Kita bukan sekadar berucap berdegar-degar isu Palestin

Kita bukan sekadar berucap berdegar-degar isu Palestin

LEBIH 16,000 rakyat Malaysia hadir bagi menyatakan sokongan ke atas perjuangan rakyat Palestin dan bantahan ke atas kekejaman rejim Zionis Israel di Stadium Axiata Bukit Jalil, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 24 Oktober lalu, raja-raja Melayu mengeluarkan titah menggesa kerajaan supaya terus bersuara membela rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman berterusan rejim Zionis Israel selain mengambil inisiatif dan langkah proaktif di pentas antarabangsa bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Raja-raja Melayu pada sesi pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara juga sepakat mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin serta menyeru rakyat Malaysia terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali dari menghadiri beberapa mesyuarat dan kunjungan rasmi di beberapa negara Asia Barat dan pada malamnya menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang dikelolakan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Malaysia (GPM) dan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) selaku penganjur utama di Stadium Axiata Bukit Jalil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa singkat sahaja, walaupun himpunan ini dilangsungkan pada hari bekerja, lebih 16,000 rakyat Malaysia pelbagai latar belakang, bangsa dan agama hadir bagi menyatakan sokongan ke atas perjuangan rakyat Palestin dan menyampaikan bantahan ke atas kekejaman rejim Zionis Israel sekali gus menyokong ketegasan Anwar menangani isu ini.

Kelantangan Anwar membela nasib rakyat Palestin sebenarnya bermula lebih awal sebelum konflik terbaharu berlaku pada 7 Oktober lalu. Sewaktu menyampaikan Kenyataan Malaysia ketika sesi Debat Umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada 22 September sebelumnya lagi Anwar telah menonjolkan isu Palestin ini.

Dalam ucapan di UNGA ke-78 ini, Anwar seolah-olah mampu menjangkakan apa berlaku di Palestin beberapa minggu selepas ini dengan memperkatakan mengenai pencabulan teruk undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel yang membina lebih banyak penempatan baharu di Palestin serta sikap hipokrit terang-terangan kuasa-kuasa besar dalam menangani isu berkenaan.

HIPOKRIT

Apabila rejim Zionis melancarkan gelombang serangan udara selepas serangan mengejut pejuang Hamas ke atas Israel, Anwar menjelaskan betapa beliau berhadapan dengan gesaan Barat supaya Malaysia mengecam pejuang Hamas. Tetapi Anwar tegas untuk tidak tunduk dengan gesaan Barat ini kerana mereka dipilih secara sah untuk memimpin rakyat Gaza.

Anwar sebaliknya mengecam keras sikap hipokrit Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah yang mengkritik Russia dalam peperangannya menentang Ukraine tetapi kini membenarkan kekejaman berterusan di Gaza. Malah, teragak-agak untuk memberikan kelulusan bagi penghantaran bekalan penting kepada rakyat Palestin yang sedang menderita di Gaza.

Bercakap di Parlimen pada 16 Oktober lalu, Anwar menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu bagi menyelesaikan kezaliman terhadap rakyat Palestin akibat peperangan dengan Israel walaupun menjelaskan bahawa penghantaran tentera termasuk pendamai atau pengaman memerlukan kesepakatan satu komuniti ummah.

Sebagai langkah permulaan, Anwar mengumumkan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta dengan tambahan RM100 juta lagi sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan untuk tabung kemanusiaan dan perubatan rakyat Palestin.

Sejurus itu, Anwar menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh pada 20 Oktober di mana dalam ucapannya, beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak lagi menutup mata terhadap kekejaman itu dan mesti mengambil tindakan bagi menangani punca konflik Palestin-Israel.

“Rakyat Palestin harus dibenarkan hidup secara aman serta bermaruah di negara berdaulat dengan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan perjanjian pra-1967 dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara mereka,” tegasnya.

DISEMBELIH

Beliau juga membincangkan serangan Israel terhadap Palestin dan kesepakatan harus diambil oleh pimpinan negara-negara Islam dan rangkaian ulama sedunia berhubung konflik Palestin-Israel dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Muhammad Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, Anwar turut membincangkan konflik Palestin-Israel secara peribadi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman; Raja Bahrain, Hamad Isa; Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Mesir, Abdel Fatah El-Sisi.

Seterusnya, keseriusan Anwar membela nasib rakyat Palestin tertonjol apabila beliau terus menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada malam 24 Oktober lalu sebaik sahaja selesai mengelilingi beberapa negara Arab. Dalam ucapannya, beliau menyelar kegilaan untuk membenarkan orang disembelih, dibunuh, hospital dibom dan sekolah dimusnahkan.

Dalam sejarah negara, inilah julung-julung kalinya seorang Perdana Menteri bukan sekadar berucap berdegar-degar tetapi menjelajah ke negara-negara Arab bagi bertemu sendiri pemimpin-pemimpin utama dunia Islam bagi menyatakan sokongan dan membincangkan gerak kerja dalam usaha untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Ketegasan Anwar juga terserlah apabila menyatakan beliau tidak takut dengan kritikan, teguran dan ugutan dikenakan oleh beberapa pemimpin dari AS, Eropah dan Israel atas pendirian lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas dasar bahawa Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat yang bebas membuat keputusan sendiri.

Rakyat sewajarnya berbangga mempunyai seorang Perdana Menteri yang bukan setakat berani bersuara tetapi berani juga bertindak untuk berusaha mencari penyelesaian konflik Palestin-Israel. Inilah masanya untuk kita mengetepikan sentimen kepartian dan perbezaan ideologi politik serta bersama-sama berada di belakang Anwar yang mendapat dukungan daripada raja-raja Melayu dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin ini. – UTUSAN

Dr. Hirwan Jasbir Jaafar ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×