Sikap darah muda memberontak hanya melulu

Sikap darah muda memberontak hanya melulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI kami selaku anak muda, mencari identiti diri bukanlah satu hal yang mudah. Kadangkala kita tersasar akibat terpengaruh, kehendak dan pandangan teman-teman serta keadaan sekeliling. Justeru, tidaklah menghairankan jika akhirnya gagal mengenal siapakah sebenarnya diri kita.

Seringkali, kita cuba mengikut arus suasana sekeliling supaya tidak dianggap ganjil atau dikatakan kolot. Kita juga risau diejek dan dipulaukan sekiranya kita membawa cara yang berbeza walaupun tidak mengganggu orang lain.

Hal ini begitu ketara dalam kalangan pelajar yang hanya bergaul bersama teman sebaya mereka sahaja, tidak mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarga serta tidak bergaul mesra sesama anggota masyarakat lain. Pergaulan mereka sekadar terhad kepada kelompok masing-masing sahaja, seolah-olah itu sahajalah dunia yang ada.

Hal sebegini menjadikan golongan muda sangat mudah dipengaruhi dan dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan baik bagi tujuan ekonomi, politik, penyebaran ideologi dan sebagainya. Tanpa jati diri yang kuat, hidup kita bagaikan lalang ditiup angin.

Oleh kerana anak muda suka mengikut arus, maka mereka mudah menerima sesuatu yang dianggap sebagai trend yang popular. Apatah lagi jika elemen tersebut diuar-uarkan sebagai elemen penting yang harus ada dalam diri anak muda yang hebat.

Tindakan sembrono kini dianggap sebagai satu keberanian, asalkan ia menepati hajat yang mahu mereka bawa. Jika terdapat cerita yang mahu ditularkan pihak tertentu, mereka yang terus berkongsi tanpa merasakan perlunya menyiasat terlebih dahulu tentang kebenaran cerita yang disebarkan akan dipuji kerana berani dan tidak takut mengambil risiko.

Malang sekali apabila ramai anak muda hari ini mudah bertindak melulu tanpa berfikir panjang. Sehinggakan mereka sanggup melakukan pelbagai tindakan yang tidak masuk akal dan membahayakan nyawa hanya untuk mencari kepuasan diri dan untuk tular di media sosial.

Contohnya, ramai yang dengan bangga melakukan pelbagai cabaran marabahaya walaupun sudah diberi amaran akan betapa bahayanya tindakan mereka itu. Adakah ini yang mahu kita nobatkan sebagai tindakan berani yang harus kita banggakan?

Merasakan diri kita lebih hebat daripada mereka yang lebih berilmu dan lebih luas pengalamannya daripada kita ialah sikap angkuh yang akhirnya merugikan diri kita sendiri. Tuntutlah ilmu dengan ikhlas agar ilmu yang kita peroleh itu berkat dan bermanfaat.

Oleh kerana terlalu sibuk mencari identiti, kita merasa malu jika dilihat masih dibayangi oleh pengaruh generasi yang lebih dewasa. Disebabkan itu, kita terpaksa sentiasa berbeza pendapat dan lantang membantah, hanya kerana mahu dipandang tinggi serta dihormati rakan sebaya.

Ada yang menyeru supaya orang muda lebih berani menentang arus dan tidak segan untuk bersikap kasar. Apabila adab sudah dibuang ke tepi, di manakah mahu kita letakkan maruah bangsa? Jangan gadaikan martabat ketamadunan bangsa dengan pengaruh ideologi songsang dan liar yang jelas bertentangan dengan nilai budaya dan agama kita.

Masakan sikap kekerasan, keangkuhan dan sifat keakuan yang mahu diangkat sebagai identiti diri anak muda kita? Kita insan yang beragama. Justeru, setinggi mana pun kita berada, kita mesti sentiasa patuh kepada perintah agama. Maka, identiti kita mestilah berlandaskan ajaran agama dan bukannya mengambil unsur budaya luar yang melencong jauh daripada hukum agama kita.

 

JANGAN gadaikan masa muda dengan pengaruh ideologi songsang dan liar yang jelas bertentangan dengan nilai budaya dan agama kita.

FAHAMAN RADIKAL
Usaha menerapkan ideologi liar seperti anarkisme ke dalam budaya hidup anak muda kita tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh merosakkan pegangan akidah anak muda. Tidak mahu ada di antara kita yang terkeliru dan terpengaruh pula dengan fahaman radikal yang akan meruntuhkan negara.

Gerakan aktivisme orang muda yang diadun dengan kekerasan dan keangkuhan akan membawa kita lebih dekat kepada sikap radikal dan mudah memberontak. Kita tidak lagi menghormati orang lain tetapi mahu mereka menghormati kita. Mahu didengari tetapi kita tidak mahu mendengar.

Sikap bermusuh dengan pihak autoriti sebagai isyarat kita berhak membuat apa sahaja sebenarnya tidak akan menguntungkan sesiapa. Bahkan, ini bukanlah budaya kita. Negara kita tidak dibina melalui pertumpahan darah tetapi menerusi proses yang tertib dan bermaruah.

Dalam kita sibuk menuntut itu dan ini, kadangkala saya bertanya, mampukah kita menyelesaikan segala masalah yang kita bangkitkan jika diberi tanggungjawab untuk berbuat sedemikian? Sudah menjadi adat manusia, langit dapat dilukis, sudut kambut diserayakan.

Maka, berfikirlah secara matang sebelum menuturkan kata-kata atau bertindak. Tiada gunanya tampak hebat dan gah bunyinya tetapi ibarat tin kosong, tidak ada isinya. Lebih buruk lagi jika tersilap langkah, ia boleh mengundang padah.

Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Ini bermakna, pendapat dan pandangan kita tidak semestinya sentiasa betul. Oleh itu amatlah penting bagi kita untuk mencari kebenaran dan belajar mendengar pendapat orang lain. Jika ada masalah, jangan bertindak melulu. Duduklah berbincang dan siasat dahulu sebelum bertindak.

Kita harus mempunyai matlamat hidup yang jelas dan bukan sekadar membiarkan diri hanyut di bawa arus ke mana sahaja. Bukan mudah untuk mencari kebenaran dalam dunia yang penuh kepalsuan. Gunakan akal untuk berfikir dan iman sebagai penyuluh ke jalan yang benar.

Hindarilah kekerasan kerana ia boleh menjadikan kita mudah bertindak secara lebih radikal. Jangan sampai perbuatan kita yang semata-mata mengikut perasaan membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain. Belajarlah menjadi insan yang bijaksana, berakhlak baik serta bermaruah.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN