MUKADIMAH
DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR tetap cool apabila diaju pertanyaan oleh Utusan Malaysia tentang survival Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diketuainya.
Kalah teruk dan hilang deposit di kesemua 42 kerusi ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac 2022. Kemudian nasib sama dialami masuk gelanggang pilihan raya umum (PRU) 19 November tahun sama, tewas di kesemua 125 kerusi Parlimen. Tidak sahaja Mukhriz kalah di Jerlun, bapaya yang juga pengerusi parti ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut hilang wang deposit di Langkawi.
Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto AFIQ RAZALI di Ibu Pejabat Pejuang di Mont Kiara, Kuala Lumpur, Khamis lalu, Mukhriz menyuarakan keyakinan tinggi Pejuang untuk kembali dengan wajah dan kekuatan baharu bagi mengubah Malaysia menjadi lebih baik – biarpun tidak bertanding pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos 2023. Kalau tidak dalam PRU16 lewat sedikit di PRU17 juga tidak mengapa, kata beliau.
PENTAS ORANG MUDA
SELEPAS PRU15, Pejuang ambil pendekatan fikirkan semula letakkan calon untuk pastikan parti tetap relevan dalam suasana politik ketika ini. Kita dapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkenaan tentang politik semasa. Kita tahu orang agak meluat dengan politik dan orang politik. Banyak masalah negara berpunca dari politik. Sebab itu, kita sebagai parti politik pun perlu fikir dan tak terlalu ikut rentak parti-parti sedia ada.
Pejuang parti kecil dan lebih kurang baharu, ada sedikit kelebihan, kita boleh sahaja berubah mengikut perubahan suasana. Bila lihat Pejuang senyap, sebenarnya kita sengaja sebab ambil sedikit masa untuk struktur semula parti dan tak semestinya ikut acuan sebelum ini. Pejuang lebih berhasrat menjadi pentas orang muda berpolitik. Untuk orang muda yang berminat, kita harap mereka akan pertimbangkan Pejuang sebagai pilihan yang baik. Untuk itu, kita perlu berubah sedikit supaya sesuai dan tepati citrasa orang muda.
‘CEMAS, MELUAT’
Daripada banyak perbincangan dengan anak muda, kita tak tanya mengenai Pejuang tapi apa sebenarnya yang mereka mahukan dalam tempoh 20 hingga 30 dari sekarang kerana mereka ini yang akan mewarisi negara. Mereka ini sebenarnya agak cemas, meluat, tak puas hati (apa berlaku) sekarang.
Kami dapat banyak respon yang saya kira berasas dan simple. Contoh pendidikan yang terbaik yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa, ekonomi yang kukuh bertumbuh pesat, yang buka banyak peluang pekerjaan, bukan setakat peluang pekerjaan tapi berkualiti tinggi, yang berpendapatan tinggi, berniaga tanpa banyak birokrasi dan kerenah majlis (PBT), sistem kesihatan yang baik yang tak terlalu tinggi kosnya dan macam-macam lagi.
Mereka bangkit sebab merasakan sistem yang ada sekarang tidak menepati harapan, ada sesuatu yang menghalang. Jadi kita kena fikir faktor penghalang itu dan bagaimana nak baiki. Di situlah perlu ada tadbir urus yang baik.
Ini dijanjikan oleh setiap pentadbiran kerajaan tetapi mungkin dibuat separuh hati atau mungkin berubah ketika menjadi kerajaan dan pelbagai lagi.
BERKELAYAKAN TAPI TIDAK MINAT POLITIK
Zaman sekarang kita tengok trend dunia, seorang presiden atau perdana menteri dalam kalangan orang yang sangat-sangat layak untuk perintah negara, bukan sekadar hanya ahli politik yang popular tetapi ada kelayakan, ada pengalaman yang banyak. Dengan kelayakan dan pengalaman itu dapat menyakinkan untuk memilih dia, parti dan bawa hala tuju baharu untuk negara.
Bukan setakat ketua, tetapi orang-orang kanan seperti menteri bila dilantik pegang jawatan yang kita tengok trend di luar negara, mereka sangat layak memegang jawatan itu. Bukan setakat tahu apa nak dibuat tapi boleh jadi pengubah dasar yang berpengalaman dan ada wawasan.
Kita tengok wakil-wakil kerajaan di luar negara bercakap di pentas antarabangsa, dia memang nampak pakar dalam bidang itu, hujahnya berkesan dan tepat.
Contoh soal pencerobohan Gaza, di ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) berapa ramai wakil kerajaan bercakap, tetapi saya ingat wakil luar Afrika Selatan dan kita tahu level dia sangat tinggi. Saya rasa di Malaysia ada orang begitu, cuma tak diberi peluang untuk memegang jawatan sepenting itu, walhal mereka inilah yang boleh menjadi wakil yang akan mengharumkan nama negara dan akan dihormati oleh orang ramai.
Tapi sistem politik kita ini seolah-olah mengekang, tak membenarkan perkara itu berlaku sebab orang yang berkelayakan tidak minat terhadap politik dan tidak sanggup untuk lalui proses pilihan raya.
POLITIK CARI MAKAN
Sementara orang yang berada dalam politik ini mereka nampak politik sebagai kerjaya dan lebih teruk nampak sebagai sumber cari makan. Itu masalah dan kita sudah nampak kesannya sekarang. Orang begini pandai pikat hati orang ramai, dia boleh menang kalau bertanding.
Kalau menang, akan dilantik pegang tanggungjawab yang begitu berat. Contohnya pendidikan anak-anak kita atau bagaimana mahu tarik pelaburan. Bukankah sudah tiba masanya untuk kita pilih yang terbaik antara yang baik-baik. Takkan kita nak ikut lagi politik cara lama. Kita perlu tengok trend.
PASUKAN IMPIAN
Pejuang cuba menarik minat golongan profesional yang sebelum ini banyak merungut berkenaan nasib negara dan tidak puas hati dengan sistem politik tapi tidak tampil ke hadapan untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi.
Sebab itu semasa Dr. Mahathir jadi pengerusi, saya banyak bangkitkan perkara ini dan salah salah satu ideanya untuk tubuhkan pasukan impian. Saya kata orang lihat kepimpinan negara perlu ada rasa yakin kepada perdana menteri dan Kabinet yang akan tentukan hala tuju baharu atau laksanakan strategik terbaik untuk jangka panjang. Kita sudah tiada perancangan begitu seperti Wawasan 2020, Dasar Pandang Timur, Dasar Ekonomi Baru dan Koridor Raya Multimedia.
Pasukan impian yang dianggotai beberapa orang yang sudahpun ada rekod cemerlang dalam bidang masing-masing. Contoh yang berjaya mengurus GLC (syarikat milik kerajaan) sampai tahap tersohor serata dunia. Orang begini kita tarik atau mereka yang akademik cemerlang, disenangi ramai dalam dan luar negara, pakar ekonomi atau usahawan berjaya. Sekarang ini ada yang berbakat tetapi mereka ini lebih mengkritik daripada luar, tak nak terlibat dan anggap (politik) leceh, perlu masuk pilihan raya, tak boleh bayangkan diri nak kempen, nak yakin orang, masuk kampung dan sebagainya.
Kalau boleh tubuhkan awal, contohnya dalam Pejuang kita isytihar orang yang agak terkenal, berpengalaman dan dia dilantik menjadi pengerusi biro. Satu orang dah kenal sebelum masuk Pejuang, orang dah hormat, jadi apa yang diperkatakan adalah isu berkaitan kelayakannya berbanding mereka yang tiada pengalaman, tiada lulusan akademik tetapi bercakap atas dasar wakil rakyat sahaja, komen pula mengenai mata wang. Siapa nak dengar?
POLITIK TOKSIK
Saya nampak ramai yang tidak sanggup menyertai politik mungkin sebab mereka nampak politik ini sangat toksik.
PEJUANG SUDAH TIADA IKON?
Zaman Dr. Mahathir semasa menguruskan parti selalu ingatkan kita tiada soal ikon. Sebenarnya kalau nak bina parti, janganlah hanya kerana seorang ikon untuk tarik minat seseorang bersama parti itu. Sebaliknya perlu lahirkan lebih ramai pemimpin. Harapan ini terletak kepada anak-anak muda. Kita kena cari mereka yang berminat dalam politik, boleh diketengahkan untuk kepentingan negara. Dan saya ingat peluang itu kita nak sediakan supaya nampak Pejuang sebagai satu pentas untuk orang muda.
TAK AJAK KHAIRY, ISHAM JALIL?
Ini kena fikir kesesuaian. Saya lebih fikirkan berkenaan orang-orang yang kita tak pernah dengar, yang di luar radar tapi ada banyak yang nak dikongsikan bersama. Dalam banyak-banyak perjumpaan dengan orang-orang ini, bila sembang-sembang, mereka ini berkaliber, kreatif untuk selesaikan masalah, banyak pandangan tentang isu-isu semasa tapi tak pernah ditonjolkan.
Cuma bagaimana kita nak kurangkan toksik itu, kalau tanya anak muda pandangan mereka tentang politik, mereka akan cakap rasuah, beli undi, SD (akuan bersumpah), tukar kerajaan, tukar perdana menteri, tidak stabil dan rosakkan negara.
MENTERI BELUM CAPAI KPI?
Saya ingat masih jauh lagi (menteri hari ini untuk mencapai KPI atau Petunjuk Prestasi Utama). Malah pada pandangan saya mungkin sudah menyusut. Kalau dulu kita ada Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Lim Keng Yaik, Tun Dr. S. Samy Vellu, Tan Sri Mohamed Rahmat. Mereka ini semua hebat-hebat dan bukan calang-calang orang. Mereka boleh stand alone, boleh bercakap, menguasai isu berkaitan kementerian dan kita yakin apa mereka cakap benar dan mereka boleh buat.
Sekarang ini kalau sistem pilihan raya tiada populariti dan tidak berduit, tidak akan lepas. Saya komen dalam TikTok saya semasa PRU tempoh hari, berlambak bendera tiga parti besar, kami (Pejuang) ‘ciput’ sebab itu tak nampak sangat bendera Pejuang. Amalan di sini, kalau tak banyak bendera, maknanya parti itu tidak layak dipilih. Saya rasa kena berubah sedikit. Belanja itu sahaja membazir dan tiada kesan. Adakah dengan jumlah bendera itu bermaksud mereka paling layak, tak semestinya!
PARTI BAHARU PANTAS MENANG
Sekali lagi trend di peringkat antarabangsa termasuk di ASEAN memang ke arah itu. Banyak parti baharu, yang tak wujud 10 tahun dulu tetapi sekarang boleh menang pilihan raya dan tubuh kerajaan.
Yang terbaharu tapi tak kesampaian future party Thailand, Parti Move Forward (MFP). Pita Limjaroenrat walaupun tidak menjadi perdana menteri tetapi berjaya menang majoriti. Dia mungkin ceburi politik pada usia 30-an.
Orang begini yang sebenarnya punya latar belakang akademik, pengalaman, cara hujah menyakinkan, bawa idea baharu yang tidak lapuk dan ada kesungguhan untuk dilaksana (janji). Saya ingat memang sudah ke arah itu trend itu.
Dari dulu lagi memang dasar kerajaan hendak didik anak-anak muda untuk belajar tinggi di luar negara tapi kenapa bila mereka balik, tak ambil peluang bagi pimpin negara? Saya bukanlah nak buat bandingan tetapi Singapura dan China bagaimana? Mereka asah bakat dari usia muda dan diberi tanggungjawab berat.
MASIH PILIH PN?
Saya dulu dari UMNO, kemudian tubuhkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pejuang, kita dah agak lama dalam politik. Amalan berpolitik jadi budaya kita, di mana konvensyen dalam politik dah macam termaktub seolah-olah tak boleh ubah.
Macam kami yang cuba-cuba hari itu, kita harapkan orang terbuka memilih pilihan ketiga atau keempat tapi nampaknya belum sampai tahap itu lagi. Sebab itu kami bila ada pemukiman dalaman yang dibuat, ada perbahasan dalam Pejuang berkenaan apa matlamat jangka pendek dan panjang dan adakah sama kedua-kedua itu.
Jangka pendek maksudnya kita sasar PRU16 dan beberapa PRN di Melaka, Johor dan Sabah. Kita rasakan kemungkinan untuk menang beberapa kerusi pun agak susah kalau tidak menyertai gabungan.
Kami sebenarnya lebih sedikit cenderung pada PN (Perikatan Nasional) atas sebab-sebab seperti parti Melayu. Sampai sekarang masih lagi berharap. Walaupun kita mohon secara rasmi tapi tidak dapat satu respon rasmi kecuali kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu sidang media. Kami tidak menerima surat yang menolak permohonan itu.
Kalau kita ingat, lepas PRU15, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada keluarkan kenyataan bahawa PN seharusnya lebih terbuka menerima parti lain.
Pejuang masih berminat. Kalau ikut objektif jangka pendek adalah untuk meningkatkan peluang menang bermaksud Pejuang perlu menyertai satu gabungan besar.
Sementara untuk jangka panjang pula, adakah perlu untuk Pejuang muhasabah diri dan tidak tergesa-gesa. Kalau tak PRU16, mungkin fikirkan PRU17. Ambil sedikit masa untuk membina kekuatan parti ini dan macam-macam kemungkinan akan berlaku dalam tempoh itu dan dengan harapan akhirnya proses kematangan di pelbagai peringkat akan berlaku berkenaan politik dan parti.
TAK BERALIH KE PH?
Kurang sedikit kebersamaan dari segi pendirian dalam pelbagai isu. Kita masih lagi sebuah parti Melayu. Dari segi kedudukan, kita rasa Pejuang sedikit ke kanan daripada tengah. Ini bermaksud kita tiada masalah untuk bekerjasama dengan parti-parti mewakili kaum-kaum lain.-UTUSAN










