Buku bukan sekadar ilmu tetapi penggerak motivasi diri

Buku bukan sekadar ilmu tetapi penggerak motivasi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2024) yang diadakan bagi edisi ke-41 dari 24 Mei hingga 2 Jun lalu telah melabuhkan tirai. Acara tahunan yang dinanti-nantikan ini terus menjadi platform utama untuk pencinta buku, penerbit, penulis dan pembaca dari seluruh dunia untuk berkumpul dan berkongsi minat terhadap dunia perbukuan.

Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menganjurkan PBAKL dengan kerjasama enam persatuan industri buku Malaysia. PBAKL merupakan acara utama dalam kalendar global penerbitan bagi setiap tahun.

Bermula tahun pertama, 1981, PBAKL berjaya mencatatkan lebih daripada dua juta bilangan pengunjung pada 2013 sehingga kini. Program yang diadakan seperti pelancaran buku, seminar, konvensyen dan sebagainya adalah antara aktiviti yang turut dijalankan bagi memenuhi keperluan komuniti pembaca yang tergolong daripada semua lapisan masyarakat.

Jika kita rajin membaca maka bertambahlah pengetahuan kerana membaca jambatan ilmu. Seseorang yang mengamalkan tabiat membaca sebagai santapan minda harian seperti membaca surat khabar akan dapat mengikuti arus perkembangan dunia dan isu-isu semasa yang berlaku di dalam atau di luar negara. Ini akan menjadikan seseorang itu manusia yang serba tahu.

Bermula dari melukis serta melakar di dinding-dinding gua sehingga terhasilnya teknologi mencipta kertas, manusia tidak pernah berhenti menjana kebijaksanannya melalui aktiviti peradaban beribu-ribu tahun ini.

Tahukah bahawa dengan membaca kita telah memberi makanan kepada otak. Kita menghidupkan neuron-neuron atau sel-sel otak untuk menjadi lebih aktif dan terhubung dengan lebih cergas dan cerdas. Hasilnya mendorong kita lebih optimis dan positif terhadap satu-satu perkara yang kita lalui, sama ada hal yang baik atau sebaliknya.

Dorongan inilah sebagai motivasi minda bawah sedar yang harus diketahui oleh kita semua, mengapa pemerintah atau peneraju kerajaan menitik beratkan perihal memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyatnya.

Motivasi sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat menentukan hala tuju dan keberkesanannya. Pelajar yang bermotivasi tinggi biasanya mempunyai dorongan yang kuat dan mantap untuk terus berminat dengan apa yang disampaikan hasil dari rangsangan-rangsangan yang kuat iaitu menerusi insentif dan motif.

Usainya PBAKL 2024 ini, Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Forum Biblioterapi: Pembacaan, Penulisan dan Penyembuhan bersempena dengan Hari Pustakawan Malaysia pada 6 Jun lalu.

Forum ini menampilkan ahli-ahli dalam bidang ini iaitu Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM); Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Rafidah Abdul Aziz dan Penolong Pegawai Psikologi, Unit Pengurusan Psikologi Penjara Sungai Buloh, Ramlan Ramli.

Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari ketika ucapan perasmian berharap akan ada tindakan segera dapat dilakukan bagi membantu kanak-kanak yang mengalami tekanan mental seperti yang dilaporkan. Bahkan beliau turut berkata, sudah tentu terapi membaca akan dapat memulihkan keadaan ini untuk jangka panjang.

Perkongsian ketiga-tiga orang ahli panel ini cukup menakjubkan dan sewajarnya. Forum sedemikian ini wajarlah diberikan tempat khusus dalam PBAKL pada masa-masa akan datang.

 

 

SESEORANG yang mengamalkan tabiat membaca sebagai santapan minda harian dapat menjadikan mereka manusia yang serba tahu.

 

BIBLIOTERAPI
Kita meminta rakyat membaca tetapi apabila disertakan dengan ilmu bantu berkaitan biblioterapi, kami berpandangan dalam memperhebatkan literasi membaca akan meningkatkan kesihatan minda yang hubung kait dengan elemen lain termasuk emosi, rohani, komunikasi serta jasmani.

Melalui petikan oleh Persatuan Biblioterapi Malaysia (Perbima), biblioterapi adalah satu bentuk terapi seni kreatif yang melibatkan penggunaan kaedah membaca dan bercerita sebagai cara untuk membantu individu meningkatkan kesihatan mental.

Berdasarkan petikan ini, jelas bahawa dalam penguasaan literasi membaca, sikap dan motivasi adalah berkait rapat antara satu sama lain terutama merujuk kepada murid yang rendah pencapaian di sekolah berpotensi untuk tercicir dalam pelajaran mereka. Sehubungan dengan itu, pandangan sebenar guru dan ibu bapa perlu diteliti dalam meneroka sikap serta motivasi yang mempengaruhi permasalahan literasi membaca murid-murid ini.

Cuba kita bersama dan meneliti proses perkembangan manusia sejak dilahirkan. Manusia adalah makhluk istimewa yang sentiasa tidak putus asa untuk belajar dan terus belajar.

Bermula dari mengenal suara ibu ayah, mengecam wajah ibu dan ayah dan insan-insan di sekelilingnya, bayi terus sahaja belajar dan proses tumbesarannya seiring dengan bagaimana otaknya turut memacu kecerdasan dan kecergasannya. Walaupun lahir dalam keadaan tidak sempurna seperti orang kurang upaya (OKU), manusia tetap memiliki keistimewaan yang khusus dan andaian bahawa mereka tidak seperti insan normal adalah tidak tepat.

Dalam serba kekurangan, mereka ada kaedah khusus untuk meningkatkan literasi membaca dan akhirnya kecerdasan sesetengah OKU mencapai tahap optimum lebih daripada insan normal.

Semuanya kerana literasi membaca dan insan yang berbudaya membaca merupakan golongan berilmu.

Minat membaca berkait rapat dengan budaya ilmu kerana ia mampu melonjakkan pembangunan serta kemajuan dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang berorientasikan sains dan teknologi.

Golongan belia perlu memahami asas-asas penulisan buku selain diberi pendedahan tentang peranan serta kepentingan penerbitan buku sebagai penyambung tradisi kecemerlangan selain kemajuan sesebuah negara seperti yang telah dibuktikan daripada sejarah peradaban yang sehingga ke hari ini impaknya dapat dilihat dan dibanggakan.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN