Implikasi Nik Elin, apa yang kita patut tahu

Implikasi Nik Elin, apa yang kita patut tahu

DALAM kes Nik Elin Zurina jelas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh menggubal undang-undang yang jatuh dalam bidang kuasa Persekutuan dan tidak boleh berlaku pertindihan dalam kedua-dua undang-undang tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SISTEM kehakiman di Malaysia tidak bersifat dualisme. Sistem tersebut sebenarnya mencerminkan federalisme yang membataskan bidang kuasa mahkamah awam daripada undang-undang diri bagi orang Islam disebabkan sejarah perundangan tanah air. Dalam keadaan itu, Mahkamah Persekutuan berkuasa untuk menyemak keputusan mahkamah awam (jenayah dan sivil) dan mahkamah syariah agar tidak melampaui bidang kuasa masing-masing.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersetuju bahawa undang-undang jenayah yang berada dalam Kanun Keseksaan adalah undang-undang jenayah Islam yang dihukum takzir seperti juga kesalahan jenayah syariah yang kini terletak dalam undang-undang diri bagi orang Islam yang umumnya dikenali sebagai enakmen kesalahan jenayah syariah.

Perkara 7, 8(2), 75 dan 121(1A) Perlembagaan menghalang sistem perundangan dan kehakiman yang bersifat duality. Masyarakat perlu faham implikasi jika suatu kesalahan itu diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Keputusan mahkamah tersebut menunjukkan tiada beza dari sudut amalan perundangan Islam yang mana suatu kesalahan itu berada. Buat masa ini, sama ada digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), undang-undang itu masih bersifat takzir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pertimbangan tersebut, implikasi penetapan suatu kesalahan jenayah syariah di bawah undang-undang awam dan undang-undang diri bagi orang Islam itu yang perlu difahami oleh ahli politik dan rakyat agar isu sebenar tidak dipolemikkan. Sifat terburu-buru tanpa usul periksa akhirnya lebih merugikan orang Islam malah menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pemerhatian yang dibuat oleh Pengasas Jurisprudens Watan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain amat berasas yang perlu dibuat dalam konteks penetapan suatu kesalahan, iaitu ialah seperti yang berikut:

– Undang-undang awam seperti jenayah bunuh, curi, rogol, rompak, liwat dan judi tanpa lesen yang sudah termaktub dalam kanun keseksaan boleh terpakai terhadap orang Islam dan bukan orang Islam termasuklah saksi kes.

– Undang-undang diri bagi orang Islam hanya terpakai kepada orang Islam kerana kesalahan itu terletak dalam bidang kuasa Butiran I Senarai Negeri.

– Jika kesalahan di bawah undang-undang diri bagi orang Islam dilakukan secara bersama dengan bukan orang Islam, hanya orang Islam yang boleh dibicara dan dihukum manakala yang bukan Islam itu bebas.
– Perkara 8 menghalang diskriminasi hukuman dalam kesalahan yang sama hanya disebabkan agama dalam undang-undang awam.

– Kesalahan yang sama tidak boleh wujud dalam undang-undang awam dan undang-undang diri bagi orang Islam kerana itu menimbulkan konflik yang mengakibatkan undang-undang diri bagi orang Islam terbatal kerana undang-undang Persekutuan adalah mengatasi selaras dengan Perkara 75.

– Kedudukan kesalahan jenayah syariah dalam undang-undang diri bagi orang Islam akan terkekang dari sudut kesaksian, kemudahan dan terhad dalam kalangan orang Islam yang tidak akan dapat memberikan keadilan kepada orang Islam apabila kesalahan itu turut melibatkan bukan orang Islam.

– Jika sekiranya kesemua undang-undang jenayah syariah ingin diletakkan dalam kategori undang-undang bagi diri orang Islam, maka kesalahan yang sama tidak lagi terpakai kepada bukan orang Islam dan perlu dibuat pindaan untuk memansuhkan kesemuanya daripada Kanun Keseksaan kerana menjadi bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan.

– Kedudukan undang-undang jenayah syariah sebagai undang-undang awam lebih melindungi orang Islam.

Pengharmonian undang-undang Persekutuan dengan prinsip patuh syariah akan mengukuhkan kedudukan Islam dan maslahah umat Islam yang sedang diserang oleh pelbagai doktrin yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Naratif undang-undang awam sebagai bukan undang-undang syariah menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan kerana mahkamah awam turut dianggap mahkamah yang melaksanakan undang-undang bukan syariah.

Mahkamah Persekutuan terhalang untuk mngisytiharkan Islam sebagai Law of the Land seperti yang diputuskan sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu kerana peguam tidak berhujah untuk membatalkan sifat sekular yang ada dalam sistem perundangan negara seperti diputuskan dalam kes Che Omar (1988).

Walau bagaimanapun, mahkamah meluaskan tafsiran precepts of Islam dan menggantikan sistem perundangan negara yang dikatakan bersifat ‘sekular’ kepada frasa ‘cenderung kepada sekulariti’. Dalam masa sama, sekulariti itu tidaklah ditafsirkan suatu yang bercanggah dengan undang-undang Islam, sebaliknya merujuk kepada undang-undang jenayah yang bersifat awam, terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Tanggapan bahawa Malaysia mengamalkan dua sistem perundangan (duality) iaitu sistem perundangan sivil di Persekutuan dan sistem perundangan syariah di negeri adalah khilaf kerana sebagai sebuah negara, mana mungkin Malaysia mengamalkan dua sistem perundangan yang bertentangan.

Sekiranya sistem dualisme ini wujud, maka sistem perundangan negara bukan hanya dua tetapi 14 kerana penggubalan undang-undang negeri di DUN berlaku berasingan dan undang-undang negeri yang dipanggil Enakmen hanya berkuatkuasa di negeri tersebut sahaja dan tidak terpakai di negeri lain.

Begitu juga dengan sistem kehakiman di mahkamah syariah juga berbeza antara negeri dan tertakluk kepada pentadbiran, tata kelola dan set undang-undang yang berbeza antara negeri, menjadikan wujud 13 sistem kehakiman negeri dan satu sistem kehakiman persekutuan yang berbeza pentadbirannya.

Perlu juga diingat selain dari undang-undang berkaitan diri orang Islam dalam Butiran I Senarai Negeri, Jadual ke-9. DUN juga boleh menggubal undang-undang negeri untuk perkara-perkara lain yang jatuh dalam bidang kuasanya dan perkara-perkara tersebut tidak semestinya dibicarakan di mahkamah syariah dan ia dibicarakan juga di mahkamah awam seperti pegangan tanah, melombong, harta karun, rumah tumpangan dan sebagainya.

MELENGKAPI
Dari sudut lain, sekiranya sistem perundangan negara bersifat duality, bermakna akan wujud dua sistem perundangan, peruntukan, kesalahan dan hukuman untuk perkara yang sama, sedangkan apa yang berlaku dalam kes Nik Elin Zurina ini jelas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa DUN tidak boleh menggubal undang-undang yang jatuh dalam bidang kuasa Persekutuan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Senarai I, Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh berlaku pertindihan dalam kedua-dua undang-undang tersebut.

Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua undang-undang di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri adalah bersifat melengkapkan antara satu sama lain dan bukan bersaing antara satu sama lain.

Sifat undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri yang saling melengkapkan menunjukkan ciri-ciri Federalisme, iaitu perkongsian dan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina tidak menjejaskan fungsi DUN untuk menggubal undang-undang dalam bidang kuasanya dan kuasa kehakiman mahkamah syariah, tetapi sebaliknya mengesahkan tidak wujud pertindihan atau percanggahan antara mahkamah awam di peringkat Persekutuan dengan mahkamah syariah di peringkat negeri kerana kedua-dua undang-undang ini sudahpun bersifat patuh syariah, harmoni dan saling melengkapi berdasarkan kepada pembahagian bidang kuasa dalam kerangka federalisme sesuai dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah tugas ahli Parlimen dan penguatkuasa undang-undang untuk mengukuhkan pelaksanaan prinsip patuh syariah. Di samping itu pihak berkenaan perlu berikhtiar bagaimana judi berlesen dan riba boleh diperundangkan menjadi kesalahan bagi orang Islam tanpa meminda Perlembagaan.-UTUSAN

PENULIS ialah Peguambela, Peguamcara dan Timbalan Pengerusi Kor Akwam 181.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini