Memastikan pendapatan bermaruah untuk mahasiswa

Memastikan pendapatan bermaruah untuk mahasiswa

FOKUS utama Belanjawan 2024 berpihak kepada sektor pendidikan apabila mendapat peruntukan tertinggi. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI memahami belanjawan negara hanyalah berkisarkan pemberian bantuan tunai, kenaikan gaji, pemberian bonus tahunan dan pelbagai inisiatif bersifat secara langsung. Kendatipun begitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan situasi sebaliknya kerana Belanjawan 2024 seperti dibentangkan baru-baru ini tidak hanya terisi dengan perkara-perkara tersebut tetapi memiliki pelbagai manfaat langsung dan tidak langsung kepada rakyat.

Beliau memaparkan visinya yang jelas dalam pengurusan, pembangunan, dan kemajuan ekonomi dalam belanjawan tahun hadapan. Ia menunjukkan Kerangka Ekonomi Madani bukanlah sekadar omong kosong seperti dakwaan sesetengah pihak, namun mampu diterjemahkan sebagai falsafah ekonomi negara masa kini.

Tidak dinafikan kerajaan membelanjakan hasilnya akan memberi impak kepada kehidupan rakyat. Falsafah mustahak dalam perbelanjaan kerajaan adalah untuk memastikan setiap agen ekonomi, iaitu isi rumah dan firma mendapat lebihan pendapatan sebagai galakan untuk melonjakkan lagi ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19 beberapa tahun lalu, lebihan pendapatan penting bagi memastikan kegiatan ekonomi semakin rancak. Jika tidak, isi rumah dan firma akan memilih untuk berjimat yang kelak membawa kepada kelembapan ekonomi.

Hal ini mengingatkan saya kepada takrifan ekonomi yang berasal daripada istilah Yunani, oikos nomos membawa erti ‘pengurusan isi rumah’ iaitu memastikan sumber-sumber diagih agar setiap rumah terjamin kehidupannya dalam semua sudut. Apa-apa sahaja dasar ekonomi dikemukakan, raison d’ etre sesebuah belanjawan adalah memastikan kerajaan dapat merancakkan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyatnya.

Apabila ingin bercakap soal isi rumah, ia tidak tertakluk kepada ibu, bapa dan anak-anak sahaja malahan merangkumi segenap stratifikasi sosial selain firma. Sehubungan itu, belanjawan tahunan yang dibentangkan oleh kerajaan mestilah mencakupi pelbagai aspek agar keperluan-keperluan isi rumah ini dipenuhi.

Kos sara hidup adalah elemen terpenting tanggungjawab kerajaan yang diberikan kuasa untuk menentukan hala tuju negara dan menggubal dasar-dasar ekonomi. Apalah gunanya sesebuah negara yang memiliki Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang besar sedangkan rakyatnya terhimpit dengan kos sara hidup semakin tinggi hingga tiada lebihan pendapatan malah perlu berhutang demi meneruskan kehidupan mereka?

Salah satu kumpulan mustahak dalam sesebuah negara ialah golongan mahasiswa yang mewakili kehidupan intelektualnya. Apakah yang diperlukan oleh golongan mahasiswa?

Sudah tentu paling utama ialah akses kepada pendidikan berkualiti. Mahasiswa memerlukan prasarana pendidikan yang kondusif untuk memastikan kelancaran dalam aktiviti pembelajaran mereka. Prasarana pendidikan bukanlah bermaksud kelas atau bangunan sahaja tetapi merangkumi segenap sudut. Justeru, kerajaan bertanggungjawab bagi menaik taraf prasarana pendidikan untuk memastikan kualitinya terjaga.

WI-FI

Kedua, mahasiswa inginkan pula pekerjaan dengan gaji mencukupi apabila sudah memiliki pendidikan berkualiti. Hal ini penting bagi memastikan rakyat tidak terus terbelenggu dalam kemiskinan untuk jangka masa panjang.

Inilah dua fokus utama kerajaan bagi memastikan keperluan mahasiswa dipenuhi. Persoalannya, adakah Belanjawan 2024 memenuhi kriteria-kriteria yang disenaraikan di atas? Nyata sekali terdapat beberapa berita baik untuk mahasiswa yang akan atau sedang menjalani pengajian mereka.

Pertama, amat jelas fokus utama Belanjawan 2024 berpihak kepada sektor pendidikan apabila mendapat peruntukan tertinggi. Kerajaan menambahkan peruntukan sebanyak RM1 bilion pada tahun hadapan berjumlah RM16.3 bilion berbanding RM15.3 bilion tahun ini di samping sudut-sudut picisan lain.

Bagi memastikan capaian internet boleh diakses secara lancar, sebanyak RM250 juta diumumkan bagi meluaskan jaringan wi-fi di semua universiti awam yang tentunya membawa manfaat besar kepada para mahasiswa.

Kerajaan juga menyalurkan bantuan RM300 juta untuk menaik taraf prasarana dan peralatan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) dengan penyelenggaraan dan pembaikan semula secara berterusan. Golongan orang kurang upaya (OKU) turut menerima dampak positif menerusi penyaluran RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperkasa pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti Madani dan Program Pemulihan dalam Komuniti OKU.

Kolej komuniti sebagai teras pendidikan kemahiran juga menerima RM5 juta untuk dimanfaatkan oleh 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara. Kerajaan juga bertekad membataskan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam agar tidak melebihi RM1,500. Diharapkan bantuan-bantuan ini dapat memberi impak positif kepada ekosistem dan komuniti di IPT amnya dan mahasiswa khususnya.

Pemberian subsidi bersasar menjadi fokus terpenting dalam belanjawan terkini apabila kerajaan menzahirkan hasrat untuk meningkatkan hasil negara dengan melaksanakannya. Peningkatan hasil akan menambahkan keupayaan kerajaan untuk diterjemahkan dengan meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penambahan gaji dan upah pekerja.

Sudah tentu perkara ini akan membawa kesan positif kepada mahasiswa dalam jangka masa panjang kerana mereka mampu mendapat pendapatan bermaruah setelah masuk ke alam pekerjaan kelak. Hakikat ini bukan juga omongan palsu apabila terbukti hasil negara yang diunjurkan mulanya pada 2023 sebanyak RM291.5 juta diunjurkan semula kepada RM303.2 bilion yang bererti ada peningkatan ketara. Bagi 2024 pula, dilihat kerajaan mengunjurkan hasil negara RM307.6 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM4.4 bilion berbanding tahun ini.

Berdasarkan kepada dapatan-dapatan dikemukakan, Belanjawan 2024 dilihat mampu memberikan impak positif kepada mahasiswa dalam jangka masa pendek dan panjang. Moga Malaysia akan terus menjamin kehidupan intelektualnya yang akan menjadi pemimpin kita pada masa hadapan bagi mengemudi negara menghadapi dunia semakin kacau dan tidak menentu. – UTUSAN

PENULIS ialah mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang & Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×