Cabaran besar Fahmi, Kementerian Komunikasi

Cabaran besar Fahmi, Kementerian Komunikasi

CABARAN besar kepada Fahmi Fadzill dan Kementerian Komunikasi adalah memantau, membuat veri kasi serta mengeluarkan pena an ke atas mana-mana berita yang palsu sebelum ia merebak. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FAHMI Fadzil selaku Menteri Komunikasi adalah antara menteri yang paling mendapat perhatian dalam Kerajaan Perpaduan. Selaku jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan, di bahu beliau terpikul tugas berat sebagai wakil bagi kerajaan terutama ketika berdepan dengan pihak media.

Antaranya ialah menjelaskan segala dasar kerajaan selain menjadi rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan kepastian terhadap isu-isu yang timbul atau sengaja ditimbulkan bagi tujuan pengesahan.

Dengan perkembangan pesat teknologi informasi (IT), termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI), maka banyak sekali berita-berita sensasi yang sesetengahnya sengaja direka atau disebarkan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Semua ini memberikan cabaran yang besar kepada Fahmi dan pasukan beliau di Kementerian Komunikasi di mana tindakan pantas untuk memantau, membuat verifikasi serta mengeluarkan penafian ke atas mana-mana berita yang palsu sebelum ia merebak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara langkah pertama yang diambil oleh beliau selepas memegang jawatan ini ialah mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis di media sosial. Bermula dari pertemuan dengan wakil aplikasi TikTok Malaysia pada 5 Disember 2022, paling mutakhir beliau bertemu pengasas Telegram, Pavel Durov di Dubai pada 2 Mac lalu.

Hasil daripada pertemuan sebegini, penyedia perkhidmatan media sosial ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memperkemas aspek kawal selia platform berkenaan. Ini bertujuan untuk membendung dan membanteras penyebaran maklumat serta kandungan sedemikian, termasuk untuk membendung dan membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian yang telah memakan ramai mangsa.

Beliau turut melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang dibangunkan bersama pihak kerajaan, wakil-wakil media serta ahli-ahli akademik sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini oleh rakyat, tidak kurang saatnya beliau dihadapkan dengan tuduhan mahu mengawal kebebasan media.

Untuk itu, beliau berulang kali memberi jaminan bahawa kebebasan media masih akan diberi keutamaan dan akan dimakmurkan lagi, buktinya tiada seorang pun wartawan pernah ditangkap atau diheret ke mahkamah oleh kerajaan ini. Pada masa yang sama beliau juga menegaskan bahawa kebebasan media itu haruslah didasarkan kepada undang-undang sedia ada serta tidak boleh sehingga sampai ke tahap menyebarkan fitnah dan mengeluarkan tohmahan tidak berasas.

Banyak perkara besar yang telah atau sedang dirangka untuk dilaksanakan oleh Fahmi. Antaranya ialah untuk mengkaji semula dan menambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang telah diperolehi persetujuan dasarnya oleh Kabinet pada 8 Mac lalu. Selainnya, perkara besar lain ialah untuk memperkenalkan rang undang-undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981.

Antara perkara besar lain yang telah beliau lakukan ialah mempercepatkan perluasan capaian serta meningkatkan kelajuan Internet di seluruh negara termasuklah melalui peningkatan kapasiti rangkaian telekomunikasi serta keupayaan infrastruktur sedia ada dan pembinaan menara telekomunikasi yang baharu. Kerajaan telah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet satelit termasuk Starlink ke arah mencapai 100 peratus akses Internet di kawasan berpenduduk.

Keseriusan beliau menangani isu ini terbukti apabila beliau mengarahkan SKMM membuka kaunter aduan di Parlimen pada 6 dan 7 Mac 2023 untuk semua ahli Parlimen membangkitkan masalah berkaitan liputan telefon dan sambungan internet di kawasan masing-masing. Pemasangan peranti Starlink di Kampung Langsat, Ranau, dan di Keningau yang memberikan akses internet berkelajuan tinggi lebih 200 Mbps contohnya adalah berita besar kepada penduduk sekitar.

Dalam usaha untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia, Fahmi juga melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah. Hasilnya, keluarlah Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120 bagi golongan B40 serta Pakej 5G RAHMAH pada harga telefon pintar serendah RM240 bagi seluruh golongan rakyat.

Hasil kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, penjawat awam diberi ruang menikmati rebat RM10 sebulan bagi langganan mana-mana pakej postpaid sedia ada masing-masing menerusi Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam. Bagi pemandu dan penunggang p-hailing pula mereka boleh menikmati perkhidmatan Internet pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB melalui pakej p-hailing Rahmah.

Isu kebajikan pengamal media dan pekerja dalam bidang perfileman juga menjadi keutamaan Fahmi. Bagi pengamal media, satu program tanggungjawab sosial (CSR) iaitu Tabung Kasih@HAWANA beliau lancarkan untuk menyantuni bekas pengamal media dan wartawan veteran yang uzur serta berdepan kesukaran hidup. Inisiatif ini yang diperkenal melalui Bernama yang akan menjejaki rakan-rakan wartawan yang memerlukan bantuan sewajarnya.

Kebajikan penggiat industri filem juga tidak dilupakan di mana beliau telah menubuhkan satu tabung bernama Tabung Komuniti Filem untuk memelihara kesejahteraan dan kebajikan mereka dan antara objektif tabung itu adalah untuk mengendalikan program komuniti filem, ziarah anak seni dan kempen kesedaran memajukan industri perfileman Malaysia, selain mengagihkan bantuan atau memberi sumbangan dan derma kepada komuniti filem yang memerlukan.

Tugas utama Kementerian Komunikasi juga sedang dimantapkan melalui suaimanfaat, penyelarasan dan pengukuhan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang dipindahkan kembali dari Jabatan Perdana Menteri (JPM). Begitu juga dengan penjenamaan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dengan penambahan bilangan serta peningkatan peranannya, khasnya dalam menyebarkan maklumat mengenai program dan inisiatif kerajaan.

Kadangkala usaha-usaha besar ini tidak kelihatan kerana dilindungi oleh perkara-perkara titik-bengik lain. Begitupun, semoga cabaran kecil ini tidak merencatkan semangat reformasi Fahmi. – UTUSAN

DR. Nik Mawardi Mohamed adalah penganalisis sosio-politik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×