CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 wajar disambut baik semua pihak. Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, PLKN 3.0 akan diteruskan dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya dengan para pelatih dalam kalangan anak muda menjalani latihan secara dua fasa.
Fasa pertama dijadualkan berlangsung di sekolah membabitkan murid tingkatan empat manakala fasa kedua di Pusat Latihan Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol). Bagi fasa kedua, dilaporkan sebanyak 13 kem latihan akan digunakan selama 45 hari dengan kapasiti mampu menampung 20,000 pelatih. Menurut Mohamad, melalui pendekatan baharu ini, PLKN hanya akan menggunakan perbelanjaan RM100 juta berbanding RM500 juta setahun sebelum ini.
Ironinya, PLKN yang diperkenalkan sejak Disember 2003 banyak memberi kesan positif terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan dan patriotisme serta pembentukan jati diri dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.
Hakikatnya hari ini, isu jati diri, integriti, perpaduan kaum dan semangat patriotisme terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kita.
Rakyat juga sering tertanya-tanya, apakah generasi muda hari ini mampu untuk mempertahankan kemerdekaan dikecapi, mempertahankan kontrak sosial dimeterai generasi terdahulu, mempertahankan jambatan perpaduan dibina sekian lama serta menjaga dan memelihara keamanan dan keharmonian kaum yang kita banggakan selama ini? Ini menyebabkan masyarakat mula risau apa akan jadi kepada perpaduan kaum di negara kita suatu hari kelak.
Justeru, kita berharap penjenamaan semula PLKN ini menepati keperluan serta kehendak semasa dan juga masa hadapan golongan belia dan negara. Apa yang kita laksanakan sejak 2003 adalah mengikut keperluan pada ketika itu. Namun, saya percaya kini kita sedang melalui suatu zaman lebih mencabar dan kompleks. Oleh itu, kerajaan perlu melihat secara menyeluruh segala kelemahan mahupun kekurangan yang wujud sebelum ini bagi memastikan PLKN versi baharu lebih mantap dan holistik.
Sementara menanti inti pati kedua-dua fasa ini didedahkan secara terperinci, kita berharap kementerian boleh memberi perhatian terhadap beberapa isu penting supaya pelaksanaannya kelak mencapai matlamat ditetapkan.
Bagi fasa pertama misalnya, sudah tentu perlu mengadakan sesi perbincangan dan libat urus terperinci dengan Kementerian Pendidikan. Hal ini penting kerana kita tidak mahu ini menjadi tugas tambahan baharu kepada guru yang kita sedia maklum sudah terbeban dengan pelbagai skop tugasan di sekolah. Jadi, peranan guru yang dihasratkan perlu dipersetujui bersama selain memastikan inti pati hendak diterapkan melalui pemerkasaan aktiviti badan beruniform tersebut mencapai tahap standard ditetapkan.
TENTERA
Bagi fasa kedua, dilaporkan akan diuruskan sepenuhnya oleh tentera termasuk ada cadangan membuka peluang kepada veteran tentera menjadi jurulatih. Ini satu cadangan baik. Pada masa sama diharap peluang sama turut dibuka kepada bekas jurulatih PLKN termasuk bekas peserta atau alumni PLKN yang turut boleh bertindak sebagai tenaga pengajar berdasarkan pengalaman lepas. Ini terutama untuk skop tata negara mencakupi 10 peratus modul di kem. Harus diingat, kejayaan atau kegagalan program ini banyak bergantung kepada inti pati modul serta jurulatih yang melaksanakannya dengan efisien.
Fasa kedua dilihat sangat kritikal kerana pelatih akan berada jauh daripada keluarga, bergaul dengan rakan-rakan baharu dari pelbagai latar belakang serta berkumpul di kem berpaksikan peraturan dan disiplin tinggi. Justeru, dicadangkan selain latihan ala tentera serta tata negara, kita perlu ambil kesempatan di fasa akhir ini untuk mendidik aspek adab, integriti dan akhlak sebelum mereka keluar dan berada di dunia luar sebenar.
Secara umumnya, kesinambungan pengisian modul di kedua-dua fasa tersebut akan menjadi penentu kejayaan program ini. Tuntasnya, modul yang diketengahkan perlu fokus kepada aspek kenegaraan, patriotisme, perpaduan, jati diri, integriti, ketahanan diri, survival kehidupan serta elemen kesukarelawanan.
Sebahagian daripada modul ini telah pun dilaksanakan dalam PLKN sebelum ini. Jadi, eloklah dibuat pascanilai (post mortem) secara menyeluruh bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan modul-modul tersebut di samping melihat keperluan bagi menambah modul baharu.
Dalam pada itu, kelompok peserta yang bakal menyertai PLKN juga wajar diberi perhatian serius. Misalnya, bagi memastikan objektif PLKN tercapai secara menyeluruh, kita berharap kerajaan mewajibkan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja berusia 18 tahun menyertai program ini. Jangan ada sebarang tolak ansur atau pengecualian jika kita mahu membentuk sebuah generasi masa hadapan yang bersatu padu dan sanggup berkorban untuk negara. Malah tempoh masa program juga perlu diteliti semula dan ditetapkan pada kadar bersesuaian supaya pelaksanaan modul dapat memberikan kesan dan impak yang dihasratkan.
Secara prinsipnya, pelaksanaan semula PLKN dilihat tepat pada masanya demi menyelamatkan belia negara yang dilihat semakin hanyut dengan pelbagai masalah sosial selain berhadapan situasi lesu, kurang daya tahan, mudah putus asa, ketagih gajet serta tidak mahu sambung pengajian untuk masa depan lebih baik. Justeru, diharap kerajaan dapat memuktamadkan dengan segera modul latihan, seterusnya boleh memulakan program ini secepat mungkin. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa dan pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).











