UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) hari ini mencatat sejarah menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara.
MoU tersebut ditandatangani Ahmad Terrirudin yang mewakili AGC dan Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan, Naib Canselor UUM yang mewakili UUM dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM, bersempena sambutan 20 tahun program Sarjana Muda Undang-undang Dengan Kepujian (LL.B) UUM.
Ahmad Terrirudin berkata, AGC komited untuk melaksanakan kandungan MoU tersebut demi kemajuan sistem perundangan negara dan komitmen ini dizahirkan dengan kehadiran beberapa pegawai kanan AGC di majlis tersebut.
”Ini merupakan MoU pertama dimeterai oleh AGC dengan IPTA sejak saya menjadi Peguam Negara dan saya berhasrat agar jalinan kerjasama seumpama ini dengan IPTA lain akan menyusul selepas ini. Pengurusan tertinggi AGC sentiasa memberi ruang dan peluang kepada pegawai untuk meningkatkan ilmu pengetahuan demi memantapkan kerjaya mereka dan saya melihat jalinan kerjasama dengan UUM ini dan IPTA lain pada masa hadapan merupakan antara medium terbaik untuk mencapai hasrat ini”, ujar beliau.
Antara kandungan MoU ini ialah AGC bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), UUM untuk menjalani program sangkutan di AGC malahan ahli akademik/pegawai undang-undang UUM diberi peluang untuk menjalani sabatikal/latihan industri di AGC.
Selain itu, AGC juga akan memberi peluang kepada UUM juga diberi peluang untuk mengemukakan senarai nama graduan terbaik daripada SoL bagi tujuan pemilihan calon untuk Green Harvest Programme.
MoU ini juga menjadi platform jalinan kerjasama bagi tujuan penyelidikan, kajian dan perkongsian ilmu dalam bidang perundangan antara ahli akademik/pegawai undang-undang UUM dengan AGC serta program pembangunan modal insan demi meningkatkan minat para pelajar dalam bidang perundangan.
MoU ini juga akan menjadi titik permulaan kerjasama dengan AGC dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, latihan perundangan, kursus jangka pendek, persidangan bersama, simposium dan konsultasi yang dilaksanakan atau dianjurkan oleh UUM.
Mohd Fuad dalam ucapannya menyatakan pihak UUM amat berbangga kerana berpeluang untuk mewujudkan satu jalinan kerjasama strategik antara UUM dengan pihak AGC.
“Inilah hasrat yang ingin dicapai, iaitu merealisasikan objektif utama dalam mentransformasi pendidikan tinggi Malaysia untuk menghadapi cabaran baharu dengan memanfaatkan nilai ‘deep knowledge’ dan, kemahiran dan bakat dalam kalangan warga UUM dan AGC. Besarlah harapan saya agar perkongsian strategik ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak dan menjadi pemangkin kepada pelbagai perancangan dan pelaksanaan program bersama pada masa hadapan”, ujar beliau.
Pada majlis yang sama, AGC turut mengadakan penerangan mengenai Program Green Harvest kepada pelajar tahun akhir SOL.
Antara pegawai kanan AGC yang hadir ialah Peguam Cara Negara II, Datuk Suzana Atan; Ketua Bahagian Penyelidikan, Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Ketua Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar; Ketua Bahagian Guaman, Tuan Donald Joseph Franklin; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan I, Datuk Masri Mohd. Daud dan Timbalan Ketua Bahagian Penasihat I, Mohamad Onn Abd Aziz.
Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim.
Sementara Penolong Naib Canselor Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS) merangkap Dekan Pusat SoL UUM, Prof Dr. Harlida Abdul Wahab dan pegawai kanan UUM lain turut sama menghadiri majlis tersebut.-UTUSAN










