BAK kata bahasa Inggeris, never a dull moment apabila berkaitan dengan gelagat politik. Ada-ada sahaja. Yakni tiada ketika yang membosankan, khasnya kebelakangan ini.
Baharu sahaja tutup kajian selepas ‘ternga-nga’ dibuatnya dalam usaha mengangkat Kampung Baru Cina menjadi tapak warisan dunia anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong merumuskan dengan penuh kewajaran bahawa soal warisan bukannya sesuatu yang boleh diambil ringan sekadar mengikut naluri politik identiti berbaur populariti.
Sebaliknya ia membawa lakaran negatif seolah-olah bersubahat dengan musuh negara. Apa lagi untuk diperingati turun temurun. Tidak ada nilai sejagat keseluruhan yang boleh ditawarkan kepada dunia, melain segelintir yang tidakpun mewakili jati diri Malaysia, membelakangi kepentingan negara daripada kelompok terpencil lagi terasing.
Seelok sahaja peristiwa tersebut mula reda, tercetus pula satu lagi ‘tong bising’ yang tidak kurang menggegarkan. Bagai satu lagi kata-kata Inggeris, empty vessel makes the loudest noise. Yakni, tong kosong membuat bising paling kuat. Mengapa tidak, kerana ia meniti satu lagi aspek warisan. Lebih angkaranya memandangkan ia menyentuh bukan sahaja nilai tetapi lebih-lebih lagi budaya. Sudah tentunya mengakari budaya setempat sebelum boleh diiktiraf sebagai warisan Malaysia.
Jadi serunding daging tidak boleh menjadi warisan negara Inggeris, sepertimana fish and chips tidak boleh menjadi makan warisan di Tanah Melayu, baikpun Malaysia. Meskipun ada orang Malaysia bermastautin di negara tersebut dan sebaliknya.
Menakluk Tanah Melayu tidak menjadikan makanan penjajah sebagai warisan tempatan. Walaupun ia mungkin wujud, bahkan digemari, tetapi tidak sekali-kali bersifat warisan. Warisan perlu berakar umbi lamanya dan turun temurun.
Maka apabila disebut sejenis makanan – apa sahaja namanya – yang tidak pernah berakar umbi di Tanah Melayu maka bukan dianggap warisan kita, sampai bila-bila, sepertimana serunding terasing dari warisan Inggeris. Apatah lagi tersenarai antara 10 teratas.
Kiasan ini terpakai juga kepada kelompok yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu, termasuk serba-serbi budaya mereka. Baik jenis daging ternakan, sayuran, buah-buahan yang asing di tempat penghijrahan.
Walaupun manusia kerahan boleh bertukar status kerakyatan, tidak bermakna budaya sekali gus mendapat status yang sama. Oleh itu jangan diheboh-hebohkan hal ini seperti tong bising.
Tambahan lagi bercanggah dengan nilai dan budaya setempat sebegitu lama. Songsang pula hujahnya, berkisar kepada kebendaan semata-mata dalam konteks keuntungan pelancongan misalnya. Adat budaya dan nilai turut diperdagangkan untuk matlamat jangka pendek yang akan membawa keruntuhan sosial serta perpaduan rakyat.
Mahu tidak mahu Kok Seong terpanggil sekali lagi memberi penerangan kepada pihak yang tidak mahu faham secara sengaja. Bezanya Kok Seong tahu menghalusi persekitarannya sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina, bukan sebaliknya sebagai yang lazim dikenali – Malaysian Chinese. Yakni kacamata kecinaan tertonjol dahulu, menyelubungi semua aspek pandangan alamnya.
Semua ini sudah pun terbiasa, tetapi kali ini tong kosong bising dipalu entah apa sebabnya menjadikan suasana hiruk-pikuk. Lagi sekali ramai tertanya mengapa hal seperti ini tidak berlaku bagi masyarakat India yang juga dibawa masuk penjajah Inggeris sekitar masa dan tujuan yang sama?
Sama juga di negara dan masyarakat tetangga yang lain – tetap aman tenteram dalam hal warisan yang jelas termaktub dalam sejarah masing-masing dan ia diakui semua.
Jadi, tidak hairanlah jika di negara paling maju, demokratik dan majmuk seperti Amerika Syarikat (AS), dakwaan tong bising tidak berlaku sebab ada kesedaran dengan rakyatnya mengenalkan diri bersifat tempatan dahulu, yakni Chinese American atau African American, bukan terbalik umpama American African atau American Chinese. Lantas ia seiring warisan AS berkulit cerah dan segala pembudayaan berkaitan sedar atau tidak. Tiada persaingan dalam hal ini.
Memanglah tepat jika ada yang mengatakan persaingan bukan antara satu bangsa dengan lain seperti bumiputera dan bukan bumiputera kerana dalam satu negara mempunyai kerakyatan, pembudayaan dan warisan. Tiada yang wajar diungkit-ungkit selepas enam dekad hidup bersama.
Tiada yang perlu dikiasukan. Tetapi kenyataan amat berbeza sekali dengan munculnya berbagai tafsiran yang selama ini disangka difahami semua pihak dalam negara yang berdaulat lagi bermaruah. Malangnya tidak, dimana silapnya?
TIADA NOKTAH
Ternyata isu asasnya lebih mendalam lagi. Menampakkan tiada kesetaraan ilmu merentas masyarakat pelbagai kaum serta berbilang budaya dalam warisan sejati yang berakar umbi di bumi pertiwi. Minda Kampung Baru Cina untuk memecah dan perintah impian penjajah masih segar bugar disaluti nilai politik yang serupa. Ini membuat anak-anak Malaysia, tidak kira bumiputera atau bukan, kurang saling mempercayai, di racuni oleh kecenderungan tong bising tidak kira di pasar, warung, padang permainan, bilik darjah, dewan kuliah, Dewan Rakyat, Dewan Negara atau di mana sahaja.
Jelas sekali, tiada jawapan yang mudah untuk menyamaratakan kerana berpijak atas niat yang berbeza-beza, tidak murni dan tidak kurang juga yang bercabang lidahnya. Dendam kesumat sebagai bahan bakar mencari keadilan terus menyala. Sementera itu ramai masih ‘ternga-nga’.
Digamatkan lagi tong bising yang tentu tiada noktahnya selagi warisan setempat tidak dihargai.
Mereka sudah memasuki terowong yang tiada cahaya di penghujungnya, No light at the end of tunnel, kata pepatah Inggeris. Kita sudah banyak berbudi, mereka masih enggan berbahasa.
Mungkin mereka perlu disekolahkan oleh budiman seperti Kok Seong.-UTUSAN
Penulis ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











