BARU-BARU ini seorang tauke tempat mencuci kereta bersembang dengan saya, katanya, ramai majikan lebih suka menggaji pekerja asing bukan sebab boleh memberi upah yang rendah.
Katanya, majikan lebih gemar mengambil pekerja asing kerana tak berisiko untuk berhenti mengejut, tak banyak cerita dan ‘drama’.
Mereka sakit demam pun datang kerja. Sebab itu, majikan lebih memilih menggaji rakyat bukan warga negara ini.
“Orang kita kalau yang mula-mula bekerja, kadang-kadang tak sampai seminggu. Cabut. Hilang begitu saja.
“Sebab itu, nak mudah tak pening kepala, cari pekerja asing. Mereka akan datang kerja walaupun diminta bekerja pada public holiday,” katanya.
Tambahnya, rakyat tempatan bukan mahu bekerja sangat sebagai pencuci kereta yang membuat kerja-kerja kotor walaupun tiada kelulusan akademik.
“Lebih baik mereka jadi penghantar makanan atau bawa penumpang. Masa fleksible. Kerja pun tak kotor,” katanya.
Sebelum ini juga saya ada mendengar rintihan seorang kawan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan di Perak. Katanya, bukan tak mahu menggaji rakyat tempatan tetapi sikap suka ponteng kerja dengan macam-macam alasan selain kerap cuti sakit membuatkan dia tidak mahu menanggung risiko.
“Hari Isnin saja ramai MC dan yang tak tahan, mereka ini suka mengular masa kerja. Hilang masa waktu bekerja, dan macam-macam alasan bila kerja tak siap,” katanya.
Kalau pasal gaji pula, tambahnya, rakyat tempatan sama ada dibayar gaji rendah atau tinggi, suka bertukar-tukar tempat kerja, lebih-lebih lagi yang masih muda.
“Kita beri gaji tinggi pun dia lari, apatah lagi rendah,” ceritanya.
Persoalannya, benarkah rakyat kita memilih kerja sedangkan orang kita sering menyalahkan kerajaan dan majikan kerana limpahan pekerja asing di negara ini?
Adakah orang kita memilih kerja? Tidak sanggup bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar)?
Atau majikan menggunakan alasan sikap rakyat tempatan menyebabkan mereka mengutamakan pekerja asing sedangkan ia adalah segalanya tentang mahu memberi upah rendah?
Jika kita meneliti iklan-iklan mencari pekerjaan di media sosial, banyak peluang pekerjaan terbuka untuk pekerja asing dengan gaji RM1,800 ke atas.
Sehingga 31 Disember tahun lepas, Malaysia merekodkan seramai lebih 2.38 juta pekerja asing berdaftar.
Jumlah pekerja asing yang paling ramai adalah dari Bangladesh iaitu seramai 739,406 orang atau mewakili 36.28 peratus daripada keseluruhan pekerja asing yang berdaftar.
Ia diikuti Indonesia iaitu 480,047 orang mewakili 23. 55 peratus; Nepal (358,895 atau mewakili 17. 61 peratus); Myanmar (156,990 mewakili 7.70 peratus ) dan India (116 175 mewakili 5.7 peratus).
Di Amerika Syarikat, limpahan pekerja asing bukan menjadi isu besar. Ia adalah lumrah bagi negara-negara maju. Mereka juga memadankan kemasukan pekerja asing dengan permintaan dan penawaran.
Tetapi di negara yang kecil ini yang masih bergelut tentang gaji rendah dan kos sara hidup tinggi, jika tiada kawalan tentunya akan berlaku persaingan atau perebutan pekerjaan antara pekerja asing dan rakyat tempatan. Umpamanya, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
Pada masa sama, sikap pekerja terhadap kerjanya juga perlu berubah. Mengular contohnya, ia berlaku di mana-mana. Tidak terfikirkah ramai yang layak menggantikan dan duduk di tempat itu. Ini yang dikatakan, bila tak ada kerja, sibuk cari kerja. Dah dapat kerja, main-main pula.










