PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mahu dilaksanakan semula walaupun dengan beberapa pembaharuan khususnya dari segi kandungan kini terdiri daripada tiga fasa, dibantah keras oleh beberapa pihak tertentu. Ia dilakukan atas sebab keberkesanannya, meskipun mahu menggunakan pendekatan terbaharu ini.
Ini kerana matlamat utamanya semenjak diperkenal adalah masih sama, iaitu untuk memupuk patriotisme selain membina watak positif pada belia negara ini agar lebih bersatu padu dengan jati diri kebangsaan kental. Tidak dinafikan matlamat begini bukan sahaja amat baik, juga perlu disokong kuat.
Sehubungan ini, adakah program ini satu-satunya cara untuk mencapai matlamat itu? Setelah meneliti cara program ini dikendalikan khususnya dari segi penyertaannya yang hanya memilih sebahagian kecil belia negara, ia didapati tidak akan berjaya dalam mengesani semua mereka. Ini kerana hanya mereka yang terpilih akan memperoleh kesan positif daripadanya, antaranya persahabatan antara etnik untuk pemupukan perpaduan negara lebih erat lagi utuh.
Sudah tentu cara pengendalian begitu tidak baik. Ini kerana kelompok minoriti terpilih tidak dapat mempengaruhi jumlah besar yang tidak terpilih untuk berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan lain-lain diperoleh daripada PLKN.
Selanjutnya, bagaimanakah program sepenting ini boleh dilaksanakan sedemikian rupa? Ia memperlihat kedangkalan kita dalam berfikir untuk langsung tidak mempedulikan hasilannya yang tidak seberapa kepada negara melalui cara itu.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk PLKN kali ini melibatkan setiap seorang belia kita. Walaupun implikasi kewangannya lebih besar, ia amat berbaloi. Ini kerana PLKN adalah pelaburan sosial negara terpenting sekali.
Dalam konteks ini, belia kita bukan sahaja aset negara paling bernilai dari segenap sisi, mereka juga adalah masa hadapan nusa. Justeru, tiada apa-apa kerugian melaburkan dalam pembinaan modal insan untuk negara.
Apabila matlamat program itu sudah begitu khusus, iaitu untuk memupuk perasaan sayangkan negara selain semacam perwatakan nasional, ia sepatutnya dikendalikan seawal boleh. Sehubungan ini, filsafat peribahasa, melentur buluh biar dari rebungnya harus dimanfaatkan. Dengan ini, ia hendaklah bermula secara formal seawal kanak-kanak berada di tadika lagi dengan mula diberikan pemahaman mudah tetapi mangkus tentang konsep negara bangsa.
Seperkara lain tentang matlamat PLKN, ia sebenarnya tidak pun layak menggunakan nama khidmat negara. Ini kerana bentuk pendidikan dan kemahiran disampaikan itu tidak sedikit pun menyamai apa-apa yang diberikan dalam program khidmat negara dalam erti kata sebenarnya.
GODAAN
Dalam hal ini, khidmat negara adalah perkhidmatan kerajaan secara perundangan yang mewajibkan belia, lazimnya lelaki untuk menjalani latihan ketenteraan bagi memastikan negara selamat daripada sebarang ancaman. Dengan kata lain, unsur paling penting pada mana-mana program khidmat negara ialah keselamatan negara yang harus dipertahan habis-habisan khususnya oleh pelatih. Dengan ini, pelatih khidmat negara adalah tulang belakang tentera darat, laut dan udara untuk ikut menjaga negara agar selamat, lebih-lebih lagi apabila terdapat ancaman.
Sehubungan ini, PLKN di negara ini walaupun dikendalikan oleh kerajaan dengan latihan ketenteraan tertentu, tidak pernah mempunyai sebarang perancangan untuk melibatkan pelatihnya dalam ikut mempertahan negara apabila keselamatannya tercabar, baik dari luar mahupun dalam negara.
Dengan sifatnya yang begitu, PLKN di Malaysia sudah terlebih cakupannya dari segi penamaannya, iaitu ia tidak wajar menggunakan nama khidmat negara.
Sehubungan ini, latihan ketenteraan yang diberikan itu dengan atau tanpa penggunaan senjata, ditegaskan hanya untuk memupuk disiplin. Dalam hal ini, latihan kepolisan dan lebih-lebih lagi ketenteraan dipercayai akan melahirkan belia yang mematuhi peraturan, kod etika dan lain-lain seumpamanya.
Dengan adanya disiplin pada mereka, belia kita diyakini akan senantiasa berjaya mengawal diri dalam apa-apa jua keadaan. Ini sudah tentu baik untuk penyempurnaan akhlak mereka, antaranya untuk menghindarkan diri daripada sebarang godaan dan penyelewengan. Apabila perwatakan begini menjadi antara sasaran utamanya, nama PLKN itu hendaklah diubah untuk benar-benar menggarap matlamat murninya, iaitu pembinaan perwatakan.
Ia diperkenal untuk memperhebatkan kesedaran sivik dan disiplin kendiri dengan memupuk etika berkhidmat, antaranya kesukarelawanan dan semangat cintakan negara seperti kesediaan menjayakan negara tercinta. Oleh itu, ia hendaklah menggunakan nama lain yang bukan sahaja lebih cocok, juga tepat dengan latihan diberikan itu.
Sebenarnya banyak program di negara ini bersifat indah khabar dari rupa. Ini kerana penamaannya bukan sahaja tidak tepat, juga memberi penekanan berlebih-lebihan kepada perkara yang ala-ala sahaja sifatnya dan kekadangnya tiada pun bersifat begitu.
Sehubungan ini, PLKN perlu diberikan nama baharu, antaranya Program Pembinaan Perwatakan Kebangsaan (PPPK). Nama ini didapati lebih cocok setelah diteliti hasilan yang dijangkakan, iaitu belia berakhlak selain sayangkan negara. Untuk hasilan ini betul-betul tercapai sepenuhnya, setiap belia negara ini tidak boleh sesekali ditinggalkan melalui sistem sedia ada, iaitu pemilihan sebahagian sahaja daripada keseluruhan jumlahnya. Dengan ini, kesemua belia wajib dilibatkan untuk menjayakan gagasan perwatakan nasional itu. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











