Mana sempadan tafsiran perintah agama Islam?

Mana sempadan tafsiran perintah agama Islam?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIM berperanan untuk mentafsirkan undang-undang dan melihatnya dilaksanakan. Meskipun ahli akademik mahupun sarjana perundangan boleh membuat tafsiran, namun ia tidak mengikat mahkamah. Oleh itu, keputusan melalui sesuatu penghakiman kes adalah penting. Hal ini disebabkan mahkamah merupakan sandaran paling akhir yang boleh diharapkan untuk memberikan pengertian sebenar kepada segala peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks di Malaysia, mahkamah tertinggi pada peringkat Persekutuan yang mempunyai kata putus muktamad berkenaan apa-apa tafsiran perundangan. Mahkamah Persekutuan dalam kes Latifah Mat Zin (2007) menegaskan berkenaan kuasa tafsiran: “Interpretation of the Federal Constitution is a matter for this court, not the syariah court.”

Dalam penghakiman terakhir bagi karier bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad melalui kes Sulaiman Takrib (2009), Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa kesalahan menghina atau mengingkari pihak berkuasa dan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak adalah bertentangan dengan ajaran Islam selagi tiada kesalahan serupa dalam undang-undang Persekutuan dan hanya merangkumi orang Muslim dan berhubungan dengan Islam sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kes berkenaan, mahkamah menerima pakai tafsiran perintah agama Islam yang dikemukakan oleh dua cendekiawan Muslim, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Profesor Dr. Mohd. Kamal Hassan. Kesimpulannya, ‘precepts of Islam’ bermaksud ajaran atau perintah agama Islam sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah, tidak hanya terhad kepada rukun Islam serta meliputi akidah, syariah dan akhlak.

Tafsiran ini disokong oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (2012) berkaitan keperluan tauliah untuk memastikan hanya orang yang layak mengajar agama dibenarkan berbuat demikian. Keperluan tauliah ini bertujuan membendung penyebaran ajaran sesat demi melindungi integriti akidah, syariah dan akhlak yang membentuk ajaran Islam.

Definisi ini diteruskan lagi melalui kes Zi Publications Sdn. Bhd. (2016) bahawa kesalahan penerbitan keagamaan bertentangan dengan Islam merupakan kesalahan terhadap ajaran Islam yang tidak didapati dalam Senarai Persekutuan. Oleh yang demikian, Mahkamah syariah adalah berbidang kuasa.

Corak pendekatan mahkamah beralih arah dalam kes Juzaili Mohd Khamis (2015) pada peringkat rayuan. Mahkamah jelas tidak memberikan keutamaan pada tafsiran perintah agama Islam (dalam kes ini peruntukan yang dipertikaikan ialah seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tentang lelaki berlagak seperti perempuan) tetapi mengangkat isu hak kebebasan asasi sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 5(1), 8(1), 8(2), 9(2) dan 10(1)(a).

Mahkamah Persekutuan tidak menafikan tafsiran perintah agama Islam yang luas, namun asalkan ia tidak berada dalam Senarai Persekutuan yang memperuntukkan peruntukan serupa melalui pendekatan ‘pith and substance’ ataupun intipati kesalahan yang diambil kira.

Sementara kes kontroversi Iki Putra Mubarrak (2021), Mahkamah Persekutuan mengakui bahawa frasa perintah agama Islam adalah sangat luas dan tidak terhad kepada lima rukun Islam sahaja. Ia merangkumi setiap peraturan, tingkah laku, prinsip, perintah dan pengajaran Islam yang ditetapkan dalam syariah, termasuk undang-undang jenayah Islam.

BPN
Isu utama yang ditekankan ialah kompetensi Badan Perundangan Negeri (BPN) untuk menggubal undang-undang berkaitan kesalahan jenayah syariah. BPN boleh menggubal undang-undang berkaitan kesalahan terhadap perintah agama Islam tetapi tidak boleh melangkaui batas yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan, dalam hal ini Senarai Persekutuan.

Klausa Pengecualian yang terdapat dalam Butiran I, Senarai II Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berbunyi: “…pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…”

Di bawah Butiran 4(h) Senarai Persekutuan, Parlimen berbidang kuasa menggubal undang-undang jenayah, termasuk pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan. Butiran 4(k) pula membolehkan Parlimen menentukan hukum syarak dan undang-undang diri dalam menggubal akta atau undang-undang Persekutuan.

Harus diingat, Perlembagaan merupakan dokumen perundangan tertinggi Persekutuan. Hal ini bermakna, mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan undang-undang persekutuan adalah tidak sah setakat yang bercanggah itu.

Dalam kes terkini Nik Elin Zurina (2024), Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 8-1 membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 kerana BPN telah melangkaui batasan ditetapkan Perlembagaan untuk menggubal atau membuat peruntukan-peruntukan tersebut.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat juga dalam penghakimannya telah menegaskan bahawa isu utama dalam kes ini ialah bidang kuasa BPN, bukannya tentang kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

CADANGAN
Cadangan beberapa pihak supaya klausa pengecualian dalam Senarai Negeri di atas dipinda atau dibuang supaya negeri mempunyai kuasa untuk membicarakan kes berkaitan perintah agama Islam.

Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan misalnya, merupakan punca kuasa bagi Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan negeri. Dalam hal ini, undang-undang jenayah syariah boleh diperkasa dan dipertahankan tanpa cuba mengesampingkan Perlembagaan Persekutuan.

Perluasan bidang kuasa kepada negeri ini juga termasuklah berkenaan kesalahan terhadap perintah agama Islam. Malahan, ia boleh menjangkau lebih daripada itu dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau Akta 355 berkenaan bidang kuasa mahkamah syariah juga sedang diteliti oleh pihak kerajaan dan akan dibawa dalam sidang Parlimen apabila siap kelak.

Memetik penghakiman kes popular Ramah lwn. Laton (1927), Mahkamah Rayuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi undang-undang tempatan dan undang-undang negara. Justeru, ia turut menjunjung Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan, dengan agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman dan damai.-UTUSAN

DR. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah ialah Pembantu Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini