SERONOKKAH membuli orang lain? Selain membangkitkan kemarahan, menyakitkan mangsa sama ada secara fizikal atau perasaan, buli ini seolah-olah menjadi hal biasa bagi sesetengah orang untuk mendapatkan kepuasan dan keseronokan diri.
Bagi saya, orang yang suka membuli sememangnya mempunyai masalah mental. Malah, pembuli juga sukar dikenali kerana tidak mempunyai perwatakan yang tertentu.
Kadang kala, imej pembuli mungkin seperti seseorang yang sopan santun, alim dan berpendidikan tinggi.
Apa yang membezakannya mungkin dari segi tingkah lakunya. Dalam dunia siber, jari-jemari lah anggota penting untuk membuli orang lain melalui papan kekunci.
Berselindung di sebalik akaun media sosial palsu, pembuli-pembuli ini dengan sewenang-wenangnya akan menulis apa sahaja ingin diperkatakan seperti yang terzahir dari hati sanubari mereka. Buruk kan perangai?
Pembuli ini suka melihat orang lain berada dalam keadaan kesakitan, trauma dan hilang keyakinan diri.
Bahkan, terdapat kes terpencil iaitu mangsa boleh menjadi hilang rasional sehingga sanggup mencabut nyawa sendiri. Buli ini memang meninggalkan impak yang besar.
Gejala buli yang berlaku dalam kehidupan manusia hari ini jelas sekali mengalami proses evolusi.
Jika suatu masa dahulu, buli dikaitkan dengan penderaan fizikal dan mental secara bersemuka tetapi hari ini, buli turut berlaku secara maya.
Berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia merekodkan kes tertinggi buli siber dalam kalangan belia dan remaja.
Buli siber sudah tentu berlaku melalui penggunaan teknologi komunikasi seperti teks, emel, laman web sosial dan aplikasi sembang.
Ia perilaku membimbangkan berbanding buli tradisional iaitu secara serangan yang boleh dilakukan secara berpanjangan dan berulang kali.
Dalam kalangan belia dan remaja, mereka cenderung terbabit dalam buli siber untuk mendapatkan kuasa atau populariti dalam kalangan rakan sebaya.
Minggu ini, saya ingin berkongsi kisah mengenai Duchess of Sussex, Meghan Markle yang mengkritik sikap toksik yang tidak berkesudahan dalam media sosial.
Malah, beliau turut mendedahkan menjadi mangsa buli dan penderaan siber semasa mengandungkan dua anaknya, Archie dan Lilibet.
Meghan meluahkan perkara itu ketika menjadi penceramah utama bersama senarai panel berprofil tinggi dalam forum khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada festival tahunan SXSW di Austin, Texas.
Lapor BBC, suaminya, Putera Harry turut berada di barisan hadapan penonton dalam acara tersebut.
Beliau mengakui kini memilih untuk menjauhkan diri daripada melihat komen-komen sedemikian demi menjaga kesejahteraan dan kesihatan mentalnya.
Meghan menegaskan, orang ramai kini semakin melupakan nilai-nilai kemanusiaan ketika memberi komen dalam media sosial.
Meghan turut mengecam sikap menjengkelkan yang banyak dipamerkan golongan wanita sendiri dalam media sosial yang menyerang dan mengaibkan wanita lain.
Jadi, kesimpulannya, buli siber ini sangatlah hodoh dan perlu ditangani segera dengan cara meningkatkan kesedaran masyarakat.
Cuba pembuli meletakkan diri mereka sendiri di kasut mangsa, sudah tentu mereka akan insaf.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










