BAGI menangani isu pencemaran plastik, pihak industri dan akademia mesti bersama kerana kedua pihak ini mampu menyelesaikan masalah sama ada dari segi perubahan sikap dan gaya hidup masyarakat terhadap plastik, kempen kesedaran pengurusan bahan plastik serta inovasi, teknologi, pengangkutan mahupun pengeluaran.
Satu sekretariat mesti ditubuhkan segera bagi menyelaras kerjasama pihak industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan dengan strategi serta tindakan yang jelas dan berkesan.
Sasaran tahun 2030 untuk memperlihatkan pengurusan sisa plastik yang baik memerlukan kefahaman dan kesedaran awam, teknologi dan inovasi serta penglibatan pihak berkuasa mahupun NGO.
Oleh kerana penggunaan plastik sudah menjadi satu keperluan dan budaya kehidupan manusia, maka usaha dan kerjasama pihak akademia dan industri mesti disegerakan terutamanya mencari jalan untuk hasilkan plastik mesra alam. Galakkan, insentif dan program khas mesti diadakan antara pihak berkenaan.
Banyak artikel melaporkan plastik boleh dijumpai di puncak Gunung Everest hingga lautan yang paling dalam di dunia. Plastik, serpihan plastik atau mikroplastik boleh dijumpai di mana-mana sahaja di dunia ini termasuk dalam tubuh manusia seperti dalam najis, darah dan susu ibu.
Kewujudan sisa plastik di merata tempat yang boleh menyebabkan masalah kepada alam sekitar dan memberikan kesan kepada kesihatan manusia, hidupan liar dan perubahan iklim, maka isu pencemaran plastik mesti diselesaikan segera oleh penduduk dunia.
Pencemaran plastik sudah menjadi krisis global. Lebih kurang 95 peratus plastik dihasilkan daripada bahan api fosil dan melepaskan 3.7 peratus Gas Rumah Hijau (GHG). Jurnal Nature melaporkan pada tahun lalu sebanyak 352 juta tan sisa plastik di dunia dan lebih kurang separuh daripada plastik yang dihasilkan digunakan hanya sekali sahaja. Hanya sembilan peratus sisa plastik sahaja dikitar semula dan 19 peratus lagi di bakar.
Aktiviti ini boleh mengurangkan kualiti udara. Sebahagian besar sisa plastik berakhir di tapak pelupusan sampah (49 peratus) selain daripada disalah guna atau salah urus (22 peratus) dan sebahagiannya dibakar secara terbuka, longgokan sampah secara haram atau pembuangan sampah di merata-rata.
Pencemaran plastik yang sedang berlaku di dunia boleh mengakibatkan kesan buruk kepada planet bumi. Proses semula jadi yang sedang berlaku di bumi akan berubah seperti kitaran nutrien dalam tanah dan corak cuaca tempatan.
Ada pandangan yang mengatakan kejadian pencemaran plastik berpotensi sebagai era geologi baharu akibat perbuatan manusia.
BIOPLASTIK
Walaupun terdapat banyak penemuan baharu berkaitan bioplastik, hasil daripada kajian berpuluh tahun, namun masih banyak kerja penyelidikan yang perlu dilakukan terutamanya berkaitan ekonomi sirkular bagi mewujudkan perniagaan dan pelaburan yang bertanggungjawab.
Ahli kimia dalam bidang polimer terutamanya, mesti bekerja lebih keras dan bersama dengan pihak industri untuk membangunkan teknologi kitar semula dan produk plastik mesra alam.
Sudah ada bioplastik yang dibangunkan daripada sumber biomass yang boleh diperbaharui menggantikan sumber minyak mentah. Kajian yang lebih mendalam perlu dilihat bukan sahaja dari segi faktor alam sekitar tetapi yang lebih penting ialah ekonomi. Pelaburan pihak industri dan akademia dalam hal ini sangat penting.
Pandemik Covid-19 menambah lagi penggunaan plastik sekali guna terutamanya untuk keselamatan dan membendung merebaknya penyakit. Penghantaran barangan keperluan harian seperti makanan dan keperluan asas terus ke rumah menambahkan lagi penggunaan plastik sekali guna dalam pembungkusan.
Pengalaman itu memerlukan kreativiti dan inovasi baharu termasuk ekonomi sirkular selain daripada plastik mesra alam dan sistem pengurusan sisa plastik yang baik. Tambahan lagi di Malaysia terdapat banyak upacara sambutan seperti hari raya yang sudah pasti menggunakan banyak bahan-bahan berasaskan plastik.
Bahan-bahan berasaskan plastik dilihat di lautan sejak lebih daripada 50 tahun dahulu dan penggunaannya terus meningkat. Semua orang perlu bersama menguruskan plastik dan merancang penggunaannya terutama barangan plastik sekali guna seperti beg plastik, botol plastik, penyedut plastik dan bungkusan plastik.
SIFAR PLASTIK
Kerajaan Malaysia sudah pun melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030. Malangnya sambutan masyarakat terhadap kempen sifar beg plastik sekali guna tidak begitu kelihatan, seolah-olah kempen itu tidak pernah dilakukan. Beg plastik dan botol plastik sekali guna misalnya masih boleh dijumpai di dalam sungai semasa air surut.
Oleh kerana masalah global ini yang sudah pun diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mereka mengajak semua negara bersama-sama menangani isu ini di lautan secara berkesan. Di peringkat antarabangsa sudah ada kaedah pendidikan dan kempen bagi menarik minat seluruh masyarakat dunia memahami dan melaksanakan kawalan pencemaran plastik.
Malaysia sentiasa mempromosikan pembangunan mapan dengan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG 2030). Walaupun Malaysia komited dengan polisi dan peraturan, namun sambutan daripada masyarakat umum masih lagi berada di tahap yang tidak menggalakkan.
Isu pencemaran plastik secara global sukar dikawal sekiranya tiada komitmen menyeluruh daripada kerajaan, rakyat dan pihak industri. Penggunaan plastik sudah pun menjadi keperluan dan gaya hidup semasa.
Pemantauan PBB terhadap SDG 2030 setakat ini, umumnya tidak berjaya seperti yang diharapkan memandangkan fenomena perubahan iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi terus berlaku. Pencemaran plastik di lautan juga masih berlaku dan terus meningkat.
Pencemaran plastik di lautan merupakan sumbangan signifikan mengancam kesihatan hidupan liar marin seperti ikan paus, penyu dan burung laut. Mikroplastik juga memberi kesan kepada aktiviti fotosistisis dan pertumbuhan fitoplankton, kesan keracunan ke atas zooplankton dalam perkembangan dan pembiakan, kesan stok karbon dan kesan ekologi lain umumnya.
Fitoplankton dan zooplankton adalah produser dan konsumer penting dalam kitaran tenaga lautan. Apabila kitaran tenaga terhalang akan memberikan kesan kepada biodiversiti dan perubahan iklim umumnya
Laporan PBB tentang pencapaian SDG 2030 sangat membimbangkan dunia dan Malaysia mesti lebih agresif dalam melaksanakan inisiatif ini termasuk kawalan pencemaran plastik di lautan. SDG 13 (Tindakan Iklim: Mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim serta kesannya dengan mengawal pengeluaran GHG dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui) dan SDG 14 (Memelihara dan menggunakan secara mampan, lautan, laut dan sumber marin demi pembangunan mampan) adalah sangat berkaitan dengan pencemaran plastik.
Dalam Plan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030, Malaysia mencadangkan industri plastik beralih kepada produk yang mesra alam dan terus berkembang dengan mengadaptasi teknologi hijau dan memelihara alam sekitar.
Semua pihak yang berkepentingan mesti memainkan peranan dalam menyokong Plan Hala Tuju kerajaan melalui pelbagai cara dengan penggunaan teknologi, amalan dan sokongan sehingga objektif plan itu tercapai dan manusia seluruhnya mendapat manfaat.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










