HARI ini sukar untuk berjumpa orang yang mengatakan hidupnya senang dan bersyukur dengan rezeki yang diterimanya setiap.
Definisi perkataan susah mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diambil daripada dunia maya pun agak mudah difahami.
Susah mengikut definisi badan yang memartabatkan bahasa kebangsaan tersebut bermakna perasaan tidak puas hati (kerana sukar, sulit, dan lain-lain perasaan tidak senang).
Saya pernah bertemu rakan yang menjadi seorang peguam yang agak berjaya, kerana beliau pernah terlibat dengan kes yang agak terkenal juga.
Oleh kerana tidak tahu atau terpedaya dengan penampilan luarannya, saya menganggap sahabat tersebut hidup senang atau berguling dalam duit.
Namun amat mengejutkan kawan tersebut rupa-rupanya, sedang terbelenggu hutang hampir sejuta ringgit akibat perbuatan rakan kongsinya.
Kadang-kadang, kita rasa kita yang terpaling susah di dunia ini hingga terlintas di fikiran untuk balik kampung sahaja, rupa-rupanya ada yang lagi bertaraf extravaganza penderitaannya.
Dalam dunia teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang dianggap teknologi terkini, erti susah bukan bermakna seseorang atau organisasi itu sedang berdepan masalah hingga perlu mengalah atau gulung tikar, tetapi kesusahan yang wujud adalah cabaran yang perlu diatasi pihak tersebut sebelum pengiktirafan dan ganjaran diterima oleh entiti terbabit.
Kita sepatutnya bimbang apabila generasi hari ini berada dalam dunia yang memudahkan pembelajaran hingga sisi ‘susahnya’ meraih ilmu yang pernah dialami generasi terdahulu tidak mereka rasai.
Dalam dunia AI hari ini, maklumat dan tugasan boleh dilunaskan di hujung jari hinggakan segala yang rumit tampak mudah.
Pelajar sekolah, kolej dan universiti juga sudah terdedah dengan kelas secara atas talian kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 lebih tiga tahun lalu.
Kemudahan dalam pendidikan ini sememangnya baik untuk pelajar-pelajar tetapi nilai ‘susah’ atau harga kepayahan menuntut ilmu tidak dirasai generasi hari ini.
Mengimbas era belajar kursus undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), pengalaman pelajar mendaki tangga dan bukit begitu sinonim dengan kampus utama institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tersebut.
Sisi keperitan hidup sebagai pelajar universiti bukanlah kerana sukarnya memahami biji butirnya sukatan pelajaran tetapi membahagikan masa dengan aktiviti antara kelas, kokurikulum, riadah dan sosial.
Zaman belajar di menara gading pada 1994 hingga 2000, telefon bimbit belum ada yang canggih seperti jenama buah yang sihat itu.
Zaman itu jika hendak menuntut ilmu perlu ke kelas dengan gigih dan ke perpustakaan untuk mencari kes dan dibuat salinan di lokasi sama.
Kadang-kadang ada muka surat jurnal undang-undang yang sudah hilang dirembat pihak tertentu hingga menyusahkan pelajar membuat rujukan.
Namun hari ini koleksi kes sudah ada dalam bentuk digital dan boleh sahaja dirujuk walau di ceruk mana asal ada data telefon dan Wifi. Maknanya cara mencari ilmu semakin mudah, cuma kesusahan untuk memahami sahaja menjadi penghalang.
Apabila sudah lulus sebagai profesional dan bekerja kesusahan baharu adalah menghadapi majikan, klien dan kerenah saingan.
Kesusahan dan masalah, sebenarnya bukan untuk menghalang kita terus menyerah, tetapi menukarkan ia menjadi peluang untuk pergi lebih jauh.
Menyentuh tentang rakyat negara ini yang menganggap situasi ekonomi hari ini menyusahkan mereka ia adalah situasi yang nyata akibat faktor ‘kesusahan’ global yang menekan kita secara domino.
Perang di Ukraine antara negara tersebut dengan Rusia dan perang berat sebelah di Gaza melibatkan rejim Zionis dengan warga Palestin, turut menyebabkan situasi ekonomi dunia yang merudum pasca pandemik Covid-19 memberi kesan kepada rakyat negara kita.
Memang benar, kesusahan yang kita lalui dengan nilai ringgit merosot kait mengait dengan ketidakstabilan dunia akibat agenda perebutan kuasa politik dan percaturan ekonomi berasaskan sistem kewangan yang dipelopori oleh pihak tertentu sejak berabad lama.
Maka generasi hari ini perlu dipersiapkan bukan setakat kemahiran AI malahan kemahiran hidup tanpa gajet dan teknologi maklumat sebagaimana generasi terdahulu yang kini berusia 50 tahun ke atas.
Generasi restoran makanan segera hari ini perlu menguasai segala ilmu ikhtiar hidup yang nampak menyusahkan sebagaimana modul Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) suatu ketika dahulu.
Jangan tumpukan pembelajaran AI semata-mata kerana ia sesuai untuk mencari ‘makan’ dan belajar sementara ada sistem data 5G dan satelit yang menyokong aktviti tersebut.
Fikirkan kesusahan anak-anak kita tanpa sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada satu hari nanti.
Ibarat kata, adakah generasi hari ini bersedia untuk hidup tanpa ekonomi pengetahuan atau hidup tanpa telefon pintar yang menguasai hidup mereka dari pagi hingga malam hari?
KAJI SEMULA
Justeru, pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi duduklah bersama dan mengkaji semula sukatan pelajaran anak-anak kita adakah sesuai untuk mereka pada masa depan bagi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih mencabar.
Situasi terkini ekonomi hari ini, rakyat kita masih mengharapkan simpanan hari tua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung hidup hingga wujud akaun fleksibel bagi membantu golongan terkesan ini.
Adakah ia sesuatu yang baik sebagai penyelesaian untuk mengatasi kesusahan semasa sedangkan persediaan hari tua seolah menjadi ilusi.
Ibarat dialog sebuah drama zaman 1980an, hidup susah mati pun susah, adakah kita ingin mencari penyelesaian mudah dengan kesusahan yang tidak berpenghujung.
Oleh itu didiklah anak untuk mensyukuri segala pelajaran susah yang mereka pelajari hari ini seperti subjek ilmu sains, matematik, matematik tambahan, fizik, biologi, kimia, sejarah dan bahasa Inggeris kerana kesusahan belajar kesemua pelajaran tersebut akan memudahkan mereka untuk hidup membina keluarga dan kerjaya.
Sesungguhnya, hidup ini semakin keras disebabkan persaingan mencari peluang pekerjaan semakin hebat antara satu individu dengan individu yang lain.
Biarkan anak kita belajar ilmu akademik dan ilmu agama dengan seimbang agar kesusahan yang dialami mereka mampu menjadikan mereka manusia yang berfungsi untuk negara dan bukan menjadi beban kepada masyarakat.
Tanpa kesusahan tiada kesenangan, tanpa perjuangan tiada kemenangan, itu yang perlu anak-anak kita sematkan dalam fikiran.-UTUSAN










