Tiada hak hina agama

Tiada hak hina agama

TERTUDUH Chiok Wai Loong dibawa ke di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lalu atas pertuduhan menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking kalimah Allah dalam akaun Facebooknya. – mingguan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sering mendapat pujian dari negara lain kerana sikap toleransinya yang tinggi. Contoh, sikap toleransi keagamaan. Setiap penganut agama bebas menjalankan ibadah mereka tanpa ada sekatan di negara ini.

Kebebasan agama diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia. Fasal 11 menetapkan setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya. Bagaimanapun, kebebasan beragama tidak memberikan seseorang itu hak untuk menghina agama lain.

Bagi umat Islam perbuatan menghina agama lain adalah sangat dilarang. Ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganut agama lain dan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam pula.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An‘am: 108).

Hak untuk bersuara bukanlah untuk mengucapkan atau menulis perkara sewenang-wenangnya sehingga boleh menghina sesuatu kaum atau hina agama.

Oleh itu, terdapat beberapa undang-undang di negara ini yang menyekat perkara sebegini dan menghukum mereka yang melakukannya tanpa mengira agama pelaku.

Ketika ini, media sosial boleh menjadi senjata bagi menimbulkan keresahan, kekacauan dan menimbulkan kebencian antara sesuatu kaum atau agama lain.

Umpamanya, kes stoking kalimah Allah yang mana seorang juruteknik dihukum penjara selama enam bulan dan didenda RM12,000 kerana memperolok isu kalimah Allah dan membuat hantaran melalui media sosial di bawah Seksyen 231 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 di bawah akta sama oleh mahkamah kelmarin.

Dalam Kes Arunakirinathan Thillainathan lawan Pendakwaraya (2024) CLJU 198, mahkamah ini merujuk kepada Perkara 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:

Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan -(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, kesalahan; atau pengapian apa-apa kesalahan.

Mahkamah ini berpendapat tertuduh (OKT) telah melakukan kesalahan mengeluarkan pernyataan jelek di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta 588 dan menyakitkan hati sehingga mendatangkan marah di bawah Seksyen 504

Kanun Keseksaan yang mana hak kebebasan bersuara adalah terbatas dan tertakluk kepada undang-undang di negara ini.

Seseorang itu juga boleh dituduh di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang mana antara intipati di bawah seksyen ini adalah seperti berikut:

Terdapat tiga elemen pertuduhan di bawah seksyen ini yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan iaitu orang itu telah memulakan penghantaran komen dengan sengaja mengaibkan, bagi mendatangkan kemarahan kepada mana-mana orang; dan dengan maksud memecahkan keamanan awam.

Seterusnya pelaku juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta SKMM iaitu (1) Seseorang yang – dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar –
(i) Membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) Memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) Memulakan komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik.

Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Oleh itu, setiap individu di negara ini bertanggungjawab untuk tidak menimbulkan apa-apa perbalahan berkaitan agama demi keharmonian negara yang kita cintai ini.
Jadikanlah negara kita ini sebagai contoh bagaimana rakyat pelbagai kaum dan agama boleh bekerjasama dan bertoleransi demi kebaikan dan keamanan bersama. Bukan melakukan perbuatan-perbuatan tidak berfaedah.

Datuk Syed Azimal Amir
Syed Abu Bakar ialah Pengamal
Undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN