SATU Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi QS: Asia Pasifik 2023 khabarnya diadakan pada 7 hingga 9 November lalu, anjuran syarikat swasta QS yang berkait rapat dengan aktiviti ranking atau penarafan universiti bertahun-tahun lamanya.
Sidang kemuncak tersebut dihadiri oleh universiti tempatan ‘terkemuka’ dan berkelas dunia mengikut perhitungan QS. Sudah tentu tujuannya adalah untuk menonjolkan lagi status universiti yang terlibat secara tidak langsung meluaskan perniagaan QS.
Malangnya, ranking adalah satu-satunya isu yang disanggah dalam laporan bebas oleh Institut Antarabangsa Berkaitan Kesihatan Global, Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) yang berpangkalan di Kuala Lumpur, beberapa hari sebelum sidang kemuncak tersebut diadakan.
Dan QS tersenarai antara beberapa pihak lain yang dikatakan rancak mendukung sistem ranking tetapi terbukti kurang memuaskan, bahkan bermasalah dalam banyak perkara tersembunyi.
Dari segi konsep sehinggalah pengumpulan data serta menganalisis, seterusnya menguar-uarkan keputusan yang diperoleh tidak sepi dengan kelemahan. Yakni kualitinya boleh dipersoalkan.
Antaranya, tersenarai sembilan sebab utama mengapa ranking dicap sedemikian secara terperinci dalam laporan UNU itu. Ini kalut besar.
Semua bersandarkan bukti penyelidikan berwasit di peringkat antarabangsa oleh para ilmuwan terkenal. Antara yang tenat mendapati ranking bersifat penjajahan dan melebarkan tidak keseimbangan di semua peringkat masyarakat.
Hatta meleburkan kualiti pembangunan pendidikan tinggi sebagai suatu sektor. Berupaya pula melencongkan hala tuju sesebuah universiti dari konteks asal dengan memaksa kaedah satu-acuan-untuk-semua mengikut deras pasaran dan perniagaan syarikat berkenaan.
Bukan lagi ilmiah tetapi bersalut keuntungan industri menjual beli ilmu mengikut logik ekonomi melalui jalinan syarikat bersekutu!
Dalam hal ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada menyatakan kebimbangan bahawa formula satu-acuan-untuk-semua tidak lagi relevan, semasa berucap di Kota Kinabalu pada minggu yang sama.
Ini termasuklah acuan ranking yang kaku menekankan kaedah tunggal atas nama kualiti kelas dunia yang mereka tafsir sendiri mengikut sasaran serta model perniagaan yang dikenakan menurut laporan UNU yang sama pada awal bulan.
Sekali gus menganggap kaedah ini tidak tepat lagi samar-samar dalam menentukan nilai dan mutu berpandukan budaya serta peradaban sesuatu negara dan kelompok. Kelompok Barat sudah tentu berbeza dengan Timur dan sebagainya.
Satu bentuk acuan khusus berlandaskan budaya Anglo-Saxon umumnya sudah tentu memberi kelebihan kepada bahasa Inggeris, bukan juga bahasa Eropah lain (Jerman, Sepanyol) untuk diambil kira.
WASPADA
Apatah lagi bahasa asing lain – Arab, ASEAN dan sebagainya. Maksudnya ketakanjalan yang katakan oleh Mohamed Khaled mantap dalam amalan ranking sedia ada dan tidak memberi kesaksamaan dalam tafsiran kualiti acuan tersebut.
Jadi tidak hairanlah kebanyakan universiti negara Inggeris membolot tempat utama acuan itu, ataupun bagi bekas jajahan mereka seperti Malaysia dan Singapura!
Tidak mesti tidak, perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk turut serta seperti bagi negara China dan Jepun.
Adakah ini bermakna tidak ada universiti dalam bahasa lain yang boleh mencapai kelas dunia? Tentu tidak sama sekali, sekiranya keanjalan dalam acuan serta tafsiran yang digunakan sewajarnya.
Selagi ini tidak berlaku, selagi itulah kenyataan yang dimaksudkan Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan terjelma. Terkongkong dalam acuan minda penjajahan khususnya di peringkat institusi tempatan yang hauskan pengiktirafan orang lain. Lemah jati diri.
Ini membangkitkan sama ada keterlibatan dalam Sidang Kemuncak QS bak kerbau dicucuk hidung sahaja. Di seret ke dalam satu pandangan alam yang kontang lagi sumbang apabila tidak anjal dalam menilai dan mencorakkan sesebuah universiti dengan mengetepikan kepelbagaian konteks masing-masing.
Sementara itu, mengikut Mohamed Khaled, “perlu wujud penandaarasan kualiti yang berbeza antara pembelajaran konvensional, pembelajaran dalam talian, hibrid dan di antara makrokredential dan mikrokredential.”
Maksudnya, kelunturan kepemimpinan ilmiah berpaksikan satu-acuan-untuk-semua, serentak gagal menyuburkan kepelbagaian dan keanjalan pendidikan masa hadapan.
Yang paling aneh sekali dalam hal ini, tatkala laporan UNU dengan jelas menekankan supaya berwaspada dengan syarikat penarafan yang mempunyai pencanggahan minat serta tujuan seraya mengiklankan serta menjual perkhidmatan yang mereka turut tawarkan kepada universiti sebagai pelanggan.
Dalam rumusan laporannya, UNU tidak menggalakkan kerajaan menggunakan ranking dalam memandu dasar, atau membuat pilihan.
Namun, perlu kepada strategi lebih sesuai dengan suasana serta keperluan setempat bagi memanusiakan pembangunan pendidikan tinggi masing-masing.
Tiga saranan utama termasuk (a) membangkit kesedaran tentang masalah dan bahaya ranking, (b) menggalakkan serta berikhtiar mencari pilihan positif yang lain, serta (c) menjauhi dari amalan tidak telus, mencuri kesempatan, dan membuat penilaian rapi akan keperluan ranking supaya tidak melanggar prinsip etika sepertimana yang acap terkesan.
Sesiapa sahaja yang terlibat harus sedar dan menuntut hak mempertahankan pendidikan dari dinodai. Dalam hal ini, nampaknya ranking begitu jauh dari bersifat kelas dunia seperti mereka sendiri sering akui berasaskan hujah kental laporan UNU berkenaan.
Maka, apa dia hak mereka untuk mengata universiti itu dan ini berkelas dunia, jika kedudukan mereka terus diragui. Kita tertipu hidup-hidup dan diperbodohkan selama ini apabila bersekongkol dengan mereka walaupun sudah berulang kali diberi peringatan.
Biarlah Sidang Kemuncak QS kali ini menjadi terakhir untuk menegakkan benang basah. Biarlah riwayat ranking berkubur di sini dalam menebus semula maruah pendidikan yang telah dikucar-kacirkan gara-gara mengejar kerakusan ranking durjana. Kepada yang taasub bertaubatlah. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).









