Kewibawaan pendidikan tinggi dengan nilai integriti - Utusan Malaysia

Kewibawaan pendidikan tinggi dengan nilai integriti

Warga kerja UTM komited mendengar ucapan Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024, oleh Menteri Pendidikan Tinggi, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam ucapan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kelmarin, beliau ada mengutarakan kepentingan memelihara integriti, khasnya dalam kalangan warga pendidikan tinggi.
Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti adalah kejujuran, ketulusan atau keutuhan. Maka, istilah integriti akan membawa makna yang sama ada dapat menjamin kewibawaan seseorang atau mencalarkan maruahnya tatkala integriti dilanggari.
Integriti membawa implikasi yang luas dalam konteks pendidikan tinggi. Dalam konteks pengajaran, pensyarah yang berintegriti bermaksud dia mengajar dengan penuh kesungguhan, membantu pelajarnya sekiranya belum memahami kandungan pembelajaran dan adil serta tepat dalam melaksanakan penilaian pembelajaran terhadap pelajar.
Dalam konteks penyelidikan pula, penggunaan kaedah atau metodologi yang berintegriti amat mustahak bagi menjamin kebenaran maklumat di lapangan. Ahli bidang kemasyarakatan misalnya, dapat menyelesaikan permasalahan masyarakat seperti kemiskinan sekiranya diketahui punca-punca terjadinya kemiskinan tersebut.
Data yang diperoleh, dengan kaedah yang berintegriti dapat memberitahu pelbagai pihak mengapa dan bagaimana kemiskinan ini boleh terjadi dan apakah yang seharusnya dibuat untuk masalah ini diselesaikan.
Sekiranya data yang diperoleh tidak berpaksikan nilai integriti dan cuma melaporkan keadaan yang ‘muluk-muluk’ di lapangan, punca sebenar kemiskinan terbabit sukar untuk diketahui, maka penyelesaian tuntas sukar direncana.
Dalam ajaran Islam, terdapat empat sifat wajib yang perlu ada bagi seseorang Rasul, iaitu Siddiq (benar), Amanah (bertanggungjawab), Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana).
Siddiq, perkataan Arab yang membawa makna ‘benar’ membawa maksud yang sangat mendalam buat seseorang ahli akademik dalam menyampaikan ajaran yang benar kepada para pelajar.
Sebagai contoh, jika seseorang pensyarah mengajar topik pembinaan bangunan, dia dapat memberitahu pelajar ciri-ciri bangunan yang benar-benar selamat, termasuk kepentingan nilai integriti bagi kontraktor yang mendirikan bangunan tersebut. Sekiranya berlaku keadaan kualiti bahan binaan dikompromikan, maka bangunan tersebut berisiko runtuh.
Amanah juga perkataan bahasa Arab yang membawa maksud kepertanggungjawaban. Ia bermaksud, seseorang yang diberikan mandat melaksanakan sesuatu tugas, seperti penyelidikan akan melaksanakan penyelidikan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak cuai dalam melaksanakannya.
Kecuaian memungkinkan data yang diperoleh akan ada keraguan, seterusnya tidak dapat dijadikan penemuan yang bermanfaat untuk menyelesaikan masalah yang ada. Andainya cuba diterbitkan sekalipun, ia pasti akan ditolak oleh editor jurnal.
Sifat siddiq dan amanah ini tampak terkait rapat. Seseorang ahli akademik yang mengamalkan sifat siddiq dan amanah dapat menjadikan dirinya sebagai insan yang dipercayai dan dengan itu mudah baginya untuk bekerja dengan pelbagai lapisan pekerja, termasuk dengan para pelajar.
Jika ahli-ahli akademik memiliki sifat siddiq dan amanah, maka amat dijangkakan sosok demikian akan memperoleh penghormatan tinggi, mempunyai kebijaksanaan atau hikmah yang terserlah, terzahir kewibawaan melibatkan keupayaan dirinya memimpin masyarakat serta mendapat kepercayaan pelbagai pihak.
Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Integriti menjadi salah satu daripada empat nilai teras universiti. Tiga lagi nilai teras ialah Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian. UTM mula memperkenalkan empat nilai teras ini sejak tahun 2018.
Langkah mengasaskan nilai teras universiti, khasnya Integriti ialah kerana adanya kesedaran bahawa universiti harus menjadi satu medan intelektual yang turut menjadi wadah memartabatkan kebudayaan tinggi.
Menurut Syed Husin Ali (2002) dalam bukunya Merdeka Rakyat dan Keadilan, beliau mengupas persoalan reformasi pendidikan tinggi, iaitu universiti dapat muncul sebagai pusat kebudayaan tinggi dengan menjulang nilai-nilai etika, moral, dan kewibawaan yang seterusnya memperkukuhkan fungsi universiti sebagai medan intelektual.
Namun, fungsi universiti sebagai wahana membentuk kebudayaan tempatan yang positif, berciri Malaysia dan mengangkat kearifan tempatan bukan sesuatu yang lazim didengari.
Di sinilah, nilai Integriti dapat menjadi tapak yang mampu menjelmakan universiti yang menjulang kebudayaan tinggi, khasnya keintelektualan yang disulami nilai-nilai ketawadukan, memelihara disiplin ilmu dan penjagaan kepakaran serta pemeliharaan diri daripada terjebak dalam ketidakjujuran akademik.
Untuk merealisasikan senario pendidikan tinggi yang sedemikian, penambahbaikan kualiti secara berterusan atau continuous quality improvement (CQI) dapat menjadikan warga pendidikan tinggi lebih berintegriti. Iltizam kuat dalam melazimi penambahbaikan proses kerja, serta peningkatan profesionalisme dan kemampuan diri dapat menjadikan warga pendidikan tinggi lebih berwibawa di mata masyarakat.
Mengakui hakikat tiada manusia yang sempurna, kepentingan CQI akan menjadi semakin kritikal. Dalam pengurusan universiti, CQI adalah satu kewajipan yang perlu sentiasa diamalkan. Ini menjadi satu tunggak penting memastikan nilai-nilai pertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam kalangan semua staf.
Persoalannya, adakah CQI sentiasa dijadikan satu amalan dan telah sebati dalam amalan pekerjaan di universiti? Persoalan ini memerlukan jawapan yang jujur daripada semua pihak terlibat.
Buat semua warga pendidikan tinggi, memelihara integriti penting dalam menjaga kewibawaan pendidikan tinggi. Bersama-sama kita meninggalkan perbuatan yang boleh mencemarkan integriti diri, yang boleh menghilangkan rasa percaya masyarakat kepada kita. Sama-samalah kita memperbaiki diri dan universiti ke arah lebih berintegriti.

Profesor Datuk Ir .Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya