Berilah nyawa kepada sungai kita - Utusan Malaysia

Berilah nyawa kepada sungai kita

Faktor aktiviti manusia secara berterusan menyebabkan sungai menjadi hampir kering. – gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sungai adalah nadi kehidupan. Air hujan (kerpasan) merupakan punca utama air permukaan dan air bawah tanah di Malaysia.

Apabila hujan, air hujan ini diserap oleh tanah dan lebihannya akan menjadi air larian permukaan. Pergerakan air adalah mengikut graviti dan membentuk pelbagai ekosistem bagi sungai, air terjun, kolam, paya air tawar dan banyak lagi.

Apabila musim hujan berakhir, aliran air di sungai adalah disokong oleh air bawah tanah yang dikenali sebagai aliran dasar (base flow).

Disebabkan penebangan hutan secara berterusan untuk pembangunan, aliran dasar sungai juga mula berkurangan dan di sesetengah sungai utama, kita dapat lihat sungai yang hampir kering semasa musim panas.

Di Malaysia, kita mempunyai 189 lembangan sungai utama iaitu 74 di Semenanjung Malaysia, 75 di Sabah dan 40 di Sarawak. Lembangan sungai adalah kawasan tanah yang dialirkan oleh sungai dan anak sungainya.

Pembangunan yang tidak lestari akan memberikan impak kepada alam sekitar. Menurut Jabatan Perangkaan, pada 2020, urbanisasi di Malaysia adalah 75.1 peratus .

Perubahan ini juga memberikan impak kepada kepadatan penduduk di bandar-bandar utama yang meningkat bersama-sama dengan kegiatan ekonomi. Perubahan sebegini akan mula meningkatkan beban pencemaran kepada sungai-sungai kita kerana sungai adalah sebahagian daripada sistem perparitan kita.

Situasi ini bertambah buruk jika terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan air sisa yang tidak dirawat atau sisa terjadual ke dalam sungai atau kawasan berhampiran sungai.

Punca-punca pencemaran pula dibahagi kepada punca tetap (point source) dan punca tidak tetap (non-point source). Punca tetap bagi beban pencemaran boleh dikenal pasti dan mempunyai lokasi dan tahap tertentu bagi air sisa yang dilepaskan.

Punca tidak tetap pula adalah sukar dikenal pasti atau mempunyai tahap-tahap tertentu. Ia boleh berubah dan bergerak jauh daripada punca pencemaran utama.

Di Malaysia, kajian dan maklumat punca tidak tetap masih tidak banyak dijalankan dan kekurangan maklumat.

Terdapat juga bahan-bahan pencemar yang berbahaya dan tidak mempunyai bau atau warna serta larut dalam air dilepaskan ke sungai-sungai secara haram. Bahan-bahan pencemar yang masuk ke dalam sungai akhirnya akan sampai ke laut.

Bahan-bahan pencemar ini boleh memasuki rantai makanan kita dan boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia.

Penyakit Minamata (minamata disease) di Jepun adalah salah satu rujukan utama dunia bagaimana bahan pencemar merkuri (raksa) memberikan kesan kesihatan kepada manusia melalui makanan.

Salah satu langkah untuk memberi nyawa kepada sungai kita adalah melindungi kawasan tadahan air.

Ini adalah kawasan yang kita boleh mengumpul air mentah daripada hujan. Kehilangan litupan hutan mengurangkan kesediawujudan air mentah dengan kualiti yang baik.

Risiko bekalan air mentah bermula di sini dan akan menggugat jaminan bekalan air terawat kita.
Keupayaan tampung (carrying capacity) sungai-sungai kita adalah terhad. Disebabkan peningkatan populasi penduduk dan ekonomi, beban pencemaran (pollution loading) ke atas sungai-sungai kita juga telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu.

Salah satu kaedah yang patut kita perhalusi adalah untuk membangunkan piawaian pelepasan air sisa berdasarkan beban pencemaran.

Melalui kaedah ini, kita akan tetapkan had bahan pencemar secara mutlak yang boleh memasuki sesuatu lembangan sungai dan seterusnya mengehadkan kuantiti bahan-bahan pencemar yang boleh dilepaskan ke sungai oleh setiap operasi yang melepaskan air sisa.

Bagi tujuan ini juga, punca-punca pencemaran tidak tetap akan diambil kira dalam penetapan had mutlak ini.

Melalui pelaksanaan berkala, kita dapat meningkatkan kualiti air mentah dan menjadikan lebih banyak sungai sedia wujud sebagai sumber air mentah bagi tujuan air minuman dan sungai akan kembali ‘bernyawa’.

Jika kita dapat melaksanakan ia dengan berjaya, pertengahan sungai (mistream) dan hiliran sungai (downstream) boleh dijadikan sumber air mentah bagi tujuan perawatan air minuman, aktiviti pertanian dan tujuan riadah.

Keputusan positif dapat dilihat di antara lima hingga 20 tahun bergantung kepada tahap pencemaran dan saiz lembangan sungai.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah air mentah yang diekstrak bagi tujuan perawatan air minuman di Semenanjung Malaysia dan Labuan adalah 16,218 juta liter sehari (JLH) bagi tahun 2022.

Daripada nilai ini, 81.1 peratus adalah terus daripada sumber sungai dan 17 peratus adalah daripada empangan (sebahagian daripada lembangan sungai). Ini menunjukkan kepentingan sungai untuk jaminan bekalan air terawat di Malaysia.

Bagi industri perkhidmatan air pula, Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) bermula pada 2004 dan penguat kuasaan proses penstrukturan semula dimulakan pada 1 Januari 2008.

Bagi operasi pembentungan berpusat, kerajaan juga merancang untuk penambahbaikan infrastruktur dan memperbaiki pencapaian ke arah mesra alam sekitar melalui PSIPAN.

Di bawah PSIPAN, Indah Water Konsortium akan dipecahkan kepada entiti berasaskan negeri dan bergabung dengan operator air peringkat negeri untuk meningkatkan kelestarian sektor perkhidmatan air secara holistik. Proses ini sepatutnya dilengkapkan menjelang 2015.

Setelah hampir satu dekad, perancangan kerajaan ini masih tertangguh dan kami menggesa kerajaan-kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan melengkapkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air dengan segera bagi meningkatkan jaminan bekalan air serta kelestarian alam sekitar.

Adakah kita bersedia untuk memberikan nyawa kepada sungai-sungai yang menjadi nadi kehidupan?

Penulis ialah Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Centre for Water and Energy Sustainability (CWES).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN