PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sudah melabuhkan tirainya.
Sesungguhnya, harapan sepanjang peperiksaan berlangsung selama hampir dua bulan ini adalah calon semestinya ingin lulus dalam peperiksaan dan mencapai keputusan cemerlang.
Selepas ini, banyak perancangan bermanfaat yang boleh dilakukan oleh para calon SPM 2023 termasuk mencari pengalaman bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan.
Ada pilihan lain yang popular untuk lepasan sekolah ini iaitu sekadar duduk goyang kaki di rumah. Makan, bangun, tidur dan ulangi semula. Membosankan bukan?
Selain itu, ada yang bijak dengan berfikir di luar kotak untuk mengasah kemahiran diri dengan mengikuti kelas komputer, mengikuti kelas memandu, kelas memasak, muzik dan banyak lagi kelas-kelas kemahiran.
Bagi yang memilih untuk bekerja, bekerjalah, berbuatlah apa-apa pun asalkan halal dan sepadan dengan kudrat yang diperlukan.
Mereka boleh sahaja menceburi sektor perkilangan, perkhidmatan, malah, boleh memulakan perniagaan sendiri. Menjual burger mungkin. Apa yang penting, berusaha untuk mengumpul wang kocek sendiri dan perkara yang paling mustahak adalah memiliki azam serta kemahuan yang tinggi.
Saya sendiri berpengalaman bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sementara menunggu keputusan SPM pada 20, 30 tahun lalu. Seingat saya, pengalaman itu dikutip selama tiga bulan.
Banyak rencah kehidupan yang saya peroleh sepanjang melayani pelanggan.
Pengalaman paling berharga adalah berdepan dengan pelanggan yang sangat cerewet serta menguji kesungguhan, kesabaran dan kekuatan fizikal untuk berdiri kira-kira lapan sehingga 10 jam sehari.
Seperkara lagi yang saya pelajari dalam sektor peruncitan ialah pelanggan adalah sentiasa betul.
Bercakap mengenai peperiksaan, minggu ini saya ingin berkongsi kisah pelik tapi benar dari Lahore, India.
Seorang pemuda berjaya ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis demi membantu adiknya menipu dalam Peperiksaan Sijil Menengah Tinggi (HSC) yang diadakan di sebuah sekolah di bandar Patur dua minggu lalu.
Anupam Madan Khandare, 24, memasuki Sekolah Tinggi Shahbabu Urdu dengan memakai seragam lengkap pegawai polis sebelum menyusup masuk ke pusat peperiksaan dengan alasan kononnya diarahkan menyelia pelajar.
Khandare kemudian merancang memberi adiknya maklumat dan nota diperlukan untuk lulus dalam peperiksaan tersebut yang diadakan pada 21 Februari lalu.
Namun, tindakannya berjaya dihidu seorang inspektor polis sebenar dan pasukannya yang tiba untuk menjaga keselamatan semasa peperiksaan penting itu berlangsung.
Pengajaran yang boleh kita peroleh dari kisah ini adalah jangan sesekali menipu apatah lagi melakukan jenayah penyamaran. Matlamat tidak menghalalkan cara. Bagaimanapun, saya amat kagum dengan kesanggupan seorang abang untuk memastikan adiknya lulus dalam peperiksaan walaupun dengan cara menipu. Inilah yang dinamakan pengorbanan. – UTUSAN
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










