ADA Ahli Parlimen dan Pensyarah Sains Politik yang seperti menakut-nakutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meminta beliau berhati-hati menarik balik subsidi diesel dan petrol supaya tidak mengulangi nasib yang menimpa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kata mereka, jangan kerana penarikan balik subsidi terhadap diesel dan petrol ini maka rakyat pula akan menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan seperti yang dialami oleh Abdullah yang merosot teruk prestasinya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) pada 2008.
Nasihat ini baik tetapi faktanya tidak betul. PRU 12 dilangsungkan pada 8 Mac 2008 sebelum penstrukturan semula subsidi diesel dan petrol dilakukan pada 4 Jun 2008. Oleh itu, mana mungkin kemerosotan teruk prestasi BN dalam PRU 12 berpunca daripada penstrukturan semula ini?
Banyak faktor yang menyumbang kepada kemerosotan teruk prestasi BN dalam PRU 12. Antaranya ialah pembebasan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan yang membatalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar empat tahun sebelumnya ekoran kesilapan pada 2 September 2004.
Bila Anwar bebas, banyak perkara yang beliau lakukan untuk menyatukan semula barisan pembangkang yang dalam PRU 11 berpecah setelah DAP keluar dari Barisan Alternatif (BA) pada 2001 kerana pergaduhannya dengan Pas atas ketegasan Pas memperjuangkan negara Islam.
Abdullah juga menghadapi penentangan dalaman dari UMNO setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka mendedahkan dan mengkritik pelbagai kelemahan pentadbiran Abdullah bermula dari tindakan Abdullah membatalkan pembinaan jambatan bengkok pada 12 April 2006.
Lebih memburukkan keadaan, tindakan Anwar mendedahkan pada 19 September 2007 satu klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan, Datuk V. K. Lingam, berbual melalui telefon dengan Ketua Hakim Negara pada waktu itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Klip video ini menyebabkan perarakan Majlis Peguam pada 26 September 2007, selain perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 dan perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, serta memaksa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja pada 12 Disember 2007.
Apa pun, penstrukturan semula subsidi memang dilakukan Abdullah. Ia melibatkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.00. Rebat RM625 setahun kepada kenderaan bawah 2000cc dan RM150 setahun kepada motosikal bawah 250cc diberi.
Bagaimanapun, berdepan tentangan masyarakat, Abdullah mengumumkan pada 11 Jun 2008 bahawa harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi bagi mengurangkan bebanan rakyat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras tinggi pada bulan-bulan mendatang.
Pada 22 Ogos 2008, Abdullah malah mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97, petrol RON92 dan diesel, dan dalam Amanat Tahun Baru 2009 beliau menyatakan harga ini turun tujuh kali sejak Ogos 2008 malah lebih rendah daripada harga sebelum ia dinaikkan pada Jun 2008.
Dalam hubungan inilah, maka kenyataan Anwar sebelum ini bahawa Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum beliau tidak mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan penstrukturan semula atau penyasaran subsidi bahan api perlu dilihat, bila dikecam maka terus berundur.
Sebenarnya tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan oleh Anwar jika beliau bertegas melaksanakan penyasaran subsidi bahan api. Rekod Jokowi sebagai Presiden Indonesia menguruskan penyasaran subsidi bahan api membuktikan bahawa ia baik untuk rakyat.
Jokowi menjadi Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2014. Sejurus itu beliau pada 17 November 2014 terus mengubah struktur subsidi bahan api walaupun ia sangat tidak popular untuk menangani masalah fiskal terbesar, iaitu subsidi bahan api sebanyak AS$23 bilion (RM75.6 bilion).
Menurut Jokowi, pampasan tertentu diberikan kepada kumpulan masyarakat yang terjejas teruk akibat perubahan subsidi bahan api itu manakala hasil penjimatan daripada subsidi bahan api itu pula disalurkan kepada projek infrastruktur, pertanian, pendidikan dan kesihatan.
Seperti apa yang diperkatakan oleh Anwar dalam memperkenalkan rasionalisasi subsidi, Jokowi dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen di seluruh negara berkata, “Dari semasa ke semasa, negara berdepan pilihan yang sukar. Bagaimanapun, kita mesti membuat keputusan.”
Langkah Jokowi menaikkan harga bahan api Indonesia, antara yang paling rendah di dunia, sebanyak Rp2,000 seliter, dengan petrol bersubsidi dinaikkan menjadi Rp8,500 seliter dan diesel dinaikkan menjadi Rp7,500 seliter, disambut baik oleh pakar-pakar ekonomi negara itu.
Bagaimanapun, langkah yang menunjukkan Jokowi serius dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi di Indonesia itu menyebabkan beliau menjadi tidak popular dalam jangka masa pendek di mana beliau dikecam oleh sesetengah ahli politik dan penyokong pembangkang.
Namun, Jokowi tegar mempertahankannya dan dalam satu pidatonya menyebut: “Saya memahami, kebijakan pemerintah seakan-akan tidak berpihak kepada rakyat, namun moral politik saya mengatakan saya harus bertindak dan menghentikan praktik-praktik yang tidak benar.”
Setelah setahun, penjelasan terperinci dibuat oleh Kementerian Kewangan ke atas angka penyasaran subsidi bahan api sebanyak Rp211,3 triliun meliputi Program Prioritas Belanja Pusat Rp113,9 triliun dan Program Prioritas Belanja Daerah Tertinggal/Desa Rp34,7 triliun.
Dana penyasaran subsidi bahan api juga diperuntukkan untuk subsidi bukan tenaga Rp4,3 triliun, subsidi elektrik Rp4,5 triliun, pembayaran bunga hutang Rp3,8 triliun, menjaga ketahanan dan kesinambungan fiskal Rp31,9 triliun, serta dana lain-lain sebanyak Rp18,2 triliun.
Salah satu bentuk alokasi prioriti belanja pemerintah pusat adalah program Kad Keluarga Sejahtera (KKS) sebanyak Rp9,3 triliun, Kad Indonesia Sihat (KIS) sebanyak Rp2,7 triliun, serta Rp7,1 triliun untuk menjalankan program Kad Indonesia Pintar (KIP).
Akhirnya tindakan Jokowi disokong oleh rakyat membolehkan beliau sekali lagi menang cemerlang dalam pilihan raya Presiden pada 17 April 2019. Inilah juga yang boleh berlaku kepada Anwar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) jika beliau tegar melaksanakan dasar ini.
Setiap perubahan sudah pasti akan ada tentangan dan memerlukan tempoh sebulan dua untuk melakukan penyesuaian dan penambahbaikan. Selepas semua masalah titik-bengik perincian dan adaptasi diselesaikan, hasilnya akan kelihatan dan ia boleh diperluaskan ke subsidi petrol pula. – UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh adalah Profesor Emeritus dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










