Penerusan subsidi bersasar bukti Anwar negarawan besar

Penerusan subsidi bersasar bukti Anwar negarawan besar

BERBEZA dengan pemimpin lain, Anwar tidak meneruskan dasar popular dan tidak takut berdepan kritikan akibat tindakan yang diambilnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Perutusan Negara malam kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengenai komitmen kerajaan untuk menyelesaikan tiga masalah fiskal utama negara sekali gus menambah baik pengurusan wang awam bagi membolehkan kerajaan berbelanja untuk kebajikan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Satu daripadanya ialah perbelanjaan yang tidak berhemat melalui pemberian subsidi pukal hingga menjadikan subsidi Malaysia antara tertinggi di dunia yang menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi suatu barang dan perkhidmatan lebih besar, turut dinikmati oleh 3.5 juta warga asing serta membuka ruang kepada penyeludupan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi dengan menjana penjimatan RM4 bilion setahun hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik selain menjana penjimatan RM100 juta sebulan ekoran pengapungan harga ayam yang turut menstabilkan bekalan dan merendahkan harga ayam.

Serentak dengannya, Anwar mengumumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api yang akan mula dilaksanakan ke atas bahan api diesel. Sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Penjimatan daripada penyasaran subsidi ini pula digunakan untuk menambah baik bantuan kepada rakyat, antaranya ialah dengan meningkatkan peruntukan dan/atau meluaskan bilangan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Penyasaran subsidi bahan api bukanlah satu perkara baharu. Dalam 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia melalui Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dikemukakannya berjanji untuk melaksanakan 10 perkara tertentu dengan perkara keduanya ialah untuk menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri PH menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diketuai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan CEP dilapor membentangkan cadangan subsidi bahan api kepada Dr. Mahathir setelah sebulan ia ditubuhkan tetapi jawapan di Parlimen pada 23 Julai 2018 ialah mekanisme terperincinya sedang dikaji.

Dr. Mahathir pada 8 Oktober 2019 menyatakan kita tak boleh bagi subsidi petrol kepada orang kaya yang mempunyai sehingga enam buah kereta, termasuk kereta mewah. Dan skim yang dikenali sebagai Program Subsidi Petrol (PSP) Bersasar ini dinyatakan dalam Belanjawan 2020 dengan ia dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat bermula pada bulan April 2020.

Begitupun, Kerajaan PH tumbang apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020. Pengganti beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak berbuat apa-apa mengenainya. Sebaliknya hanya bersuara mengenai Skim Subsidi Bersasar (SSB) pada 30 Julai 2022 setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan hanya menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Muhyiddin berkata, kajian mendapati 50 atau 51 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang kaya manakala kumpulan B40 dan B60 peratusan yang menerima subsidi tidak sampai 20 peratus. Menerusi SSB, hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja berhak menerima subsidi dan ini akan memberi penjimatan sebanyak RM20 billion setahun.

Walaupun begitu, sehingga ke akhir pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, kenyataan rasminya di Parlimen ialah kerajaan masih di peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar dengan pengujian ini dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum bersedia untuk dilaksanakan.

TIDAK PATUT KECAM
Oleh itu, amat tidak patut sekiranya ada mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mengecam rancangan Kerajaan Madani untuk membuat penyasaran subsidi bahan api yang kononnya akan menjejaskan seluruh rantaian ekonomi apabila Perdana Menteri-Perdana Menteri yang mereka dukungi sebelum ini juga berhasrat melakukan perkara yang sama.

Apatah lagi bila Anwar menegaskan, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus memberi subsidi kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu selain menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil. Ini, selain jangkaan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun, adalah bagi memastikan kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup.

Tepat sekali penegasan Anwar dalam Perutusan Negara beliau, hanya Kerajaan Madani yang berani membuat perubahan. Hanya dengan tekad yang jelas mampu mengeluarkan kita daripada kancah perangkap pendapatan menengah dan seterusnya mencapai tujuh penanda aras Ekonomi Madani yang terkandung dalam Inisiatif Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai 2023.

Apa yang membezakan Anwar dengan Perdana Menteri-Perdana Menteri lain sebelum beliau ialah beliau mempunyai keazaman politik yang kuat untuk merealisasikan apa yang beliau perkatakan serta tidak takut untuk menanggung risiko menerima tindak balas politik daripada golongan kaya yang akan menerima kesan langsung daripadanya.

Inilah juga bezanya antara pemimpin yang mementingkan kepentingan jangka pendek politiknya dengan negarawan besar yang berani menstrukturkan semula ekonomi negara bagi kepentingan jangka panjang rakyat terbanyak. Anwar boleh sahaja meneruskan dasar popular subsidi pukal tetapi itu tidak dilakukan kerana rakyat tidak boleh terus dibebani dengan tambahan hutang.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah2 Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN