Pembangkang sengaja mainkan isu PTPTN

Pembangkang sengaja mainkan isu PTPTN

DISKAUN bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan pengumuman telah dibuat berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 31 Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA banyak perkara yang ditanya oleh wartawan kepada Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam sidang media beliau kelmarin termasuk mengenai kos sara hidup semakin meningkat yang memberi kesan kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan.

Beliau turut ditanya sama ada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mungkin mendapat khabar gembira dalam pembentangan Bajet 2024 ini.

Jawapan Mohamed Khaled adalah setakat ini KPT sudah tidak lagi meneruskan pemberian diskaun PTPTN tetapi apa-apa pun mengenai hal itu tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.

Jawapannya merujuk kepada punca kuasa dan tarikh luput insentif bayaran PTPTN sebelum ini kerana sama seperti insentif lain seperti pengecualian cukai kepada pembeli kereta, ada masa lupusnya dan ada insentif disambung, ada yang tidak disambung.

Bagaimanapun, jawapan Mohamed Khaled kepada soalan ini dinaikkan sebagai berita utama oleh beberapa media dengan tajuk seperti Tiada lagi diskaun PTPTN atau Diskaun PTPTN tidak diteruskan.

Namun, laporan yang dibuat oleh agensi berita nasional, Bernama, dengan tajuk Pemberian diskaun PTPTN dalam Belanjawan 2024 ditentukan MOF dibuat dengan betul. Tajuk ini senada dengan Utusan Malaysia dan dua media lain.

Intipatinya ialah keputusan sama ada insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN akan diteruskan dalam Bajet 2024 atau tidak, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.

Ada juga wartawan meminta harapan Mohamed Khaled terhadap Bajet 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Oktober ini.

Jawapan beliau adalah semoga kerajaan dapat menyokong permohonan KPT untuk menerap pendigitalan dalam menjaya, mengurus serta mentadbir ekosistem pendidikan tinggi negara. Selainnya ialah penekanan KPT dalam soal penyelidikan dan inovasi kerana kepercayaan ini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan soal kediaman kondusif untuk pelajar.

TIADA ISU
Justeru, tajuk seperti Tiada lagi diskaun PTPTN atau Diskaun PTPTN tidak diteruskan tidak sepatutnya digunakan untuk mengelak kekeliruan yang akan dipintas secara juling oleh pembangkang.

Ini kerana pengumuman berakhirnya pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang bermula pada 1 Mac telah berakhir pada 31 Mei telah dibuat pada 30 Mei lalu.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, membuat kenyataan khusus mengumumkan berakhirnya pemberian insentif diskaun ini dan ia disiarkan oleh banyak media.

Di dalam kenyataan itu, Ahmad Dasuki menghargai komitmen peminjam yang membuat bayaran balik dalam memastikan kelangsungan pemberian pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.
Jika pengumuman ini tidak dibuat pun perkara ini sudah diketahui ramai kerana dalam Bajet tahun lalu sudah dinyatakan pemberian diskaun ini adalah selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023.

Ini adalah selain pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac 2023.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, pada 7 Jun lalu berkata pihaknya mengambil maklum mengenai cadangan agar tempoh pemberian insentif diskaun ini dilanjutkan.

Bagaimanapun, kata beliau, sama seperti kenyataan Mohamed Khaled, perkara ini akan diperhalusi bersama Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan yang tinggi daripada kerajaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian insentif diskaun ini kerana ia membolehkan PTPTN mencapai sasaran kutipan pinjaman berjumlah RM1 bilion.

ANWAR IBRAHIM
Hampir setahun Anwar menjadi Perdana Menteri, dari pelbagai tindakan dan kenyataan beliau ternyata beliau seorang yang amat prihatin terhadap kemajuan pendidikan tinggi di negara ini.

Salah satu bukti yang nyata ialah dalam Bajet 2023 beliau menambahkan peruntukan kepada KPT dari RM14.5 bilion pada 2022 menjadi RM15.3 bilion pada tahun lalu.

Tiada lagi Perdana Menteri sebelum ini yang hampir saban minggu mengunjungi pelbagai IPTA di seluruh pelosok negara untuk menyantuni dan mendengar permasalahan warga IPTA.

Berdasarkan perkembangan ini, besar kemungkinan untuk IPTA mendapat perhatian lebih besar dalam Bajet 2024, termasuk dalam aspek pemberian insentif diskaun kepada peminjam PTPTN.

Walaupun begitu, Mohamed Khaled sudah semestinyalah tidak boleh dilihat terlalu menekan, mendesak apa lagi mendahului Anwar sebagai bos beliau dalam perkara ini.

Malangnya, laporan tidak tepat sesetengah media massa ke atas kenyataan ringkas Mohamed Khaled tadi telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk menyerang beliau dan kerajaan.

Pihak pembangkang memutar belitkannya untuk menggambarkan beliau dan kerajaan tidak prihatin kepada peminjam PTPTN yang bermasalah dalam membuat bayaran balik pinjaman.

Hakikatnya, Mohamed Khaled telah berkali-kali membuat penjelasan mengenai keprihatinan kerajaan kepada kepada kebajikan peminjam dan kemudahan membayar balik pinjaman PTPTN.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu, Mohamed Khaled menyebut terdapat pelbagai cara dan inisiatif dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan miskin dan isi rumah B40.

Antaranya adalah bayaran balik pinjaman hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian, penangguhan bayaran balik sekiranya menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan serta penstrukturan ataupun penjadualan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan peminjam.

Peliknya, pihak yang mengkritik ini waktu mereka menjadi bos di PTPTN yang kuat mendesak agar peminjam PTPTN menjelaskan pinjaman mereka kerana jika seorang peminjam dikecualikan membayar balik pinjaman bermakna seorang pelajar baharu tidak akan mendapat pinjaman.

Waktu itu mereka berkata PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman sahaja berjumlah RM12 bilion serta pinjaman PTPTN daripada bank dikenakan faedah sebanyak lima peratus sedangkan pelajar dikenakan faedah satu peratus sahaja.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka pun tiada walau sepatah janji untuk membela nasib peminjam kerana sedar masalah yang melingkari operasi PTPTN daripada pengalaman sebelum ini tetapi sekarang lagak mereka seolah-olah merekalah juara dalam isu ini.-UTUSAN

Penulis ialah Ketua Seksyen Media Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN