Terdapat beberapa portal berita menyiarkan reaksi negatif segolongan rakyat terhadap tindakan kerajaan yang menetapkan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu.
Sepatutnya suara-suara negatif begini tidak timbul kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan justifikasi kukuh melalui beberapa kenyataan termasuk menegaskan ia mesti dilaksanakan untuk menyelamatkan negara daripada kemelut kewangan.
Subsidi pukal lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara sehingga hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada 2020, malah ia turut dinikmati lebih 3.5 juta orang asing.
Keperluan untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan pada tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion. Penerusan subsidi pukal akan menyebabkan negara terus berhutang sedangkan hutang dan liabiliti kita sudah mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyokong hasrat kerajaan untuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan harapan agar mengurangkan bebanan hutang sekali gus menyumbang kepada lebihan fiskal negara.
Suara-suara negatif begini berpunca daripada tindakan sesetengah pemimpin pembangkang seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata kenaikan ini akan menyebabkan kesan gandaan kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.
Sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi dalam pakatan pembangkang, Muhyiddin perlu bercakap mengenai perkara konkrit yang terhasil melalui kajian mendalam dan tidak bermain dengan spekulasi tidak pasti yang berselindung di sebalik istilah ‘mungkin’.
Muhyiddin sepatutnya tidak buat-buat bersedih atas perkara yang tidak betul kerana rakyat sebenarnya akan gembira apabila melalui penjimatan ini, mereka akan memperoleh tambahan bantuan tunai melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Nada suara Muhyiddin ini malah bercanggah dengan kenyataan beliau pada 30 Julai 2022 yang mahukan kerajaan yang waktu itu diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan subsidi bersasar kerana kajian mendapati 50 peratus subsidi ini digunakan oleh orang kaya.
Bila diteliti rakaman video yang ditularkan oleh portal berita ini, suara-suara negatif ini adalah senada dengan suara Muhyiddin, iaitu kebimbangan peniaga bahawa harga barangan mungkin naik menyebabkan mereka juga akan terpaksa menaikkan harga barangan mereka.
Ada juga kedengaran suara-suara yang mendakwa harga perkhidmatan seperti katering terpaksa dinaikkan kerana kenderaan yang digunakan untuk membawa bekalan barangan tidak mendapat pengecualian untuk Pengangkutan Barangan Darat.
Ada pula pengguna yang menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan tidak akan mampu mengawal kenaikan harga perkhidmatan dan barangan manakala sesetengah pengguna yang lain mahukan kerajaan memperkemaskan prosedur pelaksanaan MySubsidi Diesel.
Semua kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas. Sudah tentulah pada peringkat awal pelaksanaan akan timbul beberapa kekeliruan dan permasalahan kecil tetapi kesemuanya boleh diuruskan dengan baik dan pada akhirnya akan memberi manfaat besar kepada rakyat.
Malah ia terbukti melalui beberapa langkah kerajaan merasionalisasikan dasar subsidi seperti tarif elektrik, apungan harga ayam dan sebagainya. Melalui ini, kita melihat kerajaan mampu untuk mengekang keadaan yang boleh menekan pengguna. Kajian teliti telah dilakukan oleh kerajaan sebelum melaksanakan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan rakyat marhaen tidak terbeban dengannya melalui program Budi Madani yang akan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diperkenalkan sebagai platform khusus untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel seperti sediakala melalui penggunaan ‘fleet card’.
Sementara melalui Budi Agri-Komoditi pula, bantuan subsidi tunai sebanyak RM200 sebulan disediakan kepada golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian terlibat untuk dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.
Melalui Budi Individu pula, bantuan subsidi tunai sebanyak RM200 sebulan disediakan kepada pemilik kenderaan dengan syarat kelayakan tertentu.
Pakar ekonomi seperti Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai lebih faham dengan kebaikan yang diperoleh dari perancangan kerajaan, sebab itu mereka tidak ragu-ragu untuk menyokong penyasaran subsidi diesel ini.
Sebab itu mereka berkata penerusan subsidi diesel untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih serta pemberian bantuan subsidi tunai kepada kelompok yang terkesan dijangka tidak akan menyebabkan kenaikan ketara kepada harga barang dan perkhidmatan pengguna.
TINDAKAN TEGAS
Peniaga yang bersuara di dalam video ini sendiri pun mengakui bahawa setakat ini semua cerita kenaikan harga barangan dan perkhidmatan masih bersifat spekulasi pada tahap ‘mungkin’ sahaja, tetapi pembekal barangan dan perkhidmatan masih belum betul-betul menaikkan harga lagi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sendiri menunjukkan ketegasan menangani kenaikan harga ini dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap 10 buah syarikat yang mengumumkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
KPDN juga memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan, terutamanya di bawah AKHAP 2011.
Tegasnya, kebimbangan sesetengah golongan ini sebenarnya hanya didorong oleh sentimen-sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dengan pendekatan yang lebih menyeluruh mereka pasti menyokongnya. Seterusnya dapat menghapus persepsi ‘mungkin’ dalam kalangan rakyat dalam aspek penyasaran semula subsidi oleh kerajaan.
Kita yakin kerajaan akan sentiasa mengambil kira pelbagai faktor dalam membantu rakyat sekiranya berlaku tekanan yang kuat terhadap kesan rasionalisasi subsidi ini dari semasa ke semasa.-UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM).










