Kitar, sebelum kita ‘dikitar’

Kitar, sebelum kita ‘dikitar’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN membuang sampah tanpa mengira tempat dan masa menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat kita. Membuang sampah keluar dari kenderaan yang bergerak di bahu jalan raya, melontar bahan buangan dari tingkat pangsapuri, melongokan sisa buangan ke dalam parit dan sungai, sisa binaan terdampar di kawasan-kawasan belukar dan hutan simpanan merupakan antara aktiiviti yang sering dirakam dan dikongsikan di media sosial. Adakah ini mencerminkan minda masyarakat yang dilabel sebagai rakyat kelas pertama?

Kedegilan dalam menguruskan sisa domestik secara sistematik, telah menambahkan tapak pelupusan sampah dan jumlah tan metrik sampah yang dikutip di negara kita.

Pada Januari 2023 jumlah tan metrik sampah yang dikutip di Pahang sahaja mencecah 39,000u dan angka ini meningkat kepada 43,000 tan metrik pada tahun ini, bagi bulan Januari. Data yang amat membimbangkan!

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merupakan badan yang menjadi pengantara dalam menjayakan dan merealisasikan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal di negara kita. Dasar ini bertujuan untuk menguruskan dan melestarikan Malaysia secara efisien dan mapan.

Pengurusan sisa pepejal yang berkesan dengan pelbagai kaedah baharu, pengasingan sisa pepejal di punca, pay as you throw (buang dan bayar) dan sistem terimaan balik. Manakala kaedah rawatan sisa pepejal terkini melalui teknologi waste to energy dan penggunaan kaedah anaerobic digestor mula digemburkan oleh SWCrop. Namun adakah kita ke arah pembudayaan kitar semula?

PERSEKITARAN BERSIH
Kita sedang mengorak langkah positif selepas tercuit secara langsung oleh wabak Covid-19. Langkah kanan kita ini haruslah seiring dengan persekitaran yang bersih dan sihat. Masyarakat dan persekitaran yang bersih serta terurus dapat mempercepatkan proses pemulihan ekonomi, sosial mahupun politik. Alam yang dinodai dengan sisa pepejal yang tidak diurus dengan sistematik akan membawa kepada kemunduran.

Amalan pengurusan sisa pepejal harus dijadikan sebagai rutin oleh setiap rakyat Malaysia. Amalan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) merupakan asas dalam merealisasikan kesejahteraan masyarakat yang bersih dan selamat. Amalan ini harus dilaksanakan dengan lebih integriti dan bersungguh-sungguh. Tiada usaha yang akan berjaya tanpa iltizam dan keteguhan hati dalam setiap lapisan masyarakat.

KURANGKAN
Kita harus mendidik diri dan generasi muda untuk mengurangkan sisa buangan. Pengurangan bahan buangan yang sukar untuk dikitar semula boleh dilakukan dengan menggunakan bekas makanan yang tersedia di rumah. Kita harus menggunakan bekas makanan dan minuman yang terdapat di rumah sekiranya membeli makanan dan minuman di kedai. Dengan ini, kita dapat mengurangkan penggunaan bekas polistirena dan beg plastik.

GUNA SEMULA
Penggunaan semula bahan plastik, botol, kaca, kertas, buku, majalah, surat khabar dan bahan-bahan lain harus dipraktikan di setiap rumah. Jadikan ia sebagai perkara yang menyeronokkan. Ajak anak-anak untuk menggunakan bahan yang dikategorikan tidak berfungsi lagi. Botol minuman boleh menjadi tabung untuk menyimpan wang saku, surat khabar boleh dijadikan sebagai kertas pembalut hadiah atau kertas hiasan dinding. Janakan kreativiti anak muda kita. Suburkan budaya penggunaan semula sejak kecil dengan mendidik serta membimbing mereka tanpa mengira masa.

KITAR SEMULA
Proses kitar semula merupakan konsep yang mudah namun memerlukan komitmen tinggi. Bahan yang boleh dikitar semula perlu dikenalpasti. Kumpulkan bahan-bahan tersebut secara berkala dan bawa ahli keluarga ke pusat kitar semula berdekatan. Timbang dan jadikannya wang. Hasil jualan boleh menjadi wang saku kepada anak-anak. Keseronokan ini akan menjadikan mereka gemar mencari bahan kitar semula. Lama-kelamaan proses ini akan bertukar menjadi amalan dan tradisi masyarakat madani.

PEMBAZIRAN
Pembaziran yang berlaku ketika musim perayaan dan majlis perkahwinan harus dipandang serius. Dilaporkan setiap kali berlangsungnya bazaar Ramadan, bazaar Deepavali, bazaar Tahun Baharu Cina, rumah terbuka dan kenduri kahwin pastinya berjuta tan sisa makanan dibuang. Masih terdapat insan yang memerlukannya namun kita tanpa sedar atau separa sedar melakukan pembaziran. Perkara ini harus dihentikan serta-merta. Cuba bayangkan penduduk di Gaza yang mencari makanan merata. Penganjur majlis berbuka puasa atau rumah terbuka perlu mengamalkan kaedah pengesahan kehadiran. Dengan itu, pihak penganjur dapat menganggarkan bilangan tetamu dan dapat mengurangkan pembaziran.

TERUS MENDIDIK
Dalam mencanang idea ke arah pengurusan sistem sisa pepejal yang bersistematik dan mapan, kita perlukan langkah-langkah yang lebih progresif dan praktikal. Kita perlu merubah dengan mula berfikir bahawa sampah itu bukan sekadar bahan buangan, ia adalah hasil negara yang terbiar tanpa pengurusan yang sistematik. Kumpulkan yang boleh dijanakan sebagai sumber pendapatan. Lakukan tindakan pengurusan sisa pepejal secara berterusan dan konsisten.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang terulung. Para anak didik harus disemai dan dibaja dengan limpahan ilmu pengurusan sisa pepejal. Taburkan anak benih yang berunsur keilmuwan berkonsepkan alam sekitar. Berikan gambaran yang jelas dan sahih tentang natijah kegagalan menguruskan sisa pepejal bermula saat ini. Pancarkan visual yang memberikan lebih banyak sumber inspirasi untuk merekabentuk bahan sisa pepejal menjadi bahan komersial.

Media massa harus mengaplikasikan dan mengadaptasikan kecerdasan buatan (AI). Siaran animasi yang berunsur didik hibur di media massa mampu memberikan impak yang mendalam. Kita sering tertarik dengan animasi yang mudah dan berinteraksi secara maya. Setiap siaran mampu mengubah minda masyarakat ke arah melestarikan alam.

Ayuh rakyat madani, genggam azam, setiap cubit tanah di bumi hijau ini harus kita kekalkan kesuburan demi kesinambungan dan kemakmuran generasi kini dan akan datang. Kita kesuntukan masa. Jangan menunggu detik sehingga kita dimandikan, sisa pepejal. Kitar sebelum kita ‘dikitar’!-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×