SUDAH lebih tiga minggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. Sebagai seorang bapa kepada lepasan SPM 2022, saya yakin pada masa kini lepasan SPM 2023 telah mengisi pelbagai borang untuk melanjutkan pelajaran termasuklah permohonan biasiswa, penajaan dan pinjaman.
Ada dalam kalangan sahabat juga bertanyakan kepada saya tentang bidang-bidang yang sesuai untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ini. Ini sudah lumrah berlaku pada setiap tahun setelah keputusan SPM diumumkan.
Pemilihan bidang atau kursus sangat penting kerana akan menentukan kerjaya lepasan SPM pada masa depan. Jadi, dalam hal ini mahu tidak mahu bukan setakat pemilihan bidang atau kursus bergantung pada keputusan SPM tetapi juga minat pelajar itu sendiri.
Ibu bapa berperanan memberikan pandangan yang bersesuaian terhadap bidang atau kursus yang ingin diceburi oleh anak-anak mereka.
Lepasan SPM 2023 adalah generasi Z, mereka ini tidak sebagaimana generasi ibu bapa mereka, iaitu generasi X atau Y yang mana cara pemikiran dan bertingkah laku juga tidak sama. Jadi, dalam memberi pandangan kepada mereka sudah tentulah berbeza berbanding zaman ibu bapa mereka ketika remaja.
Sememangnya zaman sudah berubah. Pada tahun-tahun 1970-an, 80-an mahupun 90-an, ramai penduduk Malaysia terdiri daripada golongan muda, namun hari demi hari Malaysia kini menghampiri negara menua pada tahun 2030 dan negara tua pada 2044. Persiapan untuk menghadapi negara menua dan negara tua perlulah dilakukan dengan rapi agar setiap rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera.
Dalam hal ini, tinjauan yang dilakukan Pusat Penyelidikan, Pendidikan dan Kesejahteraan Kewangan (FEWRC) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama penyelidik Universiti Malaya (UM) mengenalpasti penderaan kewangan sebagai penderaan utama warga emas berbanding penderaan psikologikal, fizikal, pengabaian dan kes berkaitan seksual.
Lima penderaan ini perlu ditangani sebaik mungkin terutamanya melibatkan penderaan kewangan yang majoritinya dihadapi oleh lelaki warga emas. Tinjauan yang melibatkan penduduk di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sewajarnya dijadikan asas untuk kerajaan memperluaskan dan memperbanyakkan lagi kajian-kajian tentang warga emas bagi membolehkan Agenda Negara Menua dapat disediakan dengan tersusun, sistematik dan rapi.
Hal ini tidak boleh dipinggirkan sama sekali kerana dengan pelbagai kajian yang mendalam baharulah dapat menjawab pelbagai persoalan tentang warga emas. Sebagai contoh, bagaimana untuk menyediakan warga emas dari sudut kewangan yang mencukupi supaya tidak berlaku sebarang permasalahan pada kemudian hari seperti terpaksa bekerja menyara diri meskipun kudrat semakin lemah.
Selain itu, bagaimana pula untuk menyediakan warga emas agar memiliki kekuatan psikologikal dan fizikal yang bersesuaian dengan umur mereka dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar pada masa akan datang. Dalam hal ini, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar kesihatan warga emas yang lebih dikenali sebagai pakar geriatrik.
Agenda Negara Menua yang sedang disediakan oleh kerajaan perlulah menyeluruh melibatkan semua aspek kehidupan warga emas. Sewajarnya kerajaan mengambil contoh negara-negara seperti Jepun yang memiliki ramai warga emas yang sudah lanjut usia tetapi masih boleh menjalani kehidupan seperti sedia kala tanpa memerlukan bantuan orang lain.
Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu merancang dan membuat persediaan rapi bukan setakat untuk mengekalkan produktiviti Malaysia tetapi juga meningkatkan pada tahap yang lebih baik berbanding negara-negara lain pada masa akan datang.
Sudah tentulah bukan mudah untuk merealisasikan perkara ini kerana majoriti rakyat Malaysia pada ketika itu adalah warga emas dan untuk bersaing dengan negara-negara lain, produktiviti yang tinggi dan mampan adalah aspek yang tidak boleh sesekali dipandang enteng.
Pada masa yang sama, persediaan rapi melibatkan golongan muda yang berkualiti juga sangat penting. Hal ini perlu ditekankan kerana jumlah golongan muda yang semakin berkurangan berbanding warga emas memerlukan golongan muda yang lebih berkualiti bagi membolehkan ekonomi Malaysia dipacu oleh ekonomi baharu berasaskan pendapatan tinggi.
Maka, sistem pendidikan negara perlu digubal dengan baik agar menepati agenda meningkatkan ekonomi Malaysia berpendapatan tinggi.
LAHIR LEBIH RAMAI RAKYAT KREATIF, INOVASI
Dalam konteks ini, timbul persoalan sejauh manakah keputusan SPM yang diumumkan setiap tahun bersesuaian dengan keperluan dan kehendak ekonomi masa hadapan?
Malaysia perlu meramaikan lagi golongan yang bukan setakat produktif tetapi juga sangat kreatif dan inovasi untuk menjana ekonomi baharu berpendapatan tinggi.
Malaysia tidak boleh kekal berada dalam negara berpendapatan sederhana kerana dengan kos sara hidup yang semakin tinggi yang dirasai oleh kebanyakan penduduk pada masa kini, maka ini akan menjejaskan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
Justeru, di samping menyediakan Agenda Negara Menua, satu pelan yang lebih besar dan menyeluruh melibatkan pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia perlu digubal agar rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan sejahtera pada masa akan datang.-UTUSAN
DR. Rohami Shafie ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










