PERISTIWA sejarah membabitkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu sudah mencecah lebih 80 tahun.
Angka tersebut seandai diterjemah kepada umur manusia, diibaratkan sebagai sudah lama, tua dan dipandang sepi atau dalam erti kata lain semakin dilupakan.
Namun, sebagai warganegara Malaysia, kita wajib memahami dan mengetahui tentang hal-hal berkaitan sejarah negara.
Ini kerana sejarah menjadi cermin pandang belakang untuk kita bergerak ke hadapan.
Dalam mengingati sejarah, pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu antara peristiwa penting untuk tatapan generasi muda pada masa kini.
Bagi mereka yang masih tidak tahu, pada 31 Januari 1942, Tentera British telah berundur ke Singapura dan Tanah Melayu jatuh ke ‘tangan’ Tentera Jepun.
Walaupun sudah 82 tahun peristiwa sejarah ini berlalu dan kian dilupakan, kesan-kesan sejarah peperangan tersebut masih boleh dijejaki di Johor terutamanya di Muar dan Batu Pahat.
Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkiflee berkata, antara tapak sejarah yang terdapat di Johor termasuk tapak feri lama di Muar; tapak serangan hendap tentera Australia terhadap kereta kebal Jepun di Bakri dan tapak pembunuhan beramai-ramai tentera Australia dan India bermula dari Parit Sulong sehingga ke Pantai Punggur.
“Kalau dikaji, jeti lama Muar yang masih ada sisa tinggalan menjadi saksi kepada pertempuran antara tentera British dan Jepun atau lebih mudah dikenali sebagai Battle of Johor pada 15 Januari 1942.
“Pertempuran pada masa itu semakin sengit di Bakri apabila sembilan buah kereta kebal Jepun berjaya dimusnahkan tentera Australia,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kata Nor Hisham, Johor mempunyai beberapa kesan perang yang kurang ditonjolkan untuk tatapan generasi pada masa kini malah banyak yang semakin terbiar.
“Antaranya ialah tapak bekas jeti Muar, padang Batu Pahat, Lapangan Terbang Batu Pahat dan Pantai Punggur.
“Kawasan-kawasan ni kurang diketahui umum. Sebagai contoh di Pantai Punggur.
“Di sinilah berlakunya ‘Mini Dunkirk Malaya’. Saki- baki tentera British yang berundur telah dikepung oleh tentera Jepun dan terpaksa diselamatkan Tentera Laut Diraja British menerusi pemindahan ala Dunkirk pada 28 Januari sehingga 1 Februari 1942,” jelasnya.
Menurut Nor Hisham, kawasan-kawasan berkenaan kurang dikenali berbanding Parit Sulong yang mempunyai galeri, berek lama dan memorial.
Dalam pada itu, kata Nor Hisham lagi, negeri Johor turut dipenuhi oleh tentera British dan Australia satu ketika dahulu.
“Kalau ikut, Johor ialah satu kawasan penting dan menjadi kawasan zon penampan pertahanan hadapan jika diserang dari arah utara tanah Melayu.
Malah, kata Nor Hisham, terdapat penemuan baharu yang dijumpai di kawasan sekitar, antaranya ialah batu yang digunakan untuk menghadang kereta kebal.
“ Kami menjumpai empat biji silinder konkrit yang digunakan sebagai penghadang kereta kebal ketika perang dahulu di Jalan Bakri-Parit Sulong,” jelasnya.
Awal 1941
Ketibaan tentera-tentera Australia daripada Divisyen ke-8 yang diketuai oleh Mejar Jeneral Gordon Bennett di Tanah Melayu bagi memperkukuhkan pertahanan di Johor mengikut perancangan strategi tentera British pada ketika itu.
Johor menjadi pertahanan hadapan bagi Singapura, kubu terkuat British di Timur Jauh dan dikenali sebagai ‘Johor Line’

14 Januari 1942
Serangan hendap di Jambatan Gemencheh menjadi titik mula pertempuran bagi Johor.
15 Januari 1942
Pertempuran Muar:
Tentera Jepun menyerang tentera British daripada Briged India ke-45 di utara Sungai Muar.
16 Januari 1942
Tentera Jepun menyeberangi Sungai Muar
17 Januari 1942
Tentera British, Australia dan India berundur daripada Muar menerusi jalan Bakri-Parit Sulong.
Tentera Jepun mengepung Batu Pahat dan mara ke Bukit Pelandok.
18 Januari 1942
Tentera Australia berjaya memusnahkan sembilan buah kereta kebal Jepun di Bakri.
20-22 Januari 1942
Tentera Australia berundur dan terkepung di Parit Sulong.
Pertempuran hebat berlaku dan berakhir dengan pembunuhan kejam terhadap 150 orang tawanan perang Australia dan India yang cedera oleh tentera Jepun. Saki-baki askar Australia berjaya berundur ke Yong Peng.
25 Januari 1942
Tentera British berundur meninggalkan pertahanan di Batu Pahat.
Dalam pertempuran di Batu Pahat, Batalion Kedua Askar Melayu berjuang mempertahankan Batu Pahat. Lt. Ibrahim Alla Ditta contohnya mempamerkan keberanian apabila berjaya menyusup ke kawasan musuh dan membawa balik meriam yang tertinggal. Beliau dikurniakan pingat Military Cross.
27 Januari 1942
Pasukan tentera British yang berundur dari Batu Pahat terkepung di Ponggor dan terpaksa diselamatkan menerusi pemindahan ala ‘Mini Dunkrik’ ke Singapura oleh kapal-kapal perang British.
Dalam sejarah Dunkrik Malaya ini, terdapat peranan yang dimainkan oleh Askar Melayu apabila Lt. Muda Mohd Ali bersama Mejar Laman mengayuh sampan semalaman untuk memohon bantuan
di Pontian.
31 Januari 1942
Tentera British berundur sepenuhnya ke Singapura dan Tanah Melayu jatuh ke tangan tentera Jepun. Pertempuran Johor tamat. – UTUSAN











