ISLAM mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem politik dan perundangan di Malaysia. Ia merupakan teras kepada pembentukan jati diri kebangsaan berpaksikan kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ada sebahagian pakar perundangan menamakannya sebagai struktur asas Perlembagaan manakala rakyat awam menggelarkannya sebagai tiang seri negara.
Perlembagaan negeri-negeri juga memperuntukkan Islam sebagai agama negeri kecuali Sarawak yang hanya memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam dalam negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membuat undang-undang dan peraturan berkaitan hal ehwal Islam.
Undang-undang, khususnya Perlembagaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan sejarah. Itulah sebabnya dalam Laporan Suruhanjaya Reid tegas enggan mengubah apa dilaksanakan di Tanah Melayu ketika itu. Dengan itu, terguballah suatu Perlembagaan Persekutuan yang didasari oleh nilai-nilai sejarah.
Keabsahan sejarah dapat dilihat apabila kedudukan Islam, keistimewaan Raja-raja Melayu dan ketuanan Melayu menjadi teras kepada Perlembagaan Persekutuan. Malah, hak Sabah dan Sarawak yang menyertai Malaysia kemudiannya terus diabadikan dalam sejarah dan dihormati sehingga kini.
Kepincangan bermula apabila mentafsirkan Islam adalah agama rasmi walhal dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut Islam adalah agama Persekutuan. Malah tidak kurang juga yang berpandangan bahawa Perkara 3 tersebut hanyalah sekadar merujuk kepada amalan majlis-majlis rasmi sahaja seperti memulakan setiap majlis dengan bacaan doa sebagai contoh.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh lawan Public Prosecutor telah memberi tafsiran yang betul kepada Islam berdasarkan buku The Islamic Law and Constitution tetapi telah menyempitkan aplikasi Perkara 3 berdasarkan niat dan hasrat penggubal Perlembagaan. Walaupun demikian, Salleh tidak memutuskan bahawa Malaysia sebagai negara sekular sebagaimana yang sering dihujahkan, tetapi hanya sekadar mengatakan undang-undang yang terpakai adalah undang-undang sekular sebagaimana yang dibenarkan oleh Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan. Mungkin kesilapan yang ketara dalam penghakiman tersebut ialah menggunakan perkataan ‘undang-undang sekular’ yang mana sepatutnya ‘undang-undang sedia ada’.
Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi pula berpendapat, Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya.
“Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati-tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain”.
Begitu juga perbicaraan Datuk Abdul Hamid Mohammad dalam kes Kamariah Ali lawan Kerajaan Negeri Kelantan menjelaskan bahawa Perlembagaan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga digubal selaras dengan kehendak Senarai tersebut.
FEDERALISME
Untuk mencapai sistem federalisme yang baik, faktor sejarah mestilah diambil kira bagi melangsungkan kesinambungan masyarakat. Beberapa enakmen dan ordinan yang menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah wujud sebelum merdeka seperti Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 1952. Setelah merdeka, kuasa negeri mengadakan undang-undang berkaitan jenayah syariah ini tidak terjejas. Perlembagaan Persekutuan telah mengekalkan kuasa negeri untuk mengadakan undang-undang jenayah syariah di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan.
Menurut Fasal tersebut, undang-undang yang dibuat sebelum Merdeka hendaklah dikekalkan selagi mana tidak dimansuhkan. Sebaliknya, enakmen-enakmen dipinda dan digubal berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah. Malah, Parlimen membuat dan meluluskan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) secara tidak langsung menunjukkan bahawa Parlimen memang mengiktiraf kuasa DUN untuk mengadakan undang-undang jenayah syariah.
Memandangkan hal mengenai Islam dan kuasa untuk mengadakan undang-undang jenayah syariah merupakan kuasa negeri di bawah butiran 1 Senarai Negeri, justeru jika ada apa-apa cadangan pindaan yang menyentuh atau boleh mengurangkan kuasa raja-raja maka ia perlulah mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu secara zahir. Sejarah membuktikan Raja-Raja Melayu tidak pernah memberi perkenan menarik kuasa ini dan memberikan kepada Persekutuan.
PERKARA 77
Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan menyatakan negeri diberi kuasa di bawah Perlembagaan untuk mengadakan undang-undang bagi mana-mana hal perkara yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Kita semua tahu satu kaedah telah disediakan untuk mengatasi masalah wujud atas pertindihan bidang kuasa ini adalah tafsiran secara pith and substance. Mengikut kaedah tersebut, jika berlaku kemusykilan, ujian yang harus digunakan adalah dengan melihat ciri sebenar (pith) dan isi utama (substance) peruntukan undang-undang tersebut. Jika didapati ia masih berkaitan dengan perkara dalam senarai sahnya seperti yang ditetapkan, maka perundangan tersebut tetap dianggap sah dan berperlembagaan.
Oleh itu, dalam isu jenayah syariah, untuk menggunakan ujian sama, kita dapati kesalahan-kesalahan jenayah syariah ada yang tidak diiktiraf sebagai kesalahan sivil. Sebahagian kesalahan jenayah syariah tidak mempunyai mangsa seperti pemujaan, melanggar fatwa dan lelaki berlagak sebagai perempuan.
Jadi, apabila kita mengaplikasi ujian ini kita akan dapati ciri sebenarnya adalah syariah yang terjumlah dalam kuasa negeri.
PINDA
Dwi-sistem perundangan (sivil dan syariah) telah lama diamalkan di Malaysia. Ia harus dihormati kerana mengaplikasi sistem yang berlainan belum tentu akan menghasilkan keharmonian antara kaum. Walau bagaimanapun bagi memastikan ia benar-benar jelas, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi menzahirkan kedudukan ini tanpa berselindung di sebalik tafsiran yang tidak jelas. – UTUSAN
DATUK Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan











