ENTAHLAH, sama ada mahu tertawa atau perlu memandang serius akan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, TAN SRI JOHARI ABDUL, berkenaan kualiti perbahasan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, yang masih belum mencapai tahap memuaskan.
Sudahlah dikatanya tidak membuat ulang kaji, malah ahli Parlimen dilihat masih ‘terperangkap’ dalam mainan politik berbanding mengutamakan hal-hal pembangunan negara bangsa. Memanglah bukan semua dalam kalangan 222 ahli Parlimen bersikap seperti itu. Hanya segelintir. Bagaimanapun, ada juga wakil rakyat senior masih tidak menunjukkan teladan baik, walaupun sudah beberapa penggal mewakili suara rakyat di Parlimen.
Berkongsi banyak mengenai perkara itu kepada Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bersama jurugambar, FAUZI BAHARUDIN dibantu juruvideo, ZUID IKH RAL SAMSON di Parlimen baru-baru ini, Johari mahu supaya wakil rakyat berubah menjadi lebih baik.
LAWATAN RASMI KE UK DAN IRELAND TINGKAT KEPAKARAN
MINGGUAN: Boleh Tan Sri kongsi hasil lawatan rasmi delegasi Parlimen dan ahli Parlimen dwi partisan Malaysia ke UK dan Ireland baru-baru ini?
JOHARI: Alhamdulillah, lawatan ini berjaya dilaksanakan untuk mendalami pemahaman tentang tadbir urus Parlimen, memupuk kerjasama dan mengukuhkan hubungan antara parlimen UK, Ireland dan Malaysia.
Para delegasi terlibat dalam beberapa siri perbincangan, bengkel dan mesyuarat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam hal ehwal parlimen, mempertingkat kefahaman mengenai struktur dan proses Jawatankuasa Pilihan Khas, perkongsian amalan terbaik untuk perjalanan Dewan Rakyat selain bertemu pengurusan Parlimen UK dan Speaker of the House of Commons, Tuan Yang Terutama, Sir Lindsay Hoyle.
Lawatan ini antara usaha berterusan Parlimen Malaysia untuk mempertingkat kepakaran, kerjasama antarabangsa dan pemupukan nilai demokrasi. Dengan pertukaran pengetahuan dan pengalaman, sudah pasti akan memantapkan kepakaran ahli-ahli parlimen supaya dapat memainkan peranan penting demi memajukan demokrasi berparlimen di Malaysia.
Banyak perkara dikongsi bersama khususnya apabila Malaysia akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) yang sudah lama dimansuh. Saya juga mengetahui apa masalah mereka hadapi supaya tidak berlaku di Malaysia jika kita melaksanakannya.
Bagaimana Tan Sri memperkasa Parlimen Malaysia supaya dapat menyumbang kepakaran secara berkesan terhadap fungsi Parlimen?
Saya sedang menilai kebarangkalian yang Parlimen Malaysia akan memanjangkan sesi persidangannya seperti di luar negara. Saya melihat sistem Parlimen UK berbeza menyaksikan masa persidangan dan berbahas lebih lama, sedangkan Malaysia kira-kira 70 hari sepanjang setahun.
Saya belum lagi menyentuh soal kualiti perbahasan ahli Parlimen UK yang jauh lebih baik. Masa bertanya dan menjawab soalan juga amat pendek. Ahli Parlimen bertanya dan menteri menjawab soalan pun tidak sampai seminit dua. Ini memberi peluang kepada wakil rakyat lain mengajukan lebih banyak soalan dan jawapan. Lebih menarik, ahli Parlimen di UK sangat ramai kira-kira 650 orang.
Jadi, sudah tentu penglibatan mereka nampak lebih meriah dan ini berbeza dengan Malaysia.
Sebab itu, saya mahu menerapkan amalan ini. Di negara kita, kadang-kadang ahli Parlimen bertanya soalan berbelit-belit. Mukadimah sahaja sudah sampai tiga minit padahal soalannya belum pun bermula lagi. Pada waktu petang pula, jumlah ahli Parlimen berkurang sedangkan di UK sangat bersemangat tidak kira masa.
PERTENGKARAN
‘Pertengkaran’ berlaku dalam mesyuarat Parlimen Malaysia, apakah ia menjadi amalan di UK?
Ya, sama sahaja khususnya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), yang mana ia sebenarnya adalah mainan politik dan perkara ini diakui ahli-ahli Parlimen mereka. Sesi ini lebih menumpukan isu-isu politik dan tidak menyentuh soal negara. Maknanya, di sana tiada satu hal substantif yang boleh dipelajari atau dimanfaat secara total.
Apakah mainan politik dalam sesi PMQT itu turut berlaku di Malaysia?
Tidak. Setiap soalan harus diajukan lebih awal dan setiap Selasa, perdana menteri melalui sesi PMQT akan menjawab bersandarkan soalan yang sudah dihantar lebih awal. Saya akan membenarkan soalan yang terkeluar daripada soalan asal, tetapi, janganlah terlalu berbaur politik. Bimbang nanti tiada kesudahannya.
Apa perbezaan perjalanan Parlimen dengan negara Tan Sri lawati?
Selain masa perbahasan lebih panjang di UK, dari segi kelengkapan ahli Parlimen Malaysia sebenarnya jauh lebih baik berbanding UK. Dewan mereka tiada meja, ada kerusi sahaja yang dikongsi dan ahli Parlimen mereka ada 650 orang.
Jika kesemuanya hadir akan muat lebih kurang 450 dan selebihnya ada yang berdiri atau mungkin di atas lantai, kita tidak tahu. Keadaannya seperti bersembang santai di restoran. Di sana, mikrofon hanya digantung malah, kadang-kadang kita tidak faham pun apa yang mereka bincang.
Isunya adalah keselesaan dan seolah-olah tidak serius bercakap tentang hal ehwal negara dalam keadaan kita bersantai. Saya datang dari pengalaman terdahulu dan berpendapat seperti ada sesuatu yang tidak kena. Saya faham, mungkin ini adalah tradisi mereka memandangkan Parlimen mereka pun sudah sampai lebih 900 tahun.
Kita juga akan menyaksikan pembangkang mereka terus bertanya soalan tanpa memberi soalan bertulis lebih awal. Prosesnya berlaku secara rambang manakala jawapan diberi juga begitu. Namun, usah terpukau dengan setiap ‘perangkap’ bahawa Parlimen di negara luar lebih terbuka.
Saya tidak akan membenarkannya berlaku dalam Parlimen di Malaysia. Saya percaya ahli Parlimen kita apabila berbahas di dalam Dewan Rakyat masih mengenai pembangunan dan isu-isu rakyat walaupun kadang-kadang ada yang ‘terpesong’ sedikit dari matlamat asal.
Adakah Malaysia memilih menjadi seperti itu?
Oh tidak, kita kekalkan apa yang ada, malah akan ditambahbaik.
KUALITI
Bagaimana Tan Sri melihat kualiti perbahasan ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat?
Hakikatnya, ada dalam kalangan ahli Parlimen kita tidak bersedia pun untuk berbahas. Mungkin mereka memiliki kelayakan dalam bidang tertentu, tetapi, apabila melangkah masuk ke dalam Dewan Rakyat, ia akan menjadi satu medan yang sangat luas.
Jika ahli Parlimen itu jurutera, beliau juga mesti menjadi versatil dan berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang. Saya faham mereka bukanlah seseorang yang pakar, tetapi, itulah tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Apabila berbahas tentang sesuatu rang undang-undang (RUU), sesetengah mereka bagaimanapun tidak membaca apa yang sudah disediakan, tidak mengkaji atau menggunakan kajian dijalankan oleh pegawai.
Saya percaya, perbahasan akan lebih berkualiti jika mereka membuat ulangkaji ditambah dengan pengalaman ketika berada di lapangan. Ini yang saya rasa lagging atau tidak cukup pada satu tahap memuaskan.
TERPERANGKAP
Kita juga masih terperangkap dengan isu politik. Setiap perkara asyik-asyik dipolitikkan. Harus ingat, yang membuat dasar ini adalah ahli politik, tetapi yang melaksanakan dasar ialah pentadbir-pentadbir di kementerian, jabatan dan agensi. Isu-isu pentadbiran dan politik yang berpaksikan dasar ini berbeza, namun tetap dipolitikkan.
Daripada 222 ahli Parlimen, berapa ramai yang boleh diharap untuk berbahas dengan berkualiti?
Saya tidak mempunyai satu jumlah tetap. Maksud saya, apabila berbahas haruslah dengan penuh fakta, berhemah dan tidak bersandarkan emosi. Ada kaedah kita sampaikan teguran atau rasa tidak puas hati dengan cara berhemah, bukannya kasar dan menggunakan perkataan tidak berperlembagaan.
Saya kadang-kadang ‘lepaskan’ juga, tetapi tidak boleh berterusan kerana setiap keadaan yang berlaku di Dewan Rakyat disaksikan semua orang dan rakyat melihat ahli Parlimen sebagai pemimpin mereka. Jadi, kalau ahli Parlimen mereka bercakap dengan cara tidak sopan, ini yang akan jadi ikutan.
