Menjinakkan kerakusan kecerdasan buatan?

Menjinakkan kerakusan kecerdasan buatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESATUAN Eropah (EU) telahpun mengambil langkah pertama untuk memeterai Perjanjian Antarabangsa Pertama mengenai kecerdasan buatan (AI).

Lapan buah organisasi terkemuka tentang bab hak asasi bersetuju mematuhi buat kali pertama dari segi perundangan melalui perjanjian tersebut yang juga terbuka kepada anggota bukan Europa. Ini mengambil kira yang AI berupaya mengganggu-gugat perjalanan hidup seseorang itu, hatta kemanusiaan seluruhnya sekiranya tersalah guna.

Oleh itu, langkah julung-julung kali ini bertujuan mengurangkan berlakunya risiko pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan. Malah meningkatkan lagi kepatuhan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia serta amalan demokrasi untuk berinovasi. Ini termasuk penglibatan sistem seperti OpenAI dan ChatGPT.

Maka soal ketelusan dan mengenal pasti kandungan AI menjadi perkara pokok dalam menetapkan satu bentuk tata kelola melalui kemajuan AI yang menguntungkan.

Teks Perjanjian ini diterima pakai oleh Majlis Jawatankuasa Menteri-menteri EU mewakili 46 negara di rantau tersebut, melibatkan menteri luar masing-masing. Setelah giat berusaha selama dua tahun bersama-sama pihak lain, teks ini dijangka akan dibuka kepada keanggotaan pihak-pihak lain semasa pertemuan para menteri keadilan di Vilnius, Lithuania, pada September akan datang.

Sifat berani ini wajar dipuji kerana tekad meletakkan perihal kemanusiaan mendahului teknologi yang tidak bernyawa. Lantas menyekat sebarang bentuk sikap serta tindakan yang rakus hasil dari gubahan AI semata-mata.

Tambahan pula tidak ramai yang mendalami hal tersebut, maka hanya ‘menurut perintah’ sahaja khususnya semasa tersentak lagi mendesak. Lebih dari itu terkesan juga pelbagai implikasi dari berbagai sudut lain.

Umpama ekonomi, soal penipuan kewangan melibatkan teknologi lazimnya. Atau, sosial menyentuh gangguan perhubungan dan cetusan emosi. Apatah lagi, politik sebagai pak turut ekoran nilai serta norma budaya terseret dalam algoritma yang terpakai tanpa ketentuan.

STEVE Jobs pernah berkata bahawa tulisan khat atau kaligrafi yang dipelajari adalah antara yang terpenting dalam hidupnya.

 

FITRAH, ALGORITMA ILAHI
Keseluruhannya, ia mampu merobohkan sesuatu peradaban sepertimana baka penjajahan masa lampau. Hanya kali ini, memerlukan alat AI sebagai agen secara halus, tanpa mengguna apa-apa senjata api seperti dahulu kala!

Namun begitu kesannya cukup meluas kerana ia sudah berupaya menyelinap ke dalam naluri setiap pengguna peranti AI sejak usia muda lagi.

Maksudnya, fitrah ataupun ‘kecerdasan semula jadi’ bekalan Ilahi bagi setiap kejadian-Nya sudah dimamah ‘kecerdasan buatan’ dengan tidak disedari. Malah ramai turut terjumus sehinggakan sifat dan sikap kemanusiaannya tidak mengakari lagi.

Mereka dikenali sebagai pasca manusia, ternoda teknologi, tiada lagi mengerti kurniaan Ilahi. ChatGPT menjadi pengganti abadi. Kesimpulannya, AI mencuri ‘hati’ sebagai pemandu hidup sejati, menyukarkan lagi jalan kembali.

Lantas, AI mengusutkan hikmah suci, tercemar godaan teknologi. Hal ini kurang dikhuatiri dalam memilih langkah sesuka hati. Mujurlah EU sudah mulai mengerti dengan kerangka Perjanjian anjuran tersendiri. Tetapi belum cukup Islami kerana algoritma masih disyaki. Bukan hakiki. Tanpa Ilahi.

Oleh kerana itu jugalah timbul bukti yang AI harus diawasi rapi. Ada kajian membawa isyarat yang nilai kemanusiaan perlu diutamakan jika fitrah ingin dipupuk dan dibina seluruhnya. Kemudian baharu diekori teknologi tinggi.

Terimbau tindakan semudah menulis dengan pena atau pensil seperti dahulu kala dikata lebih kaya dari petikan kekunci komputer abjad demi abjad menggunakan jari satu persatu. Berlainan benar dengan tulisan tangan menggunakan beberapa jari sekali gus memegang alat tulis.
Apatah lagi menggayakannya dalam menulis setiap lenggok abjad secara bersambung atau berangkai. Bukan tulisan cap ekoran petikan kekunci komputer sebagai perbandingan.

Justeru sudah terdapat bukti yang tindakan menulis dengan tangan memberi kesan lebih mendalam kepada otak seraya membina pelbagai zon atau ‘kawasan’ tertentu sehingga menjadi lebih peka. Hatta, kecerdasan berkaitan turut terangsang dengan lebih nyata.

TULISAN TANGAN
Di Ontario, Kanada, tulisan tangan bersambung dilaporkan diperkenalkan semula pada September 2023 lalu, sebahagian dari kurikulum wajib, selepas begitu lama meninggalkan kemahiran ini. Kini tulisan tangan bersambung yang cantik digantikan dengan tulisan tangan cap yang agak hodoh.

Mengambil nota dengan tulisan tangan bersambung diakui menimbulkan lebih banyak ilham serta pengembaraan minda, beserta tempo yang agak perlahan untuk membolehkan pemahaman dan renungan yang lebih menyerlah.

Semua ini ditiadakan ataupun dihapuskan oleh teknologi yang mengutamakan kepantasan, senada dengan gerak jari pada papan kekunci mesin. Seiring ini pakar dan pengilham komputer, Steve Jobs, dipetik berkata bahawa tulis khat atau kaligrafi yang dipelajarinya adalah antara yang terpenting dalam hidupnya. Ini diakuinya semasa berucap seawal 2005 semasa majlis pengijazahan Universiti Stanford.

Kerana membolehkannya menikmati rekaan teknologi dari sudut-sudut berbeza. Menjadikan produk komputer lebih menarik dan canggih lagi. Malangnya bagi Malaysia ada ketika-ketikanya tulisan khat ditolak walaupun sekadar beberapa helaian sahaja.

Disamping itu terdengar juga ura-ura memperkenalkan pelajaran AI seawal persekolahan lagi menjelang 2027, kononnya kurikulum baharu. Amat berbeza dengan negara-negara maju lain yang telah merata teknologi komputernya tetapi mementingkan nilai insani.

Begitu juga dengan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang kini sudah mula diambil alih oleh STEAM (A bermakna sastera/kemanusiaan) bagi melengkapkan fitrah manusia dalam menjinakkan kerakusan AI tidak bernyawa dan bermoral.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×