TAKKAN dah tinggal di negara bertuah ini bergenerasi, asal usulnya dan sejarah, pendatang, masih lagi tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kamu tinggal di mana? Di India? Atau di China?
Kita tinggal di Malaysia, bahasa utama atau bahasa negara atau bahasa kebangsaan kita adalah bahasa Melayu, termaktub dalam perlembagaan. Takkan masih tidak boleh lagi.
Jika tindakan tegas tidak diambil, sampai kiamat pun rakyat Malaysia tidak ada dapat berbahasa Melayu dengan baik, lebih-lebih dengan wujudnya sekolah vernakular berasaskan bangsa. Sama ada di wad bersalin, hospital, imigresen atau di mana kita berurusan, sebagai rakyat Malaysia, semua wajib tahu, faham dan fasih berbahasa Melayu.
Insiden di pejabat imigresen, pejabat polis dan beberapa pejabat lain, jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia, khusus bukan Melayu, melihat BM ini tidak penting, bahasa ibunda dia jauh lebih penting. Maka tidak ada keperluan untuk belajar BM. Sebab itu, jadi begitu.
Kenapa kita tidak ikut Indonesia atau Thailand dalam membina negara bangsa. Bagi jadikan bahasa syarat warganegara, benda ini bukan baharu.
Bagi yang faham erti bina negara, bagi mereka bahasa negara, adalah hidup mati sesuatu bangsa dan negara? Sebab itu dipaksakan, tidak ada kompromi. Sebab itu, kita lihat, bukan Siam (Thai), bukan Indon (Tionghua Indon), penguasaan bahasa Indonesia mereka amat baik, malah lebih Indonesia dari Indonesia.
Kita terlalu berlembut. Bila dibantah atau ditular sahaja, semua jadi takut dan luluh. Nak jadi apa dengan negara ini? Pembinaan bangsa semakin kuat, pembinaan negara semakin kebelakang? Kita nak hasil apa? Rakyat Malaysia yang patriotik? Jauh sekali.
Nak bukti apa lagi? Bukti dah ada di depan mata? Lihat cara wakil rakyat berucap sama ada di DUN atau parlimen. Mereka sendiri tidak faham apa yang diucapkan, hanya membaca. Baca itupun dia tidak faham. Apa yang boleh diharapkan? Ini standard wakil rakyat.
Bayangkan mereka yang hidup dalam kelompok mereka, langsung tidak bergaul, seperti ibu kepada kes yang berlaku di pejabat imigresen Pulau Pinang. Langsung tidak tahu berbahasa Melayu. Alasannya, generasi lama. Generasi baharu pun sama. Sebab proses sosialisasinya sama, mereka tidak bergaul dan bercampur.
Sudah sampai masanya kerajaan mewajib syarat, penguasaan dan kemahiran berbahasa Melayu sebagai syarat mendapat kewarganegaraan. Isu bahasa dan isu warganegara ini, isu keselamatan, jangan lihat enteng. Kita perlu lahirkan rakyat Malaysia yang setia, sanggup hidup mati bersama, bukan pembelot.
Apa yang lebih penting selain bahasa, sudahlah kita banyak berbeza. Bangsa dan agama berbeza? Sekolah berbeza? Penempatan tempat tinggal berbeza. Sosialisasi berbeza. Medium berbeza. Semua berasaskan kaum. Paling teruk, media. Setiap kaum ada channel masing-masing. Bila mereka mahu fasih berbahasa Melayu?
Sebab itu, bila ada syor dan pendapat, wajibkan kefasihan bahasa, semua melihat itu tidak penting. Yang penting tunaikan apa kehendak mereka. Jika tidak ditunaikan, maka ditularkan. Hasilnya, semua jadi takut.
Sekadar ingatan sahaja kepada pemimpin negara, dari yang bergelar sampai tidak bergelar, dari pembuat keputusan sampai kepada yang berjawatan, kamu jangan fikir isu bahasa ini, isu kecil. Ia teramat besar, kerana ini isu negara dan keselamatan.
Apabila lahir ramai rakyat yang tidak cintakan agenda negara seperti bahasa, semangat patriotik mereka semakin luntur. Mereka lebih cintakan bangsa dari negara. Mereka lebih mempertahankan bangsa dari negara. Banyak bukti sedia ada.
Perkahwinan dengan bukan warganegara semakin berleluasa, Vietnam, China dan sebagainya. Ini tidak termasuk mereka yang terlepas dan penipuan visa dan kad pengenalan. Walaupun dinafikan, isunya tetap ada.
Justeru, langkah-langkah perlu diambil, bukannya dengan menyalahkan sesama sendiri. Paling sedih, pegawai sendiri disalahkan, dengan kata-kata, kerja kita baharui pasport, bukan tanya soal bahasa.
Percayalah, isu ini nampak kecil, tetapi jika dianalisis secara mendalam, ia melibatkan isu keselamatan negara. Kita perlu lahirkan rakyat atau warga yang setia, sanggup mati demi agama, bangsa dan negara, bukan pembelot, yang tidak ada taat setia. – UTUSAN
PROFESOR Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras (PPT) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.










