Noktahkan keganasan rumah tangga

Noktahkan keganasan rumah tangga

KURSUS perkahwinan harus menekankan aspek keganasan rumah tangga dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa sekiranya penderaan berlaku – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUAMI mahupun isteri terdedah kepada keganasan rumah tangga oleh pasangan masing-masing.

Tanggapan bahawa hanya isteri sahaja yang menjadi mangsa adalah tidak tepat sekiranya merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM). Dalam statistik yang merekodkan jenayah keganasan rumah tangga melibatkan lelaki dan wanita pada 2019 dan 2020, sebanyak lima jenis penderaan dilaporkan berlaku iaitu penderaan fizikal, rogol, cabul, liwat dan psikologi.

Kecuali penderaan bersifat rogol, lelaki adalah mangsa kepada penderaan fizikal, cabul, liwat dan psikologi. Keganasan rumah tangga tidak hanya memberikan kesan kepada mangsa tetapi akan dirasai juga oleh anakanak pasangan. Paling utama persekitaran rumah tangga, yang sepatutnya menjadi persekitaran yang paling aman, akan terganggu. Realitinya kerangka perundangan untuk menangani keganasan rumah tangga ini telah wujud termasuklah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT) dan Kanun Keseksaan (KK).

Namun kewujudannya seolah-olah tidak berupaya melahirkan rasa takut dalam diri pemangsa ataupun rasa selamat dalam diri mangsa. Hakikatnya, statistik jenayah rumah tangga yang dilaporkan mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar keseriusan jenayah ini memandangkan tidak ramai yang berani tampil untuk membuat aduan dan mendapatkan keadilan.

Keadaan ini sungguh menyedihkan kerana ia akan memberikan trauma yang berpanjangan kepada mangsa baik suami ataupun isteri serta anak pasangan terbabit. Mangsa hakikatnya sering berada dalam pena an apabila didera oleh pasangan masing-masing. Misalnya, tanggapan pemangsa akan insaf dan sedar akan perbuatan mendera tersebut. Penderaan yang dilakukan oleh pemangsa akan berulang-ulang walaupun kononnya ada penyesalan oleh pemangsa. Selepas beberapa kali permohonan maaf terutama di pagi Syawal, keadaan membantai mangsa akan terus berlaku.

Kitaran penderaan bermula dengan fasa ketegangan sehingga memuncak dengan  keganasan oleh pelaku serta diakhiri dengan penyesalan. Kitaran ini akan berulangulang sehinggalah mangsa berani menamatkan kitaran ini. Lebih memualkan sekiranya ada pemangsa yang menggunakan alasan agama untuk menjustifikasikan tindakan membantai pasangan mereka. Ada juga keadaan mangsa diugut untuk diceraikan sekiranya melaporkan kepada pihak berkuasa tentang perangai dan perilaku pasangan ini.

Insiden ini adalah parah apabila ia seolah-olah memperlihatkan agama Islam merestui perbuatan membantai pasangan seperti ini. Sedangkan Islam agama yang melindungi pihak isteri dan memberikan pengiktirafan terbaik kepada para wanita. Salah faham seperti inilah yang perlu ditangkis kerana ia akan merobek institusi kekeluargaan Islam dan imej Islam.

Misalnya, menerusi Seksyen 52 (h) (i) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan atas alasan pasangan secara lazim menyakitinya atau menjadikan kehidupan pasangannya menderita disebabkan kelakuan aniaya. Memandangkan telah wujud undang-undang untuk melindungi pasangan dalam perkahwinan, pendekatan bukan undang-undang pula perlu dipromosikan dalam kalangan masyarakat.

Keganasan rumah tangga ini hakikatnya boleh dibendung sekiranya semua pihak mengiktiraf bahawa isu keganasan ini bukanlah isu kecil yang boleh disapu di bawah karpet tebal. Untuk mewujudkan ekosistem yang selamat, jiran tetangga, ahli keluarga dan ibu bapa perlu cakna dan segera melindungi nmangsa. Ia merupakan satu cabaran kepada mangsa sekiranya ibu bapa sendiri tidak mempertahankan keputusan mangsa untuk membuat laporan polis atau keluar daripada perkahwinan. Jiran tetangga misalnya mempunyai tanggungjawab sosial untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui jiran mereka menjadi mangsa penderaan.

Kewujudan Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC) yang disediakan oleh pihak KKM di 129 buah hospital hendaklah dimanfaatkan. OSCC merupakan pusat perkhidmatan bersepadu pelbagai agensi untuk menangani kes keganasan rumah tangga. Sebelum perkahwinan  berlangsung lagi, sekiranya pasangan mengenal perangai buruk bakal suami atau isteri seperti kaki pukul ataupun kuat memaki hamun, hubungan toksik ini perlu ditamatkan sesegera mungkin sebelum meneruskan perkahwinan.

Kursus-kursus persediaan perkahwinan harus menekankan juga aspek keganasan rumah tangga dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa sekiranya penderaan berlaku, sama ada sedar atau tidak oleh pasangan. Pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga perlu diberikan pendedahan kepada jalan keluar sekiranya terperangkap dalam penderaan. Pendedahan seperti ini adalah penting.

Banyak situasi apabila mangsa menarik balik laporan penderaan terhadap pasangan mereka. Kelakuan sebegini perlu dihentikan kerana meskipun pasangan mampu memaafkan penderaan, namun menarik balik laporan tidak akan menghentikan jenayah ini. Pemangsa perlu dihadapkan ke mahkamah dan mangsa perlu dibela. Undang-undang hanyalah alat untuk mencapai kesejahteraan dalam kes keganasan rumah tangga.

Kesedaran dan keberanian untuk bertindak lebih utama untuk menoktahkan keganasan rumah tangga. Keganasan terhadap pasangan tidak pernah boleh dijustifikasikan mahupun dipandang enteng sebaliknya ia wajar dicela dan dihentikan sepenuhnya. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar-Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×