BERPENDIDIKAN TETAPI TIDAK BERPELAJARAN
Ada dalam kalangan ahli Parlimen sudah berpengalaman menjadi wakil rakyat, namun, masih menunjukkan contoh kurang baik. Respons?
Itulah, kadang-kadang kita (ahli Parlimen) ini berpendidikan, tetapi kita sebenarnya belum cukup belajar atau tidak berpelajaran. Jadi, pelajaran ini sebenarnya tidak mendidik kita pun untuk menjadi seorang yang lebih baik. Faktor umur tidak membantu, tidak selari dengan keupayaan untuk menjadi seseorang yang sepatutnya.
Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan menyatakan terdapat perkara yang boleh dan tidak boleh dipersoal semasa dalam sidang Dewan Negara atau Dewan Rakyat. Adakah ini memberi kekebalan kepada ahli-ahli Parlimen untuk bercakap tidak sopan?
Suka saya ingatkan, kekebalan ahli Parlimen tiada yang mutlak kerana undang-undang sedia ada mengikat seseorang daripada melakukan sesuatu di luar jangkaan. Walaupun anda (ahli Parlimen) masuk Dewan kata diri kebal undang-undang, jika anda ajak orang ramai merusuh, maknanya sudah masuk di dalam Akta Hasutan 1948.
Di dalam Peraturan Mesyuarat mesyuarat, ada perkara yang kita tidak boleh sentuh seperti raja-raja, hakim atau penjawat awam. Jika ‘masuk’ ke bahagian ini, maka kita mempersoal sesuatu yang tidak wajar. Mengapa?
Pegawai kerajaan tidak dapat mempertahankan diri dan takkanlah Dewan mahu beri jawapan? Anda kritik Ketua Polis Negara kah, Ketua Hakim kah, mereka bukannya ahli Dewan. Bagaimana mahu jawab? Sebab itu, ia tidak boleh dipersoal. Isu-isu lain boleh, tetapi kita tidak boleh serang secara peribadi.
MENJADI YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT
Mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat amat dinamik dan mencabar malah pembangkang sentiasa menuduh Tan Sri memihak kerajaan. Adakah sukar untuk bersikap neutral?
Setiap ahli Parlimen mempunyai status yang sama, bezanya adalah kerajaan dan pembangkang. Kedudukan saya berada di tengah mereka, jadi, saya mesti bersikap adil. Meletakkan sesuatu kepada yang hak. Jika sebelah kanan mendapat masa berbahas 15 minit, maka, sebelah kiri juga sama.
Tidak semua perkara itu adil atau tidak adil di mata seseorang wakil rakyat.
Namun, sebagai Speaker, saya mesti buat keputusan, cuma, tetap ada yang melihatnya sebagai pilih kasih atau tidak adil. Sebab itu, kita ada peraturan mesyuarat yang akan memandu Speaker bagaimana suasana ini diadili atau tindakan diambil dan selaras peraturan mesyuarat, apa sahaja keputusan speaker adalah muktamad.
Tan Sri dituduh dengan pelbagai kata-kata tidak sopan. Adakah memberi kesan di hati sehingga berada di luar Dewan Rakyat?
Tidak, sebab saya pernah menjadi pembangkang. Duduk di kerusi sana selama 10 tahun dan menjadi kerajaan kemudian menjadi pembangkang semula. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sama juga. Tetapi, ini adalah tugas dan ia harus dilaksanakan pada waktu yang diperlukan.
Kedudukan saya mungkin tinggi sedikit di dalam Dewan kerana jawatan dan kuasa yang diberi kepada saya. Selepas keluar daripada Dewan, mereka sebagai kawan sayalah.
Bagaimana Tan Sri memastikan perbahasan Dewan Rakyat lebih produktif?
Dalam prosiding, tidak semua soalan perlu dijawab oleh menteri kerana tugasan yang jauh lebih berat dan penting yang memerlukan kehadirannya. Jadi, timbalan menteri boleh menjawabnya atau jika tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat juga, menteri lain juga boleh menjawabnya dahulu.
Ketika zaman saya dahulu ada Setiausaha Parlimen namun sekarang sudah tidak dilaksana. Maknanya, jika menteri dan timbalan menteri tidak dapat menjawabnya, tetapi menteri lain boleh menjawab bagi pihak menteri berkenaan. Sistem ini saya rasa okay.
Penambahbaikan lain yang Tan Sri bawa?
Penting untuk memperhalusi sistem sekarang ini, apabila menteri kata akan memberi jawapan bertulis, namun kadang-kadang dalam masa lima hari tidak berlaku. Saya sedang fikirkan bagaimana jawapan bertulis akan dapat paling lewat pada keesokannya.
Semua jawapan bertulis yang menteri tidak sempat jawab sebenarnya berada di tangan pegawai, jadi, mengapa tidak pegawai kerajaan beri kepada Parlimen dan terus muat naik ke dalam sistem? Dengan sendirinya dapat pada hari esoknya.
Kadang-kadang, isu dalam soalan tersebut over taken by the event, jadi, hal yang sepatutnya selesai hari ini tetapi, jawapan datang tiga bulan kemudian. Ini saya lihat boleh dilakukan dengan hanya digitalisasi Parlimen yang sedang dinaiktaraf. Kalau kementerian mahu jawab dia terus jawab. Tidak perlu lagi pusing-pusing. Sekarang, dia jawab kepada Parlimen, Parlimen sediakan dokumen dan hantar kepada ahli Parlimen.
Ada juga jawapan menteri dan timbalan menteri yang ‘memerangkap’ mereka sendiri. Benarkah?
Setakat ini, saya tidak nampak lagilah sebab semua jawapan diberi menteri disediakan oleh pegawai. Maknanya, pegawai ada data lengkap. Harus diingat, kerajaan sentiasa bertukar tetapi pegawai kekal dalam kerajaan. Jadi, ada kesinambungan dan rekod ini tersimpan begitu kemas. Untuk melakukan kesilapan agak tipislah. Kecuali, mungkin ada sedikit kekhilafan namun jarang berlaku.
Benarkah Parlimen Malaysia mendapat cengkaman Eksekutif sehingga mengekang kebebasan dalam menjalankan urus tadbir sendiri, atau Tan Sri sendiri mendapat tekanan dalam membuat sebarang keputusan?
Saya tidak tahu bagaimana keadaan Parlimen pada zaman dahulu. Tetapi, sekarang ini tiada, sebab perdana menteri mengambil pendirian harus ada pengasingan kuasa dan bagi saya, he walks the talk (cakap serupa bikin).
Saya yakin, beliau tidak pernah mempengaruhi institusi kehakiman dan saya sahkan beliau tidak mempengaruhi Legislatif. Saya pun tidak pernah dipanggil untuk isu-isu Parlimen kecualilah minum kopi, makan durian Musang King (ketawa).Tetapi, tiada tekanan.
Sebelum ini Tan Sri juga Ahli Parlimen. Bagaimana keadaan Parlimen ketika itu?
Mungkin ada (cengkaman), tetapi, saya tiada bukti namun saya tidak juga menolak. Mungkin zaman kerajaan yang perdana menterinya amat kuat, ada 80 ahli Parlimen dari partinya. Tetapi, masa itu saya bukan ahli Parlimen, hanya pegawai kerajaan.
Adakah Akta Perkhidmatan Parlimen dan Majlis Parlimen akan diperkenalkan semula dalam masa terdekat? Setakat ini, apakah kemajuannya?
Akta ini sudah tentu bakal memberi kebebasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk lebih fokus merancang bentuk Parlimen yang harus ada. Walaupun proses panjang, saya percaya ini akan membantu Malaysia seperti di UK dan negara lain yang Parlimennya berdiri di atas kaki sendiri.
Sekarang, kita agak terikat kerana di bawah Eksekutif melibatkan pengurusan kewangan, anggota pentadbiran dan lain-lain.
Sudah tentu ada peraturan mesti diikuti, tetapi, bayangkan jika kita perlukan orang yang hebat bukan sahaja dari aspek keperibadian, malah kelayakan untuk melaksanakan pentadbiran di Parlimen. Sekarang ini tidak boleh. Terpaksa minta kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan ambil masa.
PROSIDING PAC
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini berkata, Tan Sri tidak mahu prosiding PAC secara terbuka dijadikan amalan buat masa ini. Mengapa?
Tiada yang rahsia pun, semua yang berlaku semasa prosiding dicatat dalam hansard dan boleh diakses. Mengapa mahu prosiding terbuka? Mengapa dunia perlu lihat perbincangan yang berlaku, sedangkan boleh merujuk pada hansard?
Kita tidak mahulah orang awam datang menyaksikan prosiding sebab, kadang-kadang pegawai yang dipanggil membantu siasatan adalah pegawai kerajaan.
Mereka akan ‘tertekan’ jika orang awam melihat mereka dihadapkan ke ‘medan kehakiman’ sedangkan PAC bukan seperti itu. Cuma, pegawai kerajaan merasakan ‘terheret’ sedangkan mereka hanyalah penjawat awam. Kita tidak boleh samakan dengan negara lain kerana sistemnya berbeza. – Mingguan Malaysia










