MAJLIS emperingati peristiwa pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di pekarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka berlangsung dengan jayanya pada 20 Februari lalu.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk menperingati peristiwa pengisytiharan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Dalam mengimbas kembali peristiwa tersebut, satu acara dalam bentuk ulang tayang (replay) dipersembahkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa watak sebagai Abdul Rahman, yang merupakan Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO pada ketika itu. Manakala Presiden MIC, Tan Sri SA.Vigneswaran memainkan peranan sebagai Tun V.T.Sambanthan yang merupakan Presiden MIC yang juga Menteri Buruh.
Sambanthan pernah mengalungkan bunga malai kepada Abdul Rahman sebagai tanda hormat dan penghargaan setibanya Perdana Menteri Pertama itu ke perkarangan pengisytiharaan kemerdekaan di Bandar Hilir Melaka.
Peristiwa yang serupa juga dilakonkan semula dengan Vigneswaran mengalungkan bunga malai kepada Anwar apabila sampai ke pekarangan pengisytiharaan.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya menggesa rakyat merenung semula erti kemerdekaan. Persoalannya apakah rakyat terutamanya generasi pasca kemerdekaan mengerti kemerdekaan dan masih ingat liku-liku perjalanan serta perjuangan pelopor-pelopor kemerdekaan dalam membebaskan Tanah Melayu, negeri pertiwi daripada belenggu penjajahan kuasa luar hampir 400 tahun? Apakah mereka sedar terhadap rentetan-rentetan peristiwa penting yang membawa kepada kebebasan Tanah Melayu daripada penjajahan Empayar British?
Sambil kita mengingati pengumuman tarikh kemerdekaan, apakah kita mengetahui sedar latar belakang dan pemimpin yang memutuskan tarikh kemerdekaan? Menurut buku berjudul Abdullah Fahim, Perjuangan Seorang Tokoh Agama dan Kemerdekaan, tulisan saya sendiri menyatakan, tarikh hari kemerdekaan dicadangkan oleh Syeikh Abdullah Fahim Ibrahim.
Beliau adalah seorang tokoh ulama dan pendidik yang banyak menabur jasa bakti terhadap perkembangan Islam dan kemajuan masyarakat dan politik Tanah Melayu sebelum merdeka.

Beliau juga mempunyai kemahiran dalam ilmu syariah, usuluddin, tasawuf, tarekat, tafsir al-Quran, al-Hadis dan al-Falak. Beliau adalah datuk kepada bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam pada itu, Datuk Onn Jaafar yang merupakan pengasas UMNO, pernah menemui Abdullah Fahim di rumahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang dan dalam pertemuanya, Abdullah Fahim mendaftarkan diri sebagai ahli UMNO. Pada ketika itu, ramai alim ulama menyertai dan berpengaruh dalam UMNO. Malah mereka sentiasa ditemui serta menjadi tempat rujukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO dalam menyelesaikan pelbagai permaslahan rakyat.
Sehubungan dengan rundingan kemerdekaan pula, Abdul Rahman yang mengambil alih kepimpinan UMNO daipada Onn Jaafar, berjumpa Abdullah Fahim untuk mendapat nasihat sebelum bertolak ke London bagi mengadakan rundingan kemerdekaan dengan pihak penjajah Inggeris pada awal 1956.
Beberapa hari kembalinya dari London, Abdul Rahman dan beberapa pemimpin UMNO bertemu Abdullah Fahim dan meminta beliau melihat, mengikut firasatnya, menetapkan tarikh yang baik bagi mengisytiharkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Selepas memikir mendalam, Abdullah Fahim memberitahu bahawa tarikh yang terbaik bagi mengisytiharkan kemerdekaan adalah 31 Ogos 1957.
Abdul Rahman yang menerajui UMNO dengan kerjasama MCA dan MIC mengakhiri zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Kerjasama dan permuafakatan semua kaum di negara ini akhirnya menghasilkan pencapaian kemerdekaan tanpa perlu menumpahkan darah di atas bumi bertuah ini.
Selain itu, menurut sumber seorang veteran UMNO daripada Kepala Batas, Abdul Rahman pernah menyatakan bahawa pada peringkat awal ketika UMNO berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Inggeris, penduduk imigran, Cina dan India, di negara ini tidak bersatu dan bermuafakat dengan orang Melayu dalam perjuangan kemerdekaan.
Lantaran itu, kerajaan Inggeris memberi syarat bahawa orang Melayu,Cina dan India hendaklah bersatu terlebih dahulu sebelum pihak Inggeris melayan tuntutan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Pihak Inggeris bimbang sekiranya tuntutan kemerdekaan orang Melayu dilayan maka ada kemungkinan akan berlaku huru-hara akibat percakaran di antara tiga kaum utama dalam negara ketika itu.
BERSATU
Kebanyakan orang Melayu mahukan kemerdekaan Tanah Melayu diberikan kepada bangsa Melayu dengan alasan orang Cina dan India adalah bangsa imigran. Dalam menghadapi keadaan kusut ini, Abdul Rahman dan beberapa pemimpin UMNO bertemu Abdullah Fahim di rumahnya untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan bagi penyelesaian kekusutan tersebut. Dalam pertemuannya, Abdullah Fahim mengangkat tangan kanannya ke atas dan menegakkan jari telunjuk, jari hantu, jari manis dan jari kelingking. Manakala, ibu jarinya dibengkokkan.
Beliau berkata bahawa jari telunjuk ibarat kerajaan Inggeris, jari hantu ibarat bangsa Melayu, jari manis ibarat bangsa Cina dan jari kelingking ibarat bangsa India dan bangsa-bangsa lain di Tanah Melayu.
Beliau memberitahu Abdul Rahman bahawa jalan yang paling baik ialah ketiga-tiga jari ditangannya bersatu. Ini bermakna, ketiga-ketiga kaum utama pada ketika itu dalam negara hendaklah sentiasa bersatu dan bermuafakat untuk mencapai kejayaan.
Sehubungan ini, rakyat pelbagai kaum yang merdeka perlu bukan hanya mengingati peristiwa perisytiharaan kemerdekaan tetapi harus juga menghayati nasihat Abdullah Fahim yang menasihatkan agar orang Islam perlu membaiki perselisihan sesama mereka dan setelah berdamai perpaduan itu diharapkan dapat berkekalan. Inilah satu-satunya senjata yang boleh menguatkan kedudukan orang Islam dan orang Melayu.-UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.











