Pindaan AUKU lahir pemimpin lebih baik

Pindaan AUKU lahir pemimpin lebih baik

PINDAAN AUKU kali ini memberikan lebih hak kepada mahasiswa untuk menguruskan hal ehwal dan perjalanan badan-badan mahasiswa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 18 Mac 2024 lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Universiti Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU). Pindaan AUKU ini dijangka akan dibentangkan kelak di Dewan Negara pada April 2024 untuk kelulusan sebelum diwarta dan digazetkan kelak. AUKU pernah menjalani pindaan pada tahun 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan kali terakhir pada 2018.

Sejak dahulu, aktivis mahasiswa telah mendesak agar AUKU dimansuhkan sepenuhnya dan bukan sahaja dipinda peruntukan berkenaan mahasiswa semata-mata. Antara hujah yang menjadi sandaran adalah bahawa AUKU menyekat kebebasan dalam berpersatuan atau kebebasan partisipasi mahasiswa dalam parti politik.

Ini mengingatkan saya kepada kes mahkamah yang dikenali sebagai UKM4, bila mana mahasiswa universiti awam telah mencabar tindakan tatatertib ke atas mereka yang terbabit dalam kempen pilihan raya kecil. Kes ini akhirnya telah memberikan perubahan yang besar kepada peruntukan AUKU.

Namun, perlu difahami, AUKU bukan sahaja melibatkan hak mahasiswa tetapi ia berkenaan dengan pengurusan universiti dan kolej universiti. Malah akta ini bertujuan untuk mengawal dan menguruskan pendidikan tinggi di Malaysia.

Diakui bahawa sejak awal kewujudan AUKU terdapat peruntukan yang kontroversi terutamanya seksyen 15 AUKU berkenaan hak mahasiswa untuk menyertai parti politik. Walau bagaimanapun, pada tahun 2012, pindaan kepada seksyen 15 dilakukan dan kini mahasiswa universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan termasuk parti politik meskipun mahasiswa masih tidak boleh memegang jawatan dalam parti politik dan terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Kini, RUU AUKU 2023 juga membawa perubahan yang signifikan dan dilihatkan memberikan lebih kuasa autonomi kepada mahasiswa dalam mengelolakan persatuan mahasiswa itu sendiri. Misalnya, seksyen 15A memberikan kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain. Peruntukan ini menambah baik ke arah kemandirian MPP itu sendiri dalam kampus yang mana sebelum ini mahasiswa tidak boleh sama sekali memungut wang.

Khususnya, pindaan RUU AUKU 2023 juga dapat menyentuh kepada peruntukan dalam seksyen 48(4), 48(11), 48(12A) dan seksyen 49(2) Jadual Pertama. Seksyen 48(4) Jadual Pertama menetapkan bahawa tempoh lantikan MPP berdasarkan kalendar akademik berbanding hanya dinyatakan sekadar setahun pada AUKU yang asal.

Begitu juga dalam seksyen 48(11) di mana pindaan memperuntukkan bahawa universiti boleh mewujudkan apa-apa kumpulan wang untuk diuruskan oleh MPP mengikut peraturan yang dikenakan oleh pihak lembaga. Manakala subseksyen 12A pula menyatakan bahawa lembaga mempunyai kuasa untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang.

Selain itu, juga pindaan di seksyen 16B AUKU menyebut tentang pertukaran Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar Universiti daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tertib Pelajar yang ditubuhkan oleh lembaga.

Jawatankuasa ini pula mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang ahli yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor sebagai pengerusi dan pekerja universiti yang dilantik oleh lembaga. Pindaan ini bermakna Naib Canselor tidak lagi mempunyai kuasa mutlak tetapi ia diganti oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar agar wujud jelas ketelusan dalam proses tatatertib terhadap mahasiswa.

Secara keseluruhan, pindaan AUKU kali ini memberikan lebih hak kepada mahasiswa untuk menguruskan hal ehwal dan perjalanan badan-badan mahasiswa. Sememangnya melalui undang-undang ini diharapkan mahasiswa menjadi lebih bersedia untuk berpartisipasi dengan aktif dalam aktivisme mahasiswa.

Pun begitu, satu mekanisme dan ekosistem yang baik perlu diperkenalkan oleh kementerian dan pihak universiti untuk memastikan pengurusan badan persatuan dan kewangan mahasiswa dapat dilakukan dengan lebih tertib lagi agar pendidikan mengenai ketelusan akaun dapat diterapkan sejak awal. Perlu diingat juga, universiti boleh menjadi platform mengasah kepimpinan dan idealisme orang muda namun ia perlu didukung seimbang dengan kesarjanaan dan integriti ilmu dan pengurusan mahasiswa.

Pindaan AUKU ini juga dilihat seiring dengan perubahan perundangan semasa. Lebih-lebih lagi memandangkan umur mengundi juga telah diturunkan kepada 18 tahun. Tidak cukup dengan itu juga, had umur belia juga telah diturunkan kepada umur 30 tahun berkuat kuasa 2026. Maka pindaan yang selari merupakan suatu keperluan bagi menyediakan kepimpinan mahasiswa yang terdidik dan terlatih untuk meneruskan aktivisme mereka dalam masyarakat kelak.

Persepsi mahasiswa lesu dan tidak cakna kepada isu kemasyarakatan dan nasional mungkin boleh dikurangkan dengan pemberian autonomi yang lebih besar kepada badan-badan mahasiswa.

Namun apapun hujah bagi aktivisme mahasiswa, matlamat utama ke menara gading iaitu mencari ilmu sama sekali tidak boleh diprejudiskan dengan apa alasan sekalipun. Keutamaan untuk menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik dan diimbangi dengan kegiatan aktif dalam badan-badan mahasiswa akan melahirkan pemimpin baharu yang lebih baik.

Pindaan demi pindaan terhadap AUKU telah dilakukan oleh kerajaan agar menyediakan ruang untuk menambah baik kebebasan mahasiswa. Tidak boleh dinafikan kebebasan yang diberikan melalui RUU AUKU 2023 adalah lebih baik berbanding dahulu. Kini hanya tinggal untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa demi kelangsungan watan tercinta. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN