MUKADIMAH
ANGGOTA delegasi China baru selesai bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI ketika kami dari Utusan Malaysia tiba di Yayasan Al Falah, Country Heights, Kajang, Khamis lalu.
“Bukan sahaja pasal sambutan ulang tahun 50 tahun China-Malaysia pada Mei ini, lebih dari itu kita bincangkan, mereka (China) cukup ambil serius sambutan ini. Yang datang pun bakal menteri luar mereka,” kata Ahmad Zahid diaju sebab kedatangan delegasi itu, memulakan temu bual dengan akhbar ini.
Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, AMIR KHALID, Presiden UMNO yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberitahu tidak semua perkara perlu diuar-uarkan. Apa lagi strategi untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO, katanya yang turut mengulas visi kementerian dan cabaran getir dihadapi UMNO dalam politik hari ini.
MENOKTAH KEMISKINAN LUAR BANDAR
Hakikatnya tiada satu negara pun yang terlepas daripada kenaikan harga barang. Tiada satu negara yang boleh selesai (isu) harga barang tanpa subsidi dan tiada negara mampu mensubsidi semua barang supaya kos sara hidup turun. Lantas Malaysia memperkenalkan kaedah subsidi bersasar.
Dalam konteks KKDW, kami melihat kementerian ini bukan hanya menjaga soal desa atau luar bandar tetapi menjaga kepentingan bumiputera keseluruhannya. Lihat Majlis Amanah Rakyat (Mara) ada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), universiti profesional Malaysia dan perkara-perkara begini kita luaskan skop.
Sebab itu untuk tangani kos sara hidup ini banyak program untuk peningkatan pendapatan. Kita memberikan peralatan dan latihan untuk kumpulan sasar supaya mereka tak diberikan ikan sahaja tetapi kail.
Kursus seperti Quick win bagi kumpul B40 bukan sahaja memberikan mereka kemahiran untuk mencari pekerjaan tetapi menjadi usahawan.
Melalui Belanjawan 2024, sejumlah RM2.67 bilion diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JALB), Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS).
Selain dari projek prasarana, KKDW juga melaksanakan pelbagai program seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dengan peruntukan sebanyak RM460.2 juta melibatkan 15,600 unit rumah (bina baharu dan baik pulih) yang memanfaatkan 75,000 ahli isi rumah.
Selain itu, ada juga Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dengan peruntukkan RM17 juta yang memanfaatkan 1,600 peserta, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), yang menyasarkan golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun melalui peruntukkan sebanyak RM17 juta.
Malah KKDW melalui agensinya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyediakan Kursus Kemahiran Quick Win bagi membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan. Sebanyak RM4.2 juta diperuntukkan dengan memanfaatkan seramai 940 peserta.
Sementara Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) melaksanakan aktiviti ekonomi tambahan dan pembangunan usahawan supaya pekebun getah kecil memperoleh pendapatan tambahan melalui bidang perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian untuk pembangunan produk atau perkhidmatan yang berdaya maju. Ini akan memanfaatkan 2,500 pekebun kecil dengan peruntukan sebanyak RM30 juta manakala bagi Program Pembangunan Usahawan sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada 4,500 pekebun kecil.
Felcra Berhad (Felcra) juga melaksanakan Projek Tanaman Herba bagi menjana pendapatan tambahan kepada yang miskin. Begitu juga dengan Program Desa Lestari (PDL) yang merupakan geran bagi meningkatakan pendapatan komuniti desa melalui penglibatan pelbagai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan melalui koperasi enam sektor utama. Program ini sangat-sangat berjaya kerana kita tidak beri secara one-off tetapi membuat tindakan susulan.
TANAH TIDAK DITOREH
Seterusnya Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) yang merupakan projek untuk mengoptimumkan pembangunan di tanah-tanah terbiar atau adat yang mungkin berdepan isu faraid dalam beberapa kampung sedia ada.
Kawasan tanah ini tidak ditoreh kerana tiada pekerja atau tuan tanah sudah berusia. Lagipun tidak memberi keuntungan kerana kos pengeluaran tinggi. Kita ada lebih 257,000 hektar tanah dan sudah dibincangkan dengan Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd. Hassan Marican. Tanah inilah kita fikirkan untuk digantikan dengan tanaman pertanian. Ini dalam perancangan yang akan melibatkan semua negeri. Tiada kerenah birokrasi, cuma nak tukar syarat tanah dari getah ke lain itu di bawah kerajaan negeri. Kita cadangkan koordinasikan dengan semua menteri besar dan ketua negeri.
