Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 174 bermaksud: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhan kamu dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran) sebagai nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).
Syukur alhamdulillah, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi sudah sampai ke penghujungnya (hari ini).
Majlis ini bermula sejak 23 Mei lalu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan merupakan majlis yang amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh negara. Mendengar ayat-ayat suci dan penyampaian tadabbur, ia amat mendamaikan jiwa. Itulah keindahan ayat-ayat al-Quran, ia tidak pernah tamat pembelajarannya. Makin ia dikaji, makin banyak ilmu yang diperoleh daripada pelbagai sisi. Ia tidak pernah membosankan.
Al-Quran sentiasa memberikan motivasi serta panduan kepada mereka yang membacanya dengan tekun serta kepatuhan kepada Maha Pencipta. Al-Quran merupakan Kalamullah yang menjadi penyuluh kehidupan. Apabila baris demi baris dibaca, dikaji dan difahami, ia akan memberikan cahaya terang benderang kepada insan. Merungkai segala kekusutan jua mengubati keresahan.
Al-Quran menyampai tazkirah dan mau’izah. Membentang cerita-cerita kaum terdahulu sebagai pelajaran. Beruntunglah bagi sesiapa yang bersahabat dengan al-Quran.
Di dunia menunjuk jalan, di alam barzakh menjadi teman, di hari pembalasan memberikan pembelaan. Itulah al-Quran, kitab mukjizat buat kita umat akhir zaman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat, ia akan datang memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (para pembacanya) (Riwayat Imam Muslim)
KASIH SAYANG
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan menjadi wahana untuk mengajak umat Islam kembali menghayati asas-asas serta nilai-nilai qurani. Individu yang berpegang teguh kepada ajaran agama akan menyerlahkan nilai qurani seperti berkasih sayang, bertoleransi serta saling hormat menghormati dalam bermasyarakat.
Nilai-nilai mahmudah ini amat mustahak untuk diterapkan secara bersama dalam masyarakat bagi mengekalkan kesatuan serta perpaduan ummah. Al-Quran mengajarkan manusia supaya sentiasa berta’aruf serta berkenalan di antara satu sama lain.
Apabila berkenalan selepas itu akan mula timbul kemesraan yang akan menjadi pemangkin kepada wujudnya nilai ihsan serta amalan bantu membantu.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semuliamulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Dalam konteks kemajmukan masyarakat yang berbilang agama, kaum dan budaya, adalah menjadi tugas semua pihak untuk saling hormat menghormati serta berinteraksi dengan penuh harmoni.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.
Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat 108, Surah Al-An’am menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT.
Ini adalah asas penting yang diajarkan al-Quran bersesuaian dengan agama Islam yang bersifat rahmah serta damai. Namun sekiranya masyarakat tidak memahami serta tidak mengamalkan seruan al-Quran, kebimbangan kita adalah masyarakat akan terus berbalah dan bercakaran sesama sendiri. Saling mencemuh dan mengadu domba yang tidak membawa apa-apa manfaat dan kebaikan kepada negara.
HAYATI AJARAN AL-QURAN
Oleh yang demikian, dalam konteks pentadbiran negara, kerajaan menggagaskan agenda Membangun Malaysia Madani membentuk masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan.
Agenda melestarikan nilai-nilai masyarakat madani dalam komuniti menjadi antara misi penting Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ini adalah sebahagian reformasi yang dilaksanakan kerajaan untuk membina negara.
Pada masa yang sama, jabatan ini memperkenalkan pelaksanaan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau ringkasnya Pelan Transformasi Al-Falah untuk menangani isu-isu sosial dalam masyarakat. Semoga ia akan membentuk acuan masyarakat yang hidup berkasih sayang dan menjiwai nilai-nilai yang diajarkan dalam al-Quran.
Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini bukan sekadar untuk memenuhi kalendar tahunan semata-mata, tetapi ia menterjemahkan kesungguhan kerajaan untuk memupuk kecintaan umat Islam kepada al-Quran khususnya golongan belia.
Bagi pihak Kerajaan Persekutuan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Jabatan Agama Islam Pahang dan seluruh agensi Kerajaan Negeri Pahang atas kerjasama erat serta komitmen jitu dalam menjayakan majlis yang mulia ini.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diberikan amanah untuk memperkukuh program bimbingan al-Quran Braille kepada komuniti orang kurang upaya (OKU).
Ini adalah komitmen tidak berbelah bahagi saya apabila diberikan amanah memimpin Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memakmurkan program-program penghayatan al-Quran.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).










