kita perbanyakkan ialah bertakbir. Ia bermula selepas solat subuh Ahad (hari Arafah) hingga hujung waktu asar hari ketiga tasyrik.
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya Aidiladha iaitu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad. Kedua-dua takbir hendaklah dilaungkan dengan kuat agar didengari orang ramai bagi menzahirkan syiar Islam.
Takbir Mursal ialah takbir yang tidak terikat dengan waktu solat. Waktunya bermula pada waktu maghrib 9 Zulhijjah sehingga solat sunat hari raya Aidiladha.
Takbir Muqayyad pula ialah takbir yang terikat dengan solat fardu. Waktunya bermula pada waktu Subuh 9 Zulhijjah dan berakhir pada waktu asar 13 Zulhijah. Disunatkan bertakbir pada setiap jenis solat sama ada solat fardu, solat sunat, qada, nazar, rawatib dan lain-lain kerana ia merupakan syiar bagi waktu solat. – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










