Ekstremisme menyusup di media sosial - Utusan Malaysia

Ekstremisme menyusup di media sosial

Media-media ini turut disunting dengan memainkan imej yang menyentuh perasaan penonton dengan niat agar timbul rasa belas kasihan akan penindasan palsu yang mereka cipta. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN keganasan seperti pergaduhan, buli serta pembunuhan kejam yang berlaku di negara ini mutakhir ini amat membimbangkan. Kes seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak luar kawalan dan kewarasan apabila menikam pemandu e-hailing mendesak kita meneliti intervensi mendalam diambil terhadap beberapa insiden yang menjurus kepada ekstremisme atau perlakuan melampau.
Malaysia sedang bergerak ke hadapan atas jenama Malaysia Madani. Namun begitu, wujud onar dan duri yang cuba menyelusup masuk untuk merosakkan negara. Cubaan menanam pemikiran ekstremis terutama dalam fahaman agama, sosiopolitik, sosial dan sebagainya ke dalam pemikiran rakyat Malaysia sepatutnya diberikan perhatian serius.
Ekstremisme merujuk kepada sikap atau pendirian yang melampaui sempadan biasa atau normal dalam sesuatu isu. Ia melibatkan tindakan atau pandangan radikal atau melampau. Ekstremisme berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor kompleks, termasuk ketidakpuasan sosial, ketidaksamaan ekonomi, ketidakstabilan politik, dan persepsi ketidakadilan.
Faktor-faktor seperti ideologi melampau, propaganda, dan pengaruh kumpulan tertentu juga boleh memainkan peranan dalam memotivasi seseorang itu untuk bersikap melampau. Perasaan tidak selamat atau tidak puas hati boleh menyebabkan pencetus tindakan sebegini.
Antara kaedah popular digunakan kumpulan ekstremis ini dalam mempengaruhi pemikiran rakyat menyertai fahaman mereka kini adalah menggunakan media sosial.
Ditambah dengan ketembusan internet bagi rakyat Malaysia yang terus meningkat dengan ketara saban tahun.
Ini dibuktikan dengan terdapat 33.03 juta pengguna internet di Malaysia pada Januari 2023 dengan kadar penembusan internet mencapai 96.8 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tahun ini. Sementara itu, 26.80 juta pengguna media sosial di Malaysia manakala sebanyak 98.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar sebagai peranti utama di dalam melayari internet.
Oleh itu, dengan penggunaan internet yang semakin ‘mendunia’ dalam kalangan masyarakat, kumpulan ekstremis ini menyasarkan internet dan media sosial sebagai katalis dan platform untuk menyebarkan perang saraf mereka kepada masyarakat.
Mereka melakukan propaganda hitam menyebarkan bahan-bahan yang disunting ke dalam media sosial untuk menarik minat pengguna internet memuat turun dan menonton media tersebut. Ini termasuk penggunaan strategi komunikasi yang direka untuk mempengaruhi pendapat dan merekrut ahli baru ke dalam kumpulan yang melampau itu.
Mereka juga melakukan propaganda melalui mesej tersirat yang membentuk pendapat umum, membina naratif yang menyokong pandangan melampau, atau membiarkan tindakan keganasan.
Melalui suntingan-suntingan yang menarik sama seperti permainan video perang, keganasan secara tidak langsung dapat mempengaruhi kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa untuk terus mencari lebih dalam berkenaan video yang dipaparkan.
Media-media ini turut disunting dengan memainkan imej yang menyentuh perasaan penonton dengan niat agar timbul rasa belas kasihan akan penindasan palsu yang mereka cipta lalu terus terperangkap dengan naratif jahat yang dicipta oleh kumpulan terbabit.
Di samping itu, latar belakang masyarakat yang pelbagai memudahkan kumpulan ekstremis ini terus mempengaruhi minda rakyat untuk terjerumus menyertai kumpulan mereka.
Kecetekkan pemahaman ilmu agama, sifat fanatik yang melampau dan kefahaman dan pegangan yang salah antara faktor bagi seseorang itu mudah terpengaruh dengan ajakan di dalam mesej-mesej subliminal yang dicipta kumpulan itu.
Konflik politik, perubahan ekonomi yang drastik atau ketidakpuasan hati terhadap kerajaan juga boleh menjadi faktor.
Dalam sesetengah keadaan, perselisihan dengan nilai atau norma sosial tertentu juga boleh menyumbang kepada ketidakpuasan sosial, membuka pintu kepada ekstremisme sebagai cara untuk menangani rasa tidak puas hati itu
Ekstremisme berpunca daripada ketidakupayaan atau keengganan untuk menerima pandangan atau nilai yang berbeza. Ekstremis sebegini selalunya melibatkan diri dalam aktiviti atau mengenal pasti kumpulan tertentu yang memegang pandangan atau matlamat melampau.
Mereka yang terlibat sering tidak mematuhi norma undang-undang atau melanggar undang-undang negara.
Mereka menolak dialog atau perbincangan yang membina dengan pihak yang berbeza dan lebih suka mempertahankan pandangan mereka tanpa membuka diri kepada perbezaan. Sikap ini boleh menguatkan polarisasi dan konflik dalam masyarakat.
Justeru, langkah-langkah untuk menangani ekstremisme perlu melibatkan pendekatan holistik yang merangkumi aspek pencegahan awal, tindakan balas, dan pemulihan.
Rakyat perlu ditingkatkan pemahaman mereka tentang nilai-nilai toleransi, pluralisme, dan menghormati perbezaan melalui pendidikan dan kempen kesedaran.
Dalam pada itu, kemahiran dan sumber kepada masyarakat untuk menghadapi cabaran ekonomi, sosial, dan politik harus ditekankan. Dengan itu, ia akan mengurangkan kerentanan terhadap pengaruh ekstremisme. Selain itu, dialog konstruktif antara kumpulan agama dan budaya perlu kerap diadakan untuk memupuk persefahaman.
Dalam pada itu, usaha berterusan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan untuk menangani aktiviti pelampau, sambil mematuhi hak asasi manusia dan keadilan perlu dilakukan.
Ini juga termasuk membangunkan program pemulihan bagi individu yang terlibat dalam ekstremisme untuk membantu mereka berintegrasi semula ke dalam masyarakat. Pendekatan yang berkesan mesti disesuaikan dengan konteks tempatan dan perubahan dinamik dalam ekstremisme.
Kita haruslah mempunyai sifat bertanggungjawab dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa apabila terjumpa dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia di internet dan media sosial.
Masyarakat harus menjauhi sifat ekstremisme, fanatik atau radikal dalam kehidupan. Pendekatan wasatiyah atau jalan pertengahan adalah sebaik-baik perkara.

Profesor Datuk Dr. Ismail Sualman
dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya