Balada tumbangnya pohon tua di bandar raya - Utusan Malaysia

Balada tumbangnya pohon tua di bandar raya

KEJADIAN pokok tumbang yang menghempap kereta di Jalan Sultan Ismail di ibu negara baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Izinkan saya memulakan artikel dalam ruangan ini dengan berkongsi puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang diterbitkan 1982 berjudul Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandar raya. Kejadian pokok tumbang yang menghempap kereta di Jalan Sultan Ismail di ibu negara baru-baru ini menyebabkan seorang mangsa maut mengingatkan saya kepada puisi tersebut.

Walaupun kepada peminat atau pengkarya puisi, hanya penulis sahaja yang tahu apa maksud atau mesej bait bait puisi berkenaan yang sebenarnya. Kejadian berkenaan melibatkan sebatang pokok besar yang tumbang dan menghempap 17 kenderaan selain dahan pokok turut mengenai landasan pengangkutan monorel di jalan tersebut. Apa isu sebenarnya?.

Kejadian pokok tumbang adalah perkara yang sukar dijangka dan boleh berlaku di mana mana dan bila bila masa. Namun apabila pokok besar tumbang disebabkan faktor faktor tertentu terutama bencana alam di bandar-bandar besar, kejadian tersebut menyentap perasaan kita kerana tidak pasal pasal nyawa melayang. Iya betul mungkin itu ketentuan Tuhan tetapi apa usaha kita mengelak tragedi.

Puisi Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandar raya membawa kita kepada isu pokok yang tumbuh di kawasan bandar dan ditebang akhirnya kerana tuntutan pembangunan.

Ekoran kejadian itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan pokok berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter sejak 2019.

Pokok berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang. Sebenarnya membaca puisi berkenaan amat mengujakan kerana ia tentang usaha menyantuni pokok yang tumbuh di bandar dan akhirnya menjadi korban pembangunan.

Namun, saya lebih teruja apabila mengingati usaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Perak pada 2022. Ketika itu ada cerita sebatang pokok hujan-hujan yang berusia 135 tahun di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping yang tumbang selepas seminggu lalu berjaya ditegakkan semula.

Pokok tersebut tumbang kerana ketidakseimbangan strukturnya yang condong, ditambah dengan berlakunya ribut pada hari kejadian. Oleh itu MPT sentiasa memastikan supaya pokok tersebut terus diselamatkan dengan sebahagian pokok tersebut dipangkas serta bahagian akar dan tanah akan dirawat. Dalam pada itu seorang arborist bertauliah berkongsi kepada saya, mengapa pohon beringin sering tumbuh di kawasan bandar.

Prof. Dr.Hazandy Abdul Hamid yang juga pakar ekofisiologi di Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pohon beringin atau nama saintifiknya Ficus benjamina tumbuh dibawa oleh burung-burung yang dimakan buahnya.
Lepas itu pokok berkenaan tumbuh di dahan-dahan pokok dan akhirnya membesar dan melilit. Justeru spesies pokok berkenaan kebanyakannya tidak ditanam kerana ada yang menjadi pokok parasit yang menumpang pokok asal sehingga pokok asal mati akhirnya mengambil alih.

Hazandy yang juga bekas Dekan Fakulti Perhutanan UPM berkata, spesies pokok tersebut kini ada dibongsaikan dan ditanam sebagai pokok hiasan renek. Beliau seterusnya berkongsi bahawa penanaman pokok berkayu sebagai tanaman landskap di bandar merupakan satu komponen dalam landskap lembut (softscape). Spesies pokok berkayu boleh hidup dalam jangka masa lama dan berfungsi menstabilkan ekosistem bandar yang terdiri daripada infrastruktur konkrit, menyediakan teduhan dan kualiti udara yang lebih baik, mengurangkan pencemaran udara dan bunyi dan menampilkan nilai estetika kepada persekitaran.

Menurut Hazandy lagi, kebanyakan spesies berkayu tropika boleh hidup melebihi ratusan tahun yang menyebabkan sebahagian yang telah ditanam sebelum ini dikekalkan walaupun pembangunan di sekitar sedang rancak berjalan. Pokok-pokok berkayu yang ditanam dan telah berusia boleh menjadi pokok warisan negara terutama yang ditanam semasa pemerintahan kolonial seperti di Pulau Pinang dan Taiping.

“Walau bagaimanapun, kebanyakan spesies hutan bandar yang ditanam ini diperkenalkan dan dibawa masuk dari negara luar dan bukannya spesies asal tempatan. Sebagai contoh spesies Samanea saman atau hujan-hujan yang diperkenalkan berasal dari Amerika Tengah dan Selatan, ” ujarnya.

Berkongsi hal yang sama, Ketua Program Eopelancongan dan Hutan Bandar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Ahmad Azaruddin Mohd. Nooor berkata, penanaman pokok-pokok di bandar-bandar utama a bermula sejak zaman penjajahan British lagi. Sebahagian pokok-pokok ini bukan spesies tempatan tetapi pokok eksotik yang diperkenal dan dibawa masuk dari negara luar untuk ditanam, contohnya pokok Hujan-hujan.

Pokok ini hidup dan tumbuh dengan baik dan ada yang dapat kekal bertahan sehingga kini. Program penjagaan dan pengurusan pokok-pokok yang tua dan besar ini oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik kawasan persendirian menyebabkan pokok ini dapat terus hidup dan menjadi sebahagian daripada infrastruktur hijau yang amat penting di bandar.

Pokok-pokok tua dan besar ini boleh menjadi ikon dan warisan kepada sesuatu lokaliti ia tumbuh dan membesar seiring dengan perkembangan bandar tersebut.

Adaptasi spesies ini kepada cuaca dan tanah di negara ini menyebabkannya terus menjadi antara pilihan spesies pokok berkayu dalam pelan landskap lembut dan ditanam di kawasan bandar dan perumahan.

Beliau menjelaskan, bahawa pemuliharaan pokok-pokok yang besar dan berusia di kawasan bandar sekarang perlu dititikberatkan dan diberi fokus PBT kerana terlalu kerap insiden-insiden yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Walaupun ada kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan berkala melibatkan arborist bertauliah namun ia belum cukup untuk memberi jaminan pokok-pokok tersebut selamat dan tidak mendatangkan risiko.

Ini kerana prosedur penjagaan pokok berkayu yang diperkenalkan oleh badan yang memberi pentauliahan persijilan profesional arborist iaitu International Society of Arboriculture (ISA,) Amerika Syarikat adalah pada peringkat asas-asas penjagaan pokok.

Maka ceritanya adalah bukan sekadar sebatang pohon tetapi penjagaan dan pemuliharaan. Itu cerita dari Taiping dan ibu negara tetapi , mungkin ada cerita seumpamanya yang lebih menarik dari bandar bandar lain.

Sebagai panduan penanaman pokok di kawasan bandar Azaruddin berkata perlu mengambil kira beberapa aspek iaitu pilih spesies pokok yang sesuai bergantung kepada lokasi dan ruang, memastikan tiada gangguan oleh kerja-kerja pembinaan yang boleh menyebabkan kerosakan kepada struktur pokok seperti pemotongan akar, pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala yang dapat mengesan kerosakan dan kecacatan pokok bermula dari peringkat awal penanaman dan membuat pemeriksaan risiko pokok dan mengenal pasti tindakan yang perlu diambil bagi memaksimumkan kesihatan pokok dan mengurangkan risiko.

Beliau turut menyarankan supaya membuat penyelenggraan lain mengikut amalan baik arborikultur untuk meningkatkan prestasi pertumbuhan pokok. Memang ada kepentingan dan signifikan sesuatu pokok. Mungkin ramai daripada kita kurang maklum bahawa banyak nama tempat di negara kira datang daripada nama pokok. Ibu negeri Perak Ipoh itu, nama pokok Ipoh.

Sebuah buku terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjudul Sinonim: Nama Tempat dan Nama Tumbuhan berkongsi maklumat hampir 100 spesies pokok yang diabadikan pada nama tempat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN