PADA 17 November lalu, Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan ekonomi negara berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Inflasi kekal rendah pada kadar 2.8 peratus dan pengangguran menurun kepada 3.4 peratus.
Malah Malaysia di antara empat negara di Asia Tenggara (Indonesia, Vietnam dan Filipina) mencatatkan pertumbuhan ekonomi menyederhana berbanding Singapura (0.9%) dan Thailand (1.5%) yang berkembang agak perlahan.
Ini menunjukkan asas ekonomi negara masih kuat walaupun berhadapan cabaran disebabkan permintaan luar yang lemah khususnya terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
Orang ekonomi dan golongan bisnes faham angka-angka yang disebutkan di atas. Namun, apakah angka-angka ini memberi makna kepada rakyat di bawah, B40 dan M40? Apakah mereka faham dan kalau faham sekali pun, apakah mendapat manfaatnya?
Sejak dahulu, menteri akan bercakap tentang petunjuk-petunjuk ini bagi membuktikan dasar dilaksanakan kerajaan memberikan impak positif sama ada untuk negara atau rakyat. Malah baru-baru ini dalam Dewan Rakyat, ada menteri mendabik dada bercakap bahawa ekonomi berkembang pada ketiga-tiga suku tahun ini.
Sedarkah beliau, suku kedua pertumbuhan ekonomi negara menyusut kepada 2.9 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama?
Tidak mengapalah, rakyat ‘tidak faham’ pun kerana bagi mereka, perkara paling penting ialah harga barang terkawal dan gaji mereka meningkat.
Realiti di bawah tidak menggambarkan pertumbuhan ekonomi sebenar.
Penerangan daripada kerajaan sejak dahulu tidak jelas. Sebagai contoh, inflasi rendah tidak bermakna harga barang akan turun. Begitu juga kadar pengangguran rendah sedangkan keadaan sebenar masih ramai anak muda tidak mendapat pekerjaan. Kadar pengangguran belia pada suku ketiga adalah 10.9 peratus atau 311,200 orang.
Statistik juga menunjukkan terdapat lebih banyak jawatan yang diwujudkan ‘kerja kosong’ pada suku ketiga, iaitu 32,000 jawatan baharu bagi memenuhi keperluan industri.
Soalnya, apakah jawatan ini bersesuaian dengan tahap kelayakan dimiliki pekerja? Apakah soal underemployment diberikan perhatian?
Underemployment bermaksud keadaan pengangguran berlaku apabila mereka yang mempunyai kelulusan tinggi membuat pekerjaan berkelulusan rendah akibat pertumbuhan ekonomi perlahan. Sebagai contoh, graduan sarjana muda bekerja sebagai pemandu e-hailing disebabkan terpaksa.
Namun, harus diakui masalah ini bukan baharu. Sejak saya berada dalam Kabinet, perkara ini sentiasa menjadi perhatian dan dibincangkan.
Negara berhadapan masalah struktur ekonomi yang serius. Namun, setiap kali reformasi struktural direncanakan, kerajaan berhadapan jalan sangat sukar disebabkan pelbagai cabaran khususnya tekanan politik.
Contoh klasik ialah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mendapat tentangan hebat oleh pembangkang malah Barisan Nasional (BN) terpaksa membayar harga amat mahal, tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
ENAK
Politik ekonomi satu perkara yang amat sukar kerana perlu mengimbangi di antara keperluan perniagaan dan rakyat. Ia juga menjadi satu modal ‘enak’ untuk kempen politik dengan menggambarkan rakyat akan menjadi mangsa. Paradoks.
Tahun hadapan negara akan berhadapan cabaran hebat apabila pakar ekonomi meramalkan dunia menghadapi global stagflation, iaitu keadaan pertumbuhan ekonomi perlahan, inflasi tinggi dan kadar pengangguran tinggi.
Keadaan ringgit yang lemah juga akan memberikan kesan. Benar, sukar untuk mengawal naik turun nilai ringgit disebabkan ia melibatkan faktor luar tetapi apakah kita hanya perlu berpeluk tubuh?
Kerajaan memperkenalkan dasar-dasar jangka panjang seperti Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Namun, dasar-dasar ini melibatkan masa panjang untuk mendapatkan kesannya. Begitu juga pelaburan langsung asing (FDI) yang memerlukan masa untuk direalisasikan.
Negara kini memerlukan pelan jangka pendek untuk berhadapan cabaran dalam masa terdekat. Antara langkah boleh diambil ialah meningkatkan perbelanjaan bagi merangsang sektor domestik.
Pelaksanaan lebih banyak projek-projek kecil dan pemberian bantuan tunai akan merangsang ekonomi di peringkat akar umbi seterusnya mengurangkan beban rakyat. Insentif-insentif ini memerlukan dana besar. Kerajaan perlu mencari kaedah bagi meningkatkan pendapatan.
Malaysia mencatatkan kadar pendapatan cukai yang rendah iaitu sebanyak 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara-negara ASEAN lain secara puratanya sebanyak 20 peratus.
Dalam masa sama, pelaburan langsung domestik (DDI) perlu diberikan perhatian dan dipermudahkan bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
DDI menyumbang sebanyak 52.2 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan atau RM69.3 bilion, dipacu oleh pelaburan dalam sektor perkhidmatan khususnya hartanah dan sektor utama.
Kemerosotan eksport juga perlu ditangani segera. Kita harus meneroka peluang-peluang baharu dan tidak tertumpu kepada pasaran tradisional.
Pasaran-pasaran tradisional ini kebanyakannya diteroka melalui pelbagai perjanjian multilateral seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Justeru, perjanjian bilateral perlu diperbanyakkan kerana ia mempercepatkan perdagangan dua hala di antara negara.
Dalam keadaan kian mendesak kini, naratif ekonomi berkembang positif berdasarkan petunjuk-petunjuk tertentu tidak sesuai untuk rakyat keseluruhannya. Petunjuk paling penting ialah tahap kebahagiaan rakyat yang dapat menikmati kemanisan daripada pertumbuhan ekonomi negara.
Pertimbangan politik ini kadangkala boleh memesongkan penggubal dasar daripada meneruskan pilihan terbaik atau menghalang pelaksanaan reformasi yang diperlukan.
Menyelesaikan paradoks dasar politik memerlukan kepada penentuan titik keseimbangan antara pembuatan dasar yang berkesan dan pertimbangan politik.
Mari kita bersama-sama berganding bahu untuk menghadapi setiap cabaran mendatang. Setiap daripada kita mempunyai peranan tersendiri. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.











