TINDAKAN beberapa pihak menyelar kenyataan seorang menteri Melayu sebagai mengelirukan bahawa menjadi kewajipan warganegara Malaysia untuk mengetahui bahasa Melayu dengan baik, ekoran kes memperbaharui pasport oleh seorang warganegara yang didapati tidak mengetahui bahasa negara ini adalah bukan sahaja tidak betul. Ia juga sungguh menyedihkan kerana kegagalan sebilangan pihak itu memahami isu sebenarnya, iaitu hubungan moral, malah kenegaraan antara kefasihan dalam bahasa negara dengan kewarganegaraan.
Sehubungan kes itu, selain apa-apa jua yang berlaku antara pegawai imigresen dengan wanita berkenaan dalam komunikasi mereka, kita seharusnya hendaklah lebih bijak untuk mengenal pasti isu yang lebih besar, iaitu ketidakcekapan warganegara dalam berbahasa negara. Isu ini bukan sesuatu yang baharu, ia sudah lama wujud dan terus berlarutan sehingga mencetuskan polemik sengit kebelakangan ini.
Malangnya setelah sedemikian pun, ia masih tidak mahu dilihat dalam konteks yang sebenar-benarnya. Sebaliknya ia mahu pula diledoskan dengan pelbagai perkara lain. Antaranya Perlembagaan Persekutuan yang tiada pun apa-apa peruntukan sebegitu bagi mensyaratkan warganegara Malaysia untuk wajib boleh berbahasa Melayu.
Spekulasi kerajaan semasa yang sangat memerlukan sokongan padu penjawat awam di peti undi, justeru ada keperluan membela tindakan pegawai itu yang didakwa sebagai toksik dan sindiran jahat, malah dajal agar menteri tersebut perlu menang dalam pilihan raya.
Persoalannya, mengapa harus diherotkan isu sebenar yang sememangnya sudah lama menjejaskan citra negara khususnya dari segi sosiobudaya dengan masih adanya warganegara yang tidak sedikit pula bilangannya tidak boleh berbahasa negara?
Isu ini menjadi lebih buruk kerana kita sudah lama menubuhkan negara ini dan mula membentuk negara bangsa semenjak itu. Sepatutnya gelaja ini tidak wujud langsung kini dengan tempoh agak panjang yang dilalui itu.
Sepatutnya kita semua berjiwa besar selain berlapang dada untuk menerima hakikatnya bagi sama-sama insaf dalam usaha memperbaik keadaan. Namun, yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu kita masih mahu menegak benang basah.
KONTRAK SOSIAL
Sehubungan ini, kita mati-matian mahu cuba mengelak daripada memikul tanggungjawab untuk ikut melangsaikan keperluan kenegaraan ini dengan sekurang-kurangnya berjanji untuk memperbaik pengetahuan bahasa Melayu kita. Apabila terdapat pihak yang langsung tidak mahu melihat isu sebenarnya, kita sebetulnya menghadapi cabaran paling getir dalam proses pembentukan negara bangsa, iaitu keengganan warganegara bukan Melayu untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu, iaitu bahasa Melayu dalam kes ini walaupun sudah dipersetujui pada perjanjian etnik menjelang kemerdekaan yang dikenali secara longgarnya sebagai kontrak sosial.
Keengganan ini memang jelas terbukti pada sepanjang masa dan ia tidak sangat memeranjatkan pun pada kali ini. Sebaliknya yang sangat mengejutkan pada kali ini ialah pembelaan membabi buta daripada etnik Melayu sehingga sanggup merujuki perundangan negara untuk berhujah bagi pihak etnik bukan Melayu tetapi dalam konteks yang amat sempit sekali.
Walaupun hanya segelintir, tindakan jahil mereka itu mempunyai dampak negatif yang amat besar. Ini antaranya bukan sahaja akan terus menggalakkan gejala tiada keperluan untuk menjadi cekap dalam bahasa negara. Juga, ia akan menjadikan etnik bukan Melayu naik lemah untuk terus bersifat sombong dalam isu kebahasaan ini serta lain-lain.
Persoalan lain yang serius di sini ialah cara pemikiran sebegitu liberal daripada etnik Melayu tertentu itu yang bukan sahaja tidak masuk akal, juga sama-sama malah lebih jahil daripada etnik Cina misalnya, untuk ikut buta mata dan telinga dalam memahami masalah sebenarnya.
Sesungguhnya pengetahuan bahasa negara adalah unsur penting dalam hal pemilikan kewarganegaraan di mana-mana negara jua walaupun secara naturalisasi, iaitu semula jadi kerana ibu bapa sudah pun berupa warganegara. Apatah lagi yang pendaftaran, yakni memohon untuk menjadi warganegara termasuklah oleh penduduk tempatan sendiri.
Sehubungan tindakan membela yang buta hati itu, kita boleh dengan mudah mengatakan bahawa etnik Melayu yang terbabit itu adalah kambing hitam. Lebih serius lagi ialah ia hasilan daripada pembawaan yang diterima, antaranya kerana tersalah asuh. Dengan ini, ia didikan kurang baik tentang jati diri dan amanah Melayu sehingga wujud sikap yang bukan sahaja amat jauh tersasar daripada resmi Melayu yang lazim. Juga, langsung amat tidak munasabah, malah bebal sekali sehingga boleh menyokong satu kesalahan etika yang terang-terangan sangat bercanggah dengan keperluan bernegara di sebuah negara milik mereka sendiri.
Daripada semua kisah sebal ini, kita sebenarnya menghadapi masalah proses pembentukan negara bangsa yang serius dengan etnik bukan Melayu yang sangat tidak rasional sehingga membantah secara melulu pada sepanjang masa. Ini dapat difahami, malah dijangkakan kerana selama ini mereka memang memperlihat sikap acuh tidak acuh terhadap kebanyakan, kalau tidak pun semua perkara kenegaraan.
Akan tetapi, ia fenomena baharu yang sangat membimbangkan apabila sudah ada dalam kalangan etnik Melayu yang mula sanggup bukan sahaja menyebelahi, malah membela etnik bukan Melayu walaupun melakukan perkara yang terang-terangan tidak nasionalistik lagi patriotik langsung di tanah watan Melayu mereka sendiri. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











