Isu keterjaminan makanan sering dibincangkan di pelbagai platform sama ada di peringkat nasional mahu pun antarabangsa. Pertubuhan Pertanian dan Makanan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (FAO) merekodkan satu pertiga daripada jumlah makanan yang dihasilkan di seluruh dunia terbazir setiap tahun dengan nilai mencapai RM 4.4 trillion.
Berdasarkan data ini, isu pembaziran makanan menjadi topik utama dibahaskan di dunia.
FAO baru-baru ini menganjurkan Persidangan Serantau Untuk Asia dan Pasifik Sesi (APRC) ke-37 di Colombo, Sri Lanka melibatkan isu menyelamatkan makanan, air dan mengurangkan pembaziran makanan.
Bersama-sama 40 wakil pelbagai negara, Malaysia menyatakan komitmen untuk membangunkan usahasama antarabangsa bagi menangani isu yang mengancam keterjaminan makanan negara.
Usaha sama dengan pihak FAO ini juga diharapkan bagi membantu negara menetapkan rangka kerja generik tindakan dan prinsip panduan yang harus diikuti untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan dan menyokong transformasi sistem agrimakanan menjadi lebih cekap, inklusif, berdaya tahan dan lebih mampan.
Perbincangan di pelbagai peringkat telah dilaksanakan namun apakah tindakan yang kita laksanakan bagi mengatasi isu ini?
Secara ringkasnya, pembaziran makanan ini berlaku di sepanjang rantaian nilai pengeluaran makanan termasuklah di peringkat pengguna.
Di Malaysia, data SWCorp mencatatkan 44.5 peratus daripada 38,000 sisa pepejal yang dibuang di pusat pelupusan sampah merupakan sisa makanan.
Ini bermakna,17,000 kilogram (kg) makanan dibuang setiap hari dan 24 peratus daripadanya masih boleh dimakan.
Usaha kerajaan untuk mengoptimumkan pengeluaran makanan dengan pelbagai usaha dilihat sia-sia dengan berlakunya pembaziran yang agak tinggi di peringkat pengguna.
Pengeluaran makanan bukanlah sesuatu yang mudah dan sikap pengguna yang tidak menghargai makanan perlu dipandang serius.
Penerapan nilai memahami dan menghargai makanan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat.
Ini adalah salah satu cadangan yang turut diutarakan di APRC ke-37 (2024). Pengetahuan mengenai bagaimana makanan dihasilkan serta terapan nilai sayang makanan perlu dididik dalam generasi muda.
Bagi generasi yang membesar pada zaman 1970-an dan 1980-an semestinya biasanya mendengar kata-kata ibu bapa kita seperti ’Makan habis nasi dalam pinggan, nanti nasi menangis’.
Ungkapan ini merupakan salah satu nilai pengajaran positif ibu bapa kita sebelum ini yang ingin memastikan tiada berlakunya pembaziran makanan di rumah.
Berdasarkan survei yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai isu pembaziran makanan di sekolah, kira-kira 45 peratus daripada 500 responden menyatakan pembaziran berlaku sewaktu sesi makan malam di rumah.
Ini bermaksud peranan ibu bapa adalah penting untuk mendidik anak-anak supaya lebih menghargai makanan.
Selain itu, peranan sekolah dalam mendidik mengenai makanan juga perlu dititikberatkan. Topik-topik pembelajaran dalam mata pelajaran sains boleh dikaitkan dengan pengeluaran makanan dan diajar secara praktikal menggunakan laman sayur yang boleh dibangunkan di sekolah.
Menerusi laman sayur ini, pelajar bukan sahaja dapat didedahkan dengan proses menghasilkan makanan sendiri menerusi aktiviti penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan tetapi juga pengurusan makanan. Di bawah inisiatif MYSaveFood, program pendidikan untuk pelajar sekolah mula digerakkan sejak 2017 yang melibatkan laman sayur.
Selain itu, isu pembaziran makanan semasa bulan Ramadan juga perlu dipandang serius. Data SWCorp mencatatkan peningkatan antara 15 dan 20 peratus makanan terbuang setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
Walaupun kita memahami maksud ‘membazir amalan syaitan’, pembaziran makanan tetap meningkat di bulan suci ini.
Salah satu penyebab utama kepada peningkatan ini adalah menerusi peluang berniaga makanan berbuka di bazar Ramadan.
Ini memberi idea kepada wujudnya Program MYSaveFood@Ramadan di bawah Inisiatif MYSaveFood untuk menyelamatkan makanan yang tidak terjual dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan.
Program ini dilaksanakan sejak 2016 dan mencatatkan kutipan sebanyak 45,000 kilogram makanan yang berjaya diselamatkan.
Program ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, majlis perbandaran, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti tempatan.
Bagaimana cara untuk mengurangkan pembaziran di bazar Ramadan? Peranan majlis perbandaran dalam program ini amatlah penting kerana pengurusan peserta bazar boleh melaksanakan program kesedaran menghargai makanan dengan menitipkan tip-tip kepada peniaga untuk merancang penyediaan makanan daripada dibazirkan.
Kini program ini diselaraskan oleh sebuah persatuan belia bersama MARDI sebagai badan penasihat untuk penyelarasan program ini di seluruh negara.
Pada 2023, program ini berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan melibatkan sebanyak 55 bazar Ramadan dan 1,500 sukarelawan.
Bagi memastikan penyelarasan program ini dapat dilaksanakan dengan baik dan tercapai objektif keseluruhannya, satu prosedur operasi standard (SOP) yang dinamakan Kit Book MYSaveFood@Ramadan dibangunkan untuk dijadikan panduan kepada semua yang terlibat.
Kit Book MYSaveFood@Ramadan ini dilancarkan pada tahun lepas oleh MARDI dan digunakan sepenuhnya oleh semua ahli pertubuhan belia berkenaan bersama sukarelawan. Kini pertubuhan belia ini bersama MARDI melaksanakan MYSaveFood@Ramadan 2024.
Menjadi harapan untuk MYSaveFood melihat penurunan kutipan makanan yang tidak terjual.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa MARDI – UTUSAN