10 KONTENA SEBULAN
Saya juga merupakan Pengerusi Majlis Halal Malaysia. Sebenarnya permintaan produk halal dari luar negara begitu besar. Kita bercakap tentang ramuan seperti serai yang dijadikan serbuk. Permintaannya 10 kontena sebulan dan kita tiada kemampuan untuk hasilkannya.
Jika tanah boleh jadikan tanaman serai atau herba, pandan dan halia melalui kerjasama dengan Felcra, Felda dan KKDW fokus pada halal untuk farmaseutikal, perubatan kosmetik, makanan dan sebagainya.
AYAM
Kita ada pendekatan menggunakan kaedah ladang kontrak. Ertinya syarikat luar dijemput untuk menggunakan tanah milik agensi kita. Mereka keluarkan modal untuk reban, benih ayam, makanan, vaksinasi tetapi pekerja dipilih oleh agensi.
Untuk satu pusingan ayam hanya mengambil masa 23 hari. Ini bermakna untuk 100,000 ekor ayam hanya memerlukan tiga orang pekerja. Keuntungan bersih bagi seekor ayam ialah RM1.50 dengan 50 sen diberikan kepada agensi. Kalau miskin macam mana pun, berapa banyak mereka boleh dapat dalam satu pusingan? Ini juga boleh imbangi harga ayam yang dikawal kartel.
TIDAK DIUAR-UARKAN
Projek ini dilaksanakan sejak saya ambil alih kementerian dan mengapa tiada pengumuman sebab kita utamakan kerja. Kerana tiada publisiti, sebab tu orang kata UMNO dengan kementerian ini tak menyengat sebab kita buat kerja, bukan buat bising.
SURVIVAL UMNO
Ini soal pengurusan persepsi kerana pada pra Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU2018), center of gravity (ketika itu) ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak. Apa sahaja yang dibuat sama ada sebagai presiden parti atau perdana menteri diasak agar tak dapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.
Bila saya ambil alih dalam keadaan itu, mustahil untuk atasi persepsinya dalam semalaman. Kita telah lalui satu lagi pilihan raya iaitu PRU15. Bukan senang nak lawan persepsi itu sebab telah melekat di minda khususnya orang Melayu, maka ini diambil kesempatan oleh seteru politik.
Cuba lihat apabila UMNO atau BN (Barisan Nasional) berada dalam kerajaan (perpaduan) di mana saya diberi portfolio di satu kementerian untuk menjaga kepentingan bumiputera khususnya orang Melayu. Juga diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan jawatankuasa Kabinet, yang rata-rata menjurus ke arah matlamat yang sama dan yang mutakhir ialah KEB (Kongres Ekonomi Bumiputera).
74 RESOLUSI, 150 PROGRAM
Kita lihat terdapat 74 resolusi (dalam KEB) yang semua adalah untuk bumiputera. Bukan sekadar soal ekonomi tetapi semua kehidupan bumiputera tanpa mengetepikan etnik lain. Terdapat 150 program bagi melaksanakan 74 resolusi itu. Program ini mesti ada komitmen pihak kementerian, jabatan, agensi, GLC, GLIC untuk pelaksanaan.
Kita segmentasikan hingga 2030 dan selanjutnya 2050. Kita buat program jangka pendek, sederhana dan panjang. Sekretariat tetap diwujudkan dengan saya pengerusinya. Ini melalui Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera.
Sekretariat tetap mesti berikan laporan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera terhadap pelaksanaan pemantauan dan keberkesanan. Itu semua agenda kita walaupun tak sebut nama UMNO, tetapi yang mempengerusikannya ialah Presiden UMNO.
Dalam hal ini kita tak mahu mempolitikan isu ini tapi mahu soal bumiputera, Melayu, Islam berada dalam bidang tugas utama. Dalam perkara ini perlu lihat connectivity Majlis Halal Malaysia, Majlis Usahawan Negara, Majlis TVET Negara. Semuanya ada kaitan dengan kumpulan sasar. Kalau tak nampak juga apa yang saya lakukan dan dianggap tidak menyengat, walaupun tidak adil pada saya tapi saya minta mereka terbuka dengan apa yang kita lakukan untuk kumpulan sasaran.
ZAHID BERUNDUR?
Siapa yang cipta 47 tuduhan? Persepsi itu yang dilemparkan yang susah dibuang seolah-olah saya ini buruk sangat sampai tak tengok apa saya buat selama ini dan sebelum itu. Seolah-olah saya ini sangat rasuah, salah guna kuasa, seolah-olah saya pecah amanah tetapi telah dibuktikan oleh mahkamah yang saya tidak ‘submit’ kepada pertuduhan itu tapi persepsi masih ada. Sebab itu pengurusan persepsi ini penting.
TANPA ZAHID, UMNO TIADA DALAM KERAJAAN?
Tidak adil untuk saya katakan ya, lihat sendiri apa yang nyata. Saya tak boleh angkat bakul masuk sendiri.
MUSUH TETAP CERITA BURUK
DAP sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Dulu kerjasama dengan MCA, MIC dalam Perikatan Nasional (PN), Pas kata kami pun kerjasama dengan kafir tapi kami tak berurusan dengan DAP. DAP adalah sebahagian daripada PH. Kita sebahagian daripada BN.
Bila masa DAP tidak bersetuju dengan UMNO dalam program perkasakan orang Melayu, bila masa? Kalau saya sebut Dasar Halal Negara untuk Islam dan Melayu, tiada satu perkataan yang tidak setuju (dari DAP). Gobind Singh Deo sendiri duduk dalam Majlis Ekonomi Bumiputera, dia setuju apa yang kita sebutkan. Dalam Kabinet, dia tidak bantah.
Beginilah kalau nak dapat jawapan baik kena tanya kawan, kalau nak buruk tanya musuh. Musuh ini kita buat baik macam manapun, tetap cerita yang buruk. Yang penting niat saya Allah tahu.
PAS MASIH PERLUKAN UMNO?
Nombor satu kita betulkan persepsi seolah-olah Islam terancam. Siapa yang ancam Islam sebenarnya? Di Pantai Timur, kes dadah paling teruk tapi sebab sokong ‘Isle’, mereka takut-takutkan orang, masuk neraka. Ini adalah perkara lama yang diperbaharui. Kita perlu fikir positif selepas ini. Jangan terjebak dengan persepsi.
Kalau UMNO teruk sangat, kenapa mursyidul am Pas (Datuk Hashim Jasin) ajak (UMNO) untuk wujudkan semula Muafakat Nasional (MN). (Ini kerana) mereka tengok komponen penting untuk Islam/orang Melayu adalah UMNO.
Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata kalau UMNO tukar perlembagaan kepada Islam, dia akan bubarkan Pas. Mana pernah bubarkan pun, cakap je (untuk) sekadar menjadi satu isu.
PRN SABAH
Kuasa autonomi bergantung pada calon, kalau mereka menang dan dapat majoriti mereka tentukan siapa jadi ketua menteri. Saya lebih suka juga autonomi dalam mencari wang dan dana untuk pilihan raya, cari sendirilah.
Begitu juga autonomi dalam pembentukan dasar tapi yang pentingnya UMNO telah lama berada di Sabah yang pernah menjadi dominan. Berbeza dengan Sarawak yang ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menyerupai UMNO.
Apa yang menimpa UMNO Sabah sama dengan apa yang dialami di Semenanjung. Dalam hal ini kita merasakan ada formula tertentu apabila DUN Sabah dibubarkan. Ketika itulah keputusan muktamad akan dibuat.
PEMUDA LANTANG ISU AGAMA
Bila Ketua Pemuda UMNO (Dr. Muhamad Akmal Saleh) tunjuk taring, orang kata melampau pula. Masa saya Ketua Pemuda UMNO pun begitu juga keadaannya. Kita kena faham kaedah Pemuda UMNO. Saya jadi Ketua Pemuda sejak 1996 lagi. Saya pun dianggap tidak senada dengan presiden. Ini biasalah orang muda. Kita pernah jadi muda. Apa jua perbezaan akan diatasi secara dalaman parti.
BILA MELAYU AKAN KEMBALI PADA UMNO?
Sebarang strategi tidak lagi jadi strategi kalau diceritakan kepada orang ramai. Kita buat kerja dulu. Bukan senang sebuah parti yang lama, yang dipanggil grand old party. Kita risau yang hilang grand, yang tinggal old party.
Banyak banyak parti juga, grand old party masih jadi kerajaan.